Lindungi kehakiman syariah daripada gangguan luar

- Advertisement -

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor perlu memperkukuh mekanisme perlindungan bagi memastikan institusi kehakiman syariah negeri itu tidak terdedah kepada sebarang gangguan atau campur tangan pihak luar.

- Advertisement -

Ustaz Mohd Razali Saari (PN-Sungai Panjang) menegaskan, ianya perlu diadakan selepas kedudukannya diperkasakan menerusi pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor (UUTKS) 2026.

Menurutnya, pengiktirafan terhadap kedudukan Mahkamah Syariah melalui pindaan berkenaan perlu disusuli dengan kawalan yang jelas supaya bidang kuasa kehakiman syariah terus dihormati dan dipelihara.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor (Pindaan) 2026 pada persidangan Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.

Jelasnya, beliau menyokong penuh RUU berkenaan kerana ia bukan sekadar pindaan teknikal terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, sebaliknya satu langkah bersejarah bagi memperkukuhkan kedudukan agama Islam dan sistem kehakiman syariah di negeri itu.

Katanya, pindaan tersebut merupakan cetusan iltizam di bawah kepimpinan Sultan Selangor dan kerajaan negeri bagi memastikan keadilan syariah dapat ditegakkan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Proses yang panjang ini membuktikan bahawa RUU ini adalah hasil kajian yang sangat teliti dan mendalam, bukan suatu tindakan yang terburu-buru.

“Ia menepati prinsip syura dan perundingan yang dituntut dalam Islam, khususnya apabila melibatkan kepentingan umat dan institusi kehakiman,” katanya.

Beliau berkata, proses penyediaan pindaan itu mengambil masa hampir 17 tahun bermula daripada kelulusan Jemaah Menteri sehingga penyediaan draf undang-undang yang diluluskan melalui Mesyuarat Khas Jawatankuasa Khas Undang-Undang (JKUU) Bilangan 2/2025 serta Mesyuarat MAIS Bilangan 1/2026.

Mengulas aspek kandungan pindaan, Mohd Razali berkata, antara perkara utama ialah pengiktirafan kedudukan Islam sebagai agama negeri Selangor dengan tambahan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagaimana yang dianuti dan diamalkan di negeri itu.

Beliau turut menyokong pandangan ADUN Sungai Ramal dan Permatang supaya penelitian dibuat terhadap penggunaan frasa ‘hingga kini’ dalam peruntukan berkenaan.

Katanya Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Sungai Besar itu, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan agama negeri tidak boleh disamakan dengan agama lain.

“Pada hemat saya, boleh ditambah bahawa agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman, damai dan harmoni, tetapi tidak boleh disebarkan di mana-mana bahagian negeri ini.

“Ini kerana kita melihat terdapat aktiviti penyebaran agama lain yang berlaku sedangkan Islam adalah agama Persekutuan dan agama negeri,” katanya sambil memetik firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 103.

Dalam pada itu, beliau berkata objektif kedua pindaan tersebut ialah pengiktirafan perlembagaan terhadap penubuhan Mahkamah Syariah melalui bab baharu 5A dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor.

Katanya, pindaan itu memperkukuhkan fungsi dan struktur kehakiman syariah termasuk menetapkan kuasa kehakiman syariah terletak kepada Mahkamah Syariah yang ditubuhkan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor.

Menurutnya, struktur Mahkamah Syariah turut diperluaskan daripada tiga peringkat kepada empat peringkat iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah dan Mahkamah Utama Syariah.

“Pembentukan struktur mahkamah empat peringkat ini memberi ruang keadilan yang lebih luas dan membolehkan semakan dibuat sekurang-kurangnya dua kali terhadap keputusan Mahkamah Syariah berbanding sebelum ini yang hanya mempunyai satu peringkat rayuan.

“Ia meningkatkan keyakinan awam terhadap institusi kehakiman syariah dan memastikan kesilapan penghakiman dapat diperbetulkan pada peringkat lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata, pengukuhan tersebut juga selaras dengan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf pengasingan bidang kuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil sekali gus memberikan kepastian undang-undang kepada rakyat Selangor beragama Islam.

