
KUALA LUMPUR: Penyatuan Ummah terbukti bukan slogan politik, sebaliknya satu gagasan yang membawa impak besar terhadap politik negara, kata Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh.
Menurutnya, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan membuktikan gagasan Penyatuan Ummah kekal relevan dan terus memberi kesan besar terhadap landskap politik negara.
Bekas Ahli Dewan Negara tersebut mengulas, keputusan PRN itu wajar dianalisis secara jujur dan objektif kerana di sebalik pelbagai naratif yang dibangkitkan, strategi
Menurut beliau, gagasan itu merupakan cetusan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang meletakkan kepentingan Islam, penyatuan umat serta kestabilan negara mengatasi kepentingan politik kepartian.
“Ketika masih terdapat pihak yang terperangkap dalam politik permusuhan sesama umat Islam, Abdul Hadi tampil mengemukakan pendekatan yang lebih besar dan berpandangan jauh.
“Sejarah membuktikan bahawa strategi inilah yang akhirnya mengubah landskap politik negara sehingga menyaksikan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada tahun 2020.
“Malah, pendekatan ini turut menyaksikan beberapa tokoh politik yang sebelum ini dianggap kebal berjaya ditewaskan, di samping kubu kuat lawan tidak lagi kekal utuh seperti yang pernah diucapkan,” katanya.
Nuridah berkata, PRN Negeri Sembilan turut memperlihatkan bahawa kerjasama yang berasaskan titik persamaan mampu meningkatkan daya saing politik serta menawarkan pilihan lebih kukuh kepada rakyat.
Beliau berkata, keadaan itu membuktikan politik matang yang mengutamakan kepentingan agama, rakyat dan negara masih mendapat tempat dalam kalangan pengundi.
Sehubungan itu, beliau menegaskan jasa dan kebijaksanaan di sebalik strategi Penyatuan Ummah tidak wajar dipadamkan daripada sejarah.
“Tokoh yang mencetuskan gagasan sebesar ini sewajarnya diberikan pengiktirafan yang setimpal.
“Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah memperkenalkan satu pendekatan yang meninggalkan kesan besar terhadap politik Malaysia melalui gagasan Penyatuan Ummah,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Dewan Muslimat PAS Malaysia merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera dari seluruh negara yang membantu sepanjang gerak kerja kempen PRN Negeri Sembilan.
Beliau turut menyeru seluruh ahli dan pendukung agar terus memperkukuhkan semangat penyatuan, memperluaskan kerjasama membawa manfaat kepada rakyat serta menolak politik kebencian yang hanya menguntungkan pihak tertentu.
“Penyatuan bukan bererti mengorbankan prinsip, tetapi mengangkat kepentingan Islam dan negara mengatasi kepentingan politik yang sempit,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/8/2026










