Mohon keluar Islam boleh cetus konflik perundangan

- Advertisement -

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor diminta memberi penjelasan berhubung kemungkinan timbul konflik perundangan membabitkan individu yang memohon keluar Islam tetapi masih berstatus agama Islam dalam rekod pengenalan diri.

- Advertisement -

Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Sijangkang) mengemukakan demikian susulan pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 2026 ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) itu di Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.

Beliau berkata, perkara itu perlu diperjelaskan kerana pindaan Perkara 47 berkaitan agama Islam negeri berpotensi menjadi rujukan dalam penggubalan serta pemerkasaan undang-undang syariah pada masa akan datang.

Menurut beliau, kebimbangan itu timbul susulan pengguguran frasa ‘oleh orang yang menganutinya’ dalam klausa berkaitan agama lain yang boleh diamalkan secara aman dan damai dalam peruntukan baharu berkenaan.

“Pindaan ini pada asasnya bertujuan memperkukuh kedudukan Islam di Selangor dengan menetapkan agama Islam negeri ini mengikut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagaimana yang dianuti dan diamalkan oleh masyarakat Islam di negeri ini.

“Saya menyokong 100 peratus Rang Undang-Undang Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor Pindaan 2026 ini. Namun, saya ingin mendapatkan penjelasan daripada kerajaan negeri berhubung tafsiran frasa baharu ini.

“Kerana sekiranya ia boleh diubah-ubah melalui pindaan akan datang, apakah maknanya kita mengubah daripada keadaan sedia ada kepada agama Islam mengikut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya

Menurutnya, peruntukan asal Perkara 47 menyatakan agama Islam sebagaimana dianuti dan diamalkan di negeri ini sehingga kini hendaklah menjadi agama negeri dengan syarat semua agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai oleh orang yang menganutinya di mana-mana bahagian negeri.

Katanya, perubahan frasa berkenaan menimbulkan persoalan sekiranya terdapat individu yang masih belum disahkan keluar daripada Islam tetapi telah mengamalkan agama lain.

“Kebimbangan saya apabila ia menjadi rujukan kepada undang-undang syariah yang akan kita luluskan nanti, mungkin ada kumpulan atau individu tertentu yang memohon untuk keluar daripada Islam atau murtad, tetapi secara pentadbirannya mereka belum sah keluar daripada agama Islam.

“Dalam kad pengenalan mereka masih tertera agama Islam, tetapi mereka sudah mengamalkan agama yang ingin dianuti selepas itu,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat.

Menurut Ahmad Yunus, keadaan tersebut boleh mencetuskan persoalan undang-undang sekiranya kes berkenaan dibawa ke mahkamah, khususnya dalam menentukan kedudukan seseorang yang belum sah menukar agama tetapi telah mengamalkan agama lain.

“Adakah perkara ini nanti boleh menjadi bahan rujukan dalam membuat keputusan undang-undang sama ada seseorang itu sudah mengamalkan agama baharu sedangkan dia belum lagi sah menukar agama?” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan negeri memaklumkan statistik jumlah individu beragama Islam di Selangor yang telah memohon untuk menganut agama lain, selain menjelaskan keberkesanan proses pentadbiran dan kaunseling dijalankan terhadap mereka dalam tempoh 36 bulan.

“Bagaimana kejayaan 36 bulan secara pentadbiran dan kaunseling kepada mereka ini dapat dilakukan dengan sebaik mungkin,” katanya yang juga Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS Pusat.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Yunus turut meminta penjelasan kerajaan negeri berhubung implikasi kewangan susulan pindaan berkenaan, khususnya berkaitan usaha memperkasakan institusi kehakiman syariah di Selangor.

Beliau berkata, walaupun dimaklumkan pindaan itu tidak mempunyai implikasi kewangan, proses pelaksanaan selepas pewartaan kelak tetap memerlukan persediaan termasuk latihan serta penambahbaikan institusi berkaitan.

“Kalau kita lihat antara perkara yang hendak dilakukan adalah menaik taraf dan memperkasakan institusi kehakiman rayuan kepada mahkamah utama, saya fikir ia juga memerlukan sudut kewangan.

“Bukan sahaja apabila dilaksanakan, tetapi sebagai persiapan dalam bentuk latihan dan sebagainya, ia sudah tentu melibatkan implikasi kewangan,” katanya.

Katanya, usaha memperkasakan kedudukan undang-undang syariah di negeri itu bukan perkara jangka pendek, sebaliknya melalui perancangan panjang sehingga membawa kepada pembentangan pindaan berkenaan.

Beliau berharap rang undang-undang tersebut dapat diterima dan memperoleh sokongan majoriti dua pertiga Ahli Dewan Negeri Selangor. – *HARAKAHDAILY 3/8/2026*

- Advertisement -