Tambahnya, pindaan itu turut disokong dua RUU sampingan iaitu RUU Mahkamah Syariah Negeri Selangor 2026 serta RUU Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor (Pindaan) 2026.

Katanya, RUU Mahkamah Syariah Negeri Selangor 2026 mengandungi lapan bahagian, 67 seksyen dan dua jadual, manakala RUU Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor (Pindaan) 2026 pula memperkukuhkan pengasingan pentadbiran agama Islam daripada pentadbiran keadilan syariah.

Beliau mengakui, pindaan tersebut turut mengukuhkan kuasa negeri dalam pembuatan fatwa yang tidak boleh dicabar selepas ini termasuk fatwa berkaitan isu peringkat kebangsaan melalui Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).

Selain itu ujar beliau, ia memperkasa pengurusan harta pusaka orang Islam melalui bahagian baharu selaras dengan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) Pindaan 2022 (Akta 98), selain menjelaskan wakil yang boleh hadir dan berhujah bagi pihak MAIS di Mahkamah Syariah atau Mahkamah Sivil.

Dalam perbahasan itu, Mohd Razali turut mengemukakan beberapa cadangan bagi memastikan pindaan tersebut dapat dilaksanakan secara berkesan.

Antaranya, beliau mencadangkan latihan dan peningkatan kapasiti hakim syarie melalui MAIS dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor, khususnya bagi hakim Mahkamah Rayuan Syariah serta Mahkamah Utama Syariah yang baharu ditubuhkan.

Beliau turut mencadangkan penyediaan peruntukan kewangan serta infrastruktur mencukupi termasuk bangunan mahkamah, kakitangan sokongan dan sistem pengurusan kes bersepadu berasaskan teknologi maklumat.

Selain itu, Mohd Razali mencadangkan penubuhan segera Jawatankuasa Pelantikan Hakim Syarie bagi memastikan ketelusan dan integriti dalam proses pelantikan dengan garis panduan kelayakan yang jelas.

Beliau turut menegaskan keperluan menggubal kaedah-kaedah dan undang-undang subsidiari secara menyeluruh bagi menyediakan prosedur mahkamah yang jelas terutama berkaitan tatacara rayuan dua peringkat baharu.

Menurutnya, MAIS dan jabatan berkaitan juga perlu melaksanakan kempen kesedaran kepada orang awam, peguam syarie, graduan syariah serta pegawai penguat kuasa berkaitan struktur mahkamah baharu, bidang kuasa dipertingkatkan dan hak rayuan.

Beliau turut menggesa penyelarasan berterusan antara kerajaan negeri dengan pihak Persekutuan khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan MKI bagi memastikan tiada percanggahan fatwa antara negeri dan Persekutuan.

Selain mencadangkan satu jawatankuasa pemantauan pelaksanaan diwujudkan di peringkat majlis atau kerajaan negeri bagi menilai keberkesanan struktur baharu itu dalam tempoh dua hingga tiga tahun pertama pelaksanaan.

Dalam aspek kebajikan, Mohd Razali berkata perlindungan terhadap golongan rentan perlu diberi perhatian dalam pelaksanaan bidang kuasa mal termasuk perkara berkaitan harta, nafkah, harta sepencarian dan penjagaan individu tidak berkeupayaan.

Katanya, semangat keadilan syariah perlu memastikan hak kanak-kanak serta golongan lemah terus terbela.

Beliau menegaskan pindaan itu merupakan langkah penting yang perlu disokong semua ahli dewan tanpa mengira fahaman politik kerana ia berkaitan amanah untuk memperkukuhkan sistem kehakiman syariah.

“RUU Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor (Pindaan) 2026 bersama dua RUU sampingannya adalah usaha bersepadu, matang dan wajar disokong sepenuhnya.

“Ia bukan sahaja mengukuhkan asas keagamaan dan institusi kehakiman syariah negeri Selangor selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, malah memperkasa sistem penyampaian keadilan kepada rakyat melalui mekanisme rayuan lebih adil dan struktur mahkamah yang lebih tersusun,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/8/2026

- Advertisement -