Pelapis PAS mesti lazimi 5 tunjang asas

    - Advertisement -

    KUALA KANGSAR: Pelapis PAS berkualiti hanya lahir dengan memiliki lima tunjang kuat yang mesti ada dalam pembinaan generasi, demikian pesan Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.

    - Advertisement -

    Berucap dalam penutup Ijtimak Tarbawi 7.0 di Kem Kota Lama, Kampung Ngor, Sauk, di sini semalam katanya, asas paling penting adalah memahami Islam sebagai cara hidup yang lengkap.

    “Islam bukan sahaja hanya cukup berkenaan solat, puasa, zakat, haji sahaja, tetapi memahami Islam ini adalah dengan bersama-sama memikul tanggugjawab perjuangan menegakkan Islam,” serunya.

    Katanya, pelapis perlu ada rasa bersalah apabila tidak bersama dengan perjuangan untuk mengangkat martabat Islam dan apabila gagal memikul tanggungjawab terhadapnya.

    Beliau menegaskan, hubungan kuat dengan Allah S.W.T penting kerana apabila tidak dijaga, manusia sebagai makhluk tidak akan mampu mengukuhkan dirinya dengan cabaran perjuangan.

    Sebaliknya kata beliau, sentiasa ingat kepada Allah akan melahirkan sifat istiqamah di mana juga diperkukuhkan dengan tunjang zikrullah yang mesti dilazimi sebanyak-banyaknya.

    “Orang yang banyak ingat kepada Allah, Allah akan ingat kepadanya dan sekurang-kurangnya mathurat pagi dan petang jangan ditinggalkan,” nasihat beliau.

    Begitu juga dengan tunjang yang keempat bentangnya, adalah ingat kepada balasan Akhirat iaitu dengan pengharapan bahawa dengan kerja jemaah ini akan mendapat balasan yang baik serta menjadi amal soleh buat diri.

    Katanya, ada dua biji mata yang tidak akan disentuh api neraka iaitu mata yang berjaga malam kerana agama Allah dan mata takut dan menangis kerana Allah.

    Manakala terakhir, beliau menyeru untuk istiqamah mesti bersama jemaah kerana ia adalah rahmat Allah SWT yang sememangnya akan sentiasa bersama jemaah. – HARAKAHDAILY 17/11/2019

    - Advertisement -