
SHAH ALAM: Usaha memperkukuh gagasan Penyatuan Ummah di Selangor terus diperkasakan menerusi perbincangan dan pertukaran pandangan antara pimpinan muda PAS dan Umno negeri, dengan matlamat mewujudkan kesatuan politik demi kepentingan agama, bangsa dan negara.
Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata, antara titik tolak kepada usaha berkenaan bermula menerusi Himpunan Daulat Tuanku yang diadakan di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor.
Menurut beliau, himpunan tersebut bukan sekadar ruang mempertahankan kedaulatan dan institusi Diraja Selangor, malah menjadi medan yang menemukan hati-hati yang berkongsi cita-cita untuk melihat umat kembali bersatu.
“Sejak daripada detik itu sehingga ke hari ini, pelbagai perbincangan dan pertukaran pandangan terus berlangsung antara saya dan Ketua Pemuda Umno Selangor, Dato’ Mohd Imran Tamrin.
“Kami datang daripada parti politik yang berbeza, namun berkongsi satu hasrat yang sama, iaitu melihat gagasan penyatuan ummah benar-benar berjaya di Selangor dan seterusnya melebar ke seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikongsikan berkaitan usaha memperkukuh hubungan antara PAS dan Umno di peringkat negeri.
Mohamed Sukri berkata, perbezaan latar belakang politik tidak seharusnya menjadi penghalang untuk mencari titik persamaan, sebaliknya politik perlu menjadi jambatan yang menyatukan masyarakat.
Katanya, kestabilan politik yang lahir daripada kesepakatan akan memberi keyakinan kepada rakyat, sekali gus membuka ruang kepada pembangunan ekonomi, pelaburan dan kesejahteraan masyarakat.
“Politik tidak seharusnya selama-lamanya menjadi tembok pemisah. Sebaliknya, politik mesti menjadi jambatan yang menyatukan demi kepentingan yang lebih besar, iaitu agama, bangsa dan negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan konsep Penyatuan Ummah tidak bermaksud menafikan kepelbagaian masyarakat Malaysia atau mengabaikan hak kaum lain.
Sebaliknya kata beliau, gagasan tersebut berasaskan keyakinan bahawa apabila kaum majoriti dalam negara bersatu dengan penuh tanggungjawab, saling menghormati dan berjiwa besar, keharmonian antara semua kaum akan menjadi lebih kukuh.
“Perbezaan pandangan tidak semestinya membawa perpecahan. Apa yang lebih penting ialah kesediaan untuk duduk semeja, berdialog dengan hikmah dan mencari titik persamaan tanpa mengorbankan prinsip,” katanya.
Mohamed Sukri berkata, pihaknya akan terus berusaha agar gelombang penyatuan ummah dapat diperluaskan di Selangor dan seterusnya ke seluruh negara.
Beliau turut berharap usaha tersebut mendapat keberkatan Allah SWT dengan menyatukan hati semua pihak serta memelihara negara dengan keamanan, keharmonian dan kemakmuran.
“Bersatu demi agama. Bersatu demi bangsa. Bersatu demi negara. Kerana masa depan yang lebih baik sentiasa bermula dengan hati yang bersedia untuk bersatu,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/8/2026










