Tg Piai referandum rakyat tolak PH

- Advertisement -

SAYA sangat bersetuju dengan pandangan Dr Mohd Mazri Yahya, Gerakan Pembela Ummah Johor , bahawa keputusan Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai semalam dengan kemenangan majoriti luar biasa 15k undi sekali gus Muafakat Nasional merampas kembali kerusi Parlimen Tanjung Piai bukanlah referandum kepada Tun Mahathir seperti dakwaan sepantas kilat dari penyokong-penyokong DS Anwar Ibrahim seperti Syed Husin.

Ia adalah jelas referandum penolakan rakyat terhadap PH itu sendiri dengan segala siri kegagalan pakatan politik ini menunaikan janji manifesto mereka malah sebaliknya menambah kemarahan rakyat dengan siri-siri tindak tanduk PH yg jelas mengganggu perkara-perkara yang teras berkait Kedudukan Islam, orang Melayu, Polis, Tentera, Komunis, Raja-raja dan pelbagai lagi.

Masyarakat bukan melayu merasa jurang antara kaum semakin melebar oleh perilaku PH yang didorong oleh DAP yang menimbulkan tindak balas dari kelompok majoriti kaum Bumiputera, Melayu Islam khususnya sehingga wujud kempen-kempen seperti BMF dan sebagainya.

Politik dalaman PH sendiri meloyakan rakyat . Perebutan kuasa memecah belahkan dan menjadi teladan yang hodoh untuk diikuti rakyat. Sesama parti komponen PH berebutan kuasa. DS Anwar Ibrahim yang tidak sabar memasang jentera propagandanya untuk menekan Tun Mahathir agar melepaskan jawatan Perdana Menteri kepadanya.

Malah ada yang dari awal menyebut, PRK Tanjung Piai ini calon dari Bersatu perlu kalah supaya Tun Mahathir dan Bersatu dilihat lemah dan tidak layak lagi memimpin kerajaan. Alasan yang kuat tuntut Tun Mahathir meletakkan jawatan atau jika tidak akan diusulkan undi tidak percaya dalam sesi Parlimen yang masih ada beberapa minggu berakhir 5 Disember 2019.

Walhal di mata rakyat biasa, kelihatannya nasib baik ada Tun Mahathir yang masih ada prinsip dan ketegasan dalam soal ICERD, UEC, Komunis, LTTE dan lain-lain lagi.

Kalau serah pada DS Anwar Ibrahim, habislah. Semua desakan DAP akan diikutnya demi cita-cita menjadi Perdana Menteri.

PH perlu tahu, masalah sebenar bukanlah batang tubuh Tun Mahathir. Tetapi adalah kewibawaan pakatan politik PH itu sendiri yang sungguh sumbang tidak menggambarkan aspirasi sebenar rakyat malah tidak representatif (mewakili) nisbah sebenar peratusan kaum dan agama lebih 31 juta rakyat Malaysia.

Rakyat perlukan kestabilan politik untuk negara boleh fokus kepada memajukan negara dan memupuk perpaduan kaum.

Muafakat Nasional dilihat menawarkan kestabilan itu bila orang-orang Islam yang merupakan 65 peratus rakyat Malaysia disatukan melalui inisiatif penyatuan ummah khususnya langkah kerjasama politik parti-parti paling besar dan berpengaruh di akar umbi umat Islam iaitulah PAS dan Umno.

Inilah kekuatan teras.

Dari situ satu pakatan politik yg bersifat nasional dan disertai kaum-kaum lain menjadi pilihan yang paling munasabah dan boleh bertahan lama sustainable demi kestabilan politik negara untuk tempoh yang panjang.

Dari situ lahirlah Muafakat Nasional yang terdiri dari PAS, Umno, MCA,MIC, IPF ,IKATAN, DHPP dan pelbagai lagi.

GPS yang kini memerintah Sarawak dari awal mempunyai hubungan sangat baik dengan Muafakat Nasional ini.

Tanjung Piai adalah satu petunjuk yang besar yang memberi isyarat bahawa Kerajaan PH cumalah untuk sepenggal. Pergolakan politik dalaman PH yang sedia ada semakin teruk dan meloyakan rakyat. Tidak sedikit yang memikirkan kembali kedudukan mereka dalam PH lebih lebih lagi rakyat semakin menunjukkan isyarat yang jelas.

HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
17 November 2019 – HARAKAHDAILY 17/11/2019

- Advertisement -
- Advertisement -