KL Summit dan jaringan media alternatif

Potensi pemacu 'King-Maker' arena politik antarabangsa

- Advertisement -

KL SUMMIT 2019 membuka tirai di Kuala Lumpur Convention Centre hari ini. Himpunan yang diterajui oleh lima kerajaan melibatkan Malaysia, Indonesia, Pakistan, Turki dan Qatar turut disertai delegasi kerajaan dan bukan kerajaan dari negara lain seperti Palestin, Iran, Uzbekistan dan lain-lain. Delegasi dianggarkan sebanyak 450 orang dari 56 buah negara.

Terlalu banyak agenda yang ingin dicapai dalam misi sidang kemuncak kali ini. Matlamatnya supaya umat Islam lebih berdikari dalam menghadapi cabaran politik dunia yang menjadikan umat ini tidak lebih sekadar alat mencapai kepentingan masing-masing. Atas niat murni ini, ia harus disokong tanpa mengira latar belakang dan fahaman.

Sebelum ini saya pernah kongsikan mengenai agenda keluar dari politik petroleum yang boleh menggugat hegemoni US:

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2627073927373995&id=833314706749935

Untuk entri ini, saya tertarik dengan salah satu agenda yang ingin dibentangkan dalam persidangan tersebut iaitu membentuk satu jaringan media alternatif khusus bagi rujukan umat Islam. Media yang lebih telus melaporkan keadaan sebenar yang berlaku di dunia umumnya dan terhadap umat Islam khususnya. Media yang tidak dipengaruhi oleh kepentingan kuasa Barat dan Timur.

Hakikat media massa hari ini

Sehingga ke hari ini, dunia media dikuasai oleh pihak luar yang prejudis terhadap umat Islam. Carta tertinggi tentunya agensi media antarabangsa yang dibayangi oleh US dan sekutu. Sebaran di media sosial yang turut menjadi rujukan masyarakat moden seperti facebook, google, twitter, youtube, whatsapp dan sebagainya. Umat Islam sendiri menjadikan medium-medium ini sebagai rujukan utama.

Sesiapa yang memahami dunia journalisme pasti memahami bahawa agensi-agensi berita ini akan cenderung melaporkan dan menyusun berita mengikut kepentingan pemilik di belakangnya. Sebarang berita yang merugikan agenda mereka, pasti akan disembunyikan.

Contoh terlalu banyak. Selepas Revolusi Khomenei 1979 yang menyaksikan jatuhnya proksi Barat Shah Iran dan polisi baru republik tersebut yang anti Barat, US melihat Iran sebagai ancaman baru yang perlu dihapuskan sebelum mereka stabil. Lalu kempen Perang Teluk dilancarkan dengan membiayai Iraq menyerang Iran. Media memainkan sentimen Sunni-Syiah bagi memangkin kemarahan Sunni yang membentuk majoriti Muslim dunia terhadap Syiah. Padahal Saddam yang Sunni itu juga terkenal dengan kezaliman terhadap rakyatnya, Saddam juga beridealogi Sosialis yang anti-Barat. tetapi waktu itu ia tidak popular. Dunia Islam beri sokongan kepada Saddam menyerang Iran.

Sewaktu kempen War On Terror 2003, Iraq dijadikan sasaran selepas Afghanistan. Berita kekejaman Saddam yang sebelum ini disembunyikan mula disebar secara exaggerated. Masyarakat dunia marah kepada Saddam lalu menyokong tindakan US bak polis dunia bagi menangkap dan menghukum Saddam.

Isu Syria pula, sewaktu Barat meniup agenda Arab-Spring 2011 bagi memporak perandakan Asia Barat, bertebaran berita kekejaman rejim Assad di media. Kini Syria menghadapi tentangan secara langsung daripada Zionis Israel yang telah beberapa kali menggunakan jet pejuang menyerang Damsyik. US juga telah menghantar tentera di kawasan telaga minyak. Namun berita ini sepi dari media massa.

Terbaru isu etnik Uyghur di China. Selepas pentadbiran Trump mengambil langkah agresif mengisytihar Trade Wars ke atas China, berita Uyghur tersebar. Sedangkan konflik di sempadan itu berlaku sebelum terbentuk People Republic of China (PRC) terbentuk tahun 1949. Sedangkan berita seperti pejuang pemisah (separatis) dan ekstremis IS yang dibiayai oleh Barat di Xinjiang yang tidak lalu di newsfeed Facebook umat Islam. China juga bergelut dengan idealogi separatis Hong Kong dan Taiwan yang mempunyai kaitan dengan Barat, tetapi juga tidak mendapat tempat utama di media massa selain gambaran buruk terhadap pentadbiran republik itu.

Akibat media berat sebelah

Tulisan ini bukanlah mahu membela pihak lain, tetapi fokusnya adalah bagaimana media yang mempunyai kepentingan mereka menguasai masyarakat awam terutama umat Islam. Kita pula dengan penuh sentimen dan emosi mengkritik kekejaman berdasarkan laporan berita daripada Barat. Secara tidak langsung, kita sedang membantu menjayakan agenda Barat.

