
SEGAMBUT: Seramai 40 keluarga masyarakat India yang menetap di Flat SPPK di sini menerima bantuan beras menerusi program kebajikan anjuran Lajnah Dakwah dan Perpaduan Nasional Wilayah Persekutuan.
Program dengan kerjasama Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Wilayah Persekutuan dan PAS Kawasan Segambut ini sebagai usaha membantu meringankan beban tersebut diadakan di flat tersebut, semalam.
Inisiatif itu dilaksanakan kepada golongan yang berdepan tekanan kos sara hidup, selain memperluas jaringan kebajikan serta memperkukuh hubungan masyarakat pelbagai kaum menerusi pendekatan khidmat kepada rakyat.
Sumbangan disampaikan Yang Dipertua PAS Kawasan Segambut, Anuar Mat Alim bersama Pengerusi Lajnah Dakwah dan Perpaduan Nasional Wilayah Persekutuan, Suhaimi Abdul Aziz dan Ketua DHPP Wilayah Persekutuan, Ts Dr Subash Chandrabose serta wakil NGO Ummah Prihatin, Arissya Balqis Bidin.
Suhaimi berkata, pendekatan kebajikan menjadi antara medium penting dalam mendekati