
KUALA LUMPUR: Anggapan bahawa kemenangan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan berpunca daripada politik perkauman disifatkan sebagai kesimpulan mudah yang gagal melihat faktor sebenar perubahan sokongan rakyat.
Ketua Penerangan PEJUANG, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, rakyat membuat pilihan bukan berdasarkan warna kulit, sebaliknya dipengaruhi isu yang dekat dengan kehidupan mereka seperti peningkatan harga barang, kos sara hidup serta janji kerajaan tidak ditunaikan.
Menurut beliau, kemenangan besar calon PN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi, Kamarol Ridzuan Mohd Zain (Pak Kam), dengan majoriti 16,959 undi membuktikan keputusan tersebut tidak boleh ditafsirkan semata-mata sebagai isu perkauman.
“Sukar untuk mengatakan ini semata-mata soal perkauman. Ini jauh lebih tepat dibaca sebagai satu isyarat jelas daripada rakyat terhadap sebuah pentadbiran yang gagal memenuhi harapan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan ketika mengulas pandangan bahawa kemenangan PN-BN di Negeri Sembilan merupakan kemenangan politik berasaskan kaum.
Rafique mempersoalkan sama ada setiap kali orang Melayu memilih untuk bersatu, ia terus dianggap sebagai tindakan perkauman, sedangkan apabila kaum lain bersatu memperjuangkan kepentingan mereka, perkara itu pula dilihat sebagai sebahagian daripada proses demokrasi.
Tegas pengamal undang-undang itu, rakyat tidak turun mengundi hanya kerana faktor identiti kaum, sebaliknya mereka menilai prestasi kerajaan berdasarkan keadaan ekonomi dan kehidupan seharian.
“Jika kerajaan hari ini benar-benar berjaya, mengapa berlaku gelombang biru? Mengapa semakin ramai yang berubah fikiran?” katanya.
Beliau turut membangkitkan kekalahan Anthony Loke di DUN Chennah dengan mempersoalkan sama ada keputusan tersebut juga boleh dianggap sebagai perkauman apabila sebahagian besar pengundi Cina sendiri tidak lagi memberikan sokongan kepada DAP.
Menurutnya, adalah lebih mudah menyalahkan sentimen kaum berbanding mengakui bahawa rakyat sudah hilang keyakinan terhadap sebuah pentadbiran yang gagal memenuhi harapan mereka.
“Pilihan raya bukan ‘guessing game’. Ia manifestasi suara rakyat. Mereka ubah jadual hari minggu, datang dari seluruh pelusuk negara semata-mata mahu menghantar mesej jelas,” katanya.
Sehubungan itu Rafique berkata, rakyat tidak seharusnya dilabel bersifat perkauman hanya kerana membuat pilihan politik yang berbeza, sebaliknya pemimpin perlu melakukan muhasabah diri dan memahami sebab perubahan sokongan tersebut.
Beliau menegaskan penyatuan Melayu bukan ancaman kepada mana-mana pihak kerana hak orang Melayu tidak akan mengurangkan hak kaum lain, manakala hak kaum lain juga tidak akan hilang hanya kerana orang Melayu memilih untuk bersatu.
“Hak orang Melayu tidak akan mengurangkan hak kaum lain. Hak kaum lain juga tidak akan hilang hanya kerana orang Melayu memilih untuk bersatu. Penyatuan bukan perpecahan,” katanya.
Menurut beliau, Gelombang Biru yang berlaku bukan lahir daripada kebencian, sebaliknya berpunca daripada kekecewaan rakyat terhadap peningkatan kos sara hidup, tekanan ekonomi serta janji-janji yang gagal dikotakan.
Katanya, rakyat tidak meminta perkara luar biasa, sebaliknya hanya mahukan kehidupan yang lebih baik daripada semalam, di mana jika itupun gagal diberikan kerajaan, maka jangan salahkan apabila mereka membuat pilihan alternatif.
Menurut beliau lagi, menuduh rakyat bersifat perkauman mungkin dapat menenangkan hati sendiri, namun ia tidak akan mengubah keputusan yang telah dibuat oleh rakyat.
Dalam demokrasi katanya, rakyat tidak pernah silap memilih kerana keputusan tersebut merupakan manifestasi suara mereka, sebaliknya pemimpin perlu memahami mengapa rakyat tidak lagi memberikan sokongan.
Rafique juga menegaskan, Gelombang Biru bukan sekadar kemenangan PN-BN, tetapi satu isyarat rakyat kepada PH bahawa keyakinan tidak boleh dibina dengan janji semata-mata, sebaliknya perlu dibuktikan melalui prestasi.
“Keyakinan hanya lahir daripada prestasi. Bila prestasi mengecewakan dan sikap DAP serta PH terus angkuh, rakyat akan membuat pilihan,” katanya.
Beliau optimis rakyat telah bersuara dan bertindak melalui pilihan raya, sambil menegaskan Gelombang Biru akan terus merebak sehingga pembukaan dan penyusunan semula pusat pentadbiran di Putrajaya. – HARAKAHDAILY 3/8/2026