Apakah anda fikir bila kita berjaya membangkitkan kemarahan dunia sehingga pihak yang dibingkaikan jahat oleh media Barat berjaya dijatuhkan, maka  nasib umat Islam akan terbela? Jadikan Iraq sebagai contoh. Selepas Saddam terbunuh, adakah negara tersebut aman tenteram? Afghanistan, selepas terbunuh Osama Laden, adakah negara tersebut kembali damai? Selepas Barat berjaya meraih simpati dunia terhadap nasib Aun San Suu Kyi di Myanmar sehingga beliau bebas dan menang, adakah idealogi keamanan yang diperjuangkan itu membantu Genocide Rohingya di Arakan?

Lihat pula nasib umat Islam di Palestin. Lebih 50 tahun mereka berjuang melawan Zionis yang ingin merampas tanah suci umat Islam. Namun adakah media massa menyiarkan berita-berita kekejaman Zionis itu? Di mana suara selebriti-selebriti yang lantang bersuara di Uyghur? Sedangkan Yahudi adalah musuh utama yang disebut di dalam al-Quran. Zionis!

Justeru bagi membendung agenda setting media massa Barat, umat Islam perlu mencari alternatif lain dari sudut informasi dan komunikasi. China berjaya membendung doktrinisasi Barat dengan menyekat facebook, twitter, youtube dan seumpamanya dan menggantikan dengan platform lain seperti wechat, weibo dan youku. Russia juga menggunakan aplikasi alternatif seperti VK dan OK walaupun tidak sekeras China menyekat akses platform lain. Tapi itu tidak lain bagi memastikan proses doktrinisasi dan agenda setting dua negara ini pula mengambil alih.

Koordinat jaringan media alternatif

Bagaimana pula dengan umat Islam?

KL Summit perlu menjadi peneraju kepada media alternatif umat Islam. Atas faktor idealogi, geografi, populasi, kemahiran dan ekonomi negara peneraju, ia tidak mustahil untuk dilaksanakan.

Qatar dan Turki sebagai negara yang paling baik dari sudut perkembangan ekonomi boleh menjadi pelabur utama projek ini. Indonesia, Pakistan dan Turki sendiri yang memiliki populasi tinggi boleh menyumbang kepada pasaran pengguna yang ramai. Malaysia boleh menyumbang dari sudut kepakaran dan kemahiran manpower yang telah terbukti di seluruh dunia.

Qatar sudah punya kepakaran mengelolakan Al-Jazeera. Hamas memiliki skuad media mereka sendiri yang berkepakaran tinggi dalam semua aktiviti journalisme walaupun dengan fasiliti yang terhad. Organisasi-organisasi di Indonesia, Malaysia dan Pakistan juga banyak mengeluarkan rencana dan liputan isu antarabangsa umat Islam secara first hand, telus dan ilmiah. Secara umumnya, kesedaran media sebenarnya terdapat di setiap negara peneraju KL Summit, cuma perlukan sedikit integrasi antarabangsa dan dukungan kuasa politik.

Kepelbagaian bahasa negara peneraju juga adalah satu kelebihan. Bahasa Indonesia dan Malaysia turut difahami oleh beberapa negara Asean lain dalam rumpun Melayu. Bahasa Arab yang digunakan Qatar boleh sampai ke anggota Liga Arab lain. Bahasa Urdu yang dituturi Pakistan turut difahami oleh India, Afghanistan dan sekitar Subcontinent. Bahasa Turki pula merupakan bahasa rumpun Turkic yang besar, menjangkau 80 juta penutur seluruh dunia termasuk Cyprus dan negara-negara Balkan di Eropah timur hingga rantau Khurasan, Asia Tengah termasuk Turkistan Timur (Xinjiang). Walaupun bahasa Inggeris sudah menjadi Lingua Franca, tetapi berita dalam bahasa orang awam setiap negara tentunya lebih mudah sampai kepada mereka.

Malah sekiranya projek ini berjaya, tidak mustahil negara-negara sekitar boleh menumpang sekali. Organisasi seperti GCC, Liga Arab, OIC dan ASEAN boleh merasa tempias projek ini jika dirancang dengan rapi.

Lebih penting, agenda ini boleh menjadi bargaining power kepada umat Islam untuk berunding dengan kuasa besar dalam membela kepentingan Islam. Saiz ekonomi dan pasaran negara peneraju KL Summit yang besar tentu sekali tidak boleh diabaikan begitu sahaja oleh hegemoni dunia. Dari sudut geografi, 5 negara ini  berada di tengah laluan perdagangan Timur-Barat. Saiz tanahnya dan populasinya juga boleh mencapai kira-kira 20 peratus dunia. Jika kena strateginya, KL Summit boleh menjadi king-maker geo-politik.

Dalam keadaan Timur dan Barat bertelagah sekarang, kita patut mengambil peluang untuk berdiri. Jangan jadi umpama pelanduk atau rumput yang sengsara antara dua gajah yang bergaduh, tetapi jadilah seperti kancil yang licik antara ancaman ular dan harimau.

Selamat datang buat para delegasi. Semoga KL Summit 2019 berjaya mencapai objektifnya.


ALANG IBN SHUKRIMUN
22 Rabiul Akhir 1441
19 Disember 2019 – HARAKAHDAILY 19/12/2019

- Advertisement -
- Advertisement -