Kelantan sasar 16 pingat emas hadapi SUKMA 2026

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menyasarkan 16 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dengan memberi tumpuan kepada sukan tempur yang dilihat mempunyai potensi besar untuk menyumbang kejayaan kontinjen negeri.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri, Mohd Zamakhshari Muhammad berkata, antara sukan yang menjadi sandaran utama ialah silat, taekwondo, judo, muay thai dan tinju selain berbasikal serta olahraga.

Menurut beliau, sasaran itu dibuat berdasarkan penilaian terhadap kekuatan semasa atlet dan perkembangan setiap acara yang dipertandingkan.

“Dua tahun lalu ketika SUKMA di Sarawak kita memperoleh 37 pingat keseluruhan dengan tujuh daripadanya pingat emas. Kali ini kita menyasarkan 34 pingat keseluruhan, namun jumlah pingat emas ditingkatkan kepada 16.

“Iaitu hampir dua kali ganda berbanding pencapaian sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Solat Hajat dan Penyerahan Bendera kepada Kontinjen Negeri Kelantan ke Temasya SUKMA XXII Selangor 2026 dan Para SUKMA Selangor 2026, di sini hari ini.

Menurutnya, perubahan sasaran berkenaan dibuat berdasarkan perubahan dalam barisan atlet memandangkan terdapat acara yang mempunyai had umur serta pertukaran kategori pertandingan.

Kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apam Putra, terdapat juga atlet pernah memenangi pingat emas sebelum ini tetapi tidak lagi berada dalam kategori atau acara sama.

“Perkara ini adalah sesuatu yang dinamik dalam dunia sukan dan sasaran sentiasa berubah mengikut kekuatan atlet yang kita miliki,” ujarnya.

Mengulas mengenai prospek emas, Zamakhshari berkata, kerajaan negeri tidak mahu mendedahkan nama atlet tertentu kerana kebanyakannya masih berada dalam proses pembangunan sebagai pelapis.

Bagaimanapun menurutnya, kontinjen olahraga mempunyai lima prospek dengan sasaran dua pingat emas menerusi acara lompat jauh, lompat kijang dan 100 meter berpagar.

Beliau juga menegaskan, kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian terhadap keperluan atlet termasuk latihan, logistik dan kebajikan bagi memastikan mereka dapat membuat persiapan terbaik.

“Jika ada sebarang masalah, atlet boleh mengemukakannya kepada kita dan kerajaan negeri akan membantu mana-mana perkara yang boleh dibantu. Saya yakin majoriti atlet akan menyertai temasya tersebut,” katanya.

Mengenai persiapan sebagai tuan rumah SUKMA 2028, beliau menjelaskan secara keseluruhannya semua venue berada pada landasan yang baik walaupun terdapat sedikit kelewatan di beberapa projek.

Katanya, sehingga kemas kini 22 Jun lalu, Stadium Bukit Melawati merekodkan kemajuan sebenar 35.4 peratus berbanding sasaran 35.5 peratus, sekali gus masih mengikut jadual.

Menurutnya, Kompleks Sukan Jeli pula mencatat kemajuan 81 peratus berbanding sasaran 80 peratus, manakala Pusat Akuatik berada pada tahap 23 peratus berbanding sasaran 25 peratus dan venue skuad lompat merekodkan 16.7 peratus berbanding sasaran 17.6 peratus.

“Secara keseluruhannya semua persiapan berada pada landasan yang baik dan kita berharap semua projek dapat disiapkan mengikut jadual,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zamakhshari menegaskan isu dadah tidak wajar dipolitikkan kerana ia merupakan masalah sejagat yang berada di bawah bidang kuasa agensi Persekutuan.

Katanya, aspek penguatkuasaan melibatkan Polis Diraja Malaysia manakala pemulihan pula di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan di mana walaupun Kelantan turut berdepan isu ini, berdasarkan statistik semasa sebenarnya berlaku penurunan kes berkaitan dadah.

“Bagi saya isu dadah bukan isu politik. Jika ada masalah, ia perlu dilihat berdasarkan bidang kuasa pihak yang bertanggungjawab terhadap penguatkuasaan dan pemulihan,” ujarnya.

Beliau berkata kerajaan negeri dan PEMADAM menyokong segala usaha termasuk arahan supaya tindakan penguatkuasaan dipertingkatkan bagi membendung penyalahgunaan dadah.

Katanya, angka lengkap mengenai penurunan statistik kes dadah akan dikemukakan kemudian. – *HARAKAHDAILY 3/8/2026*

- Advertisement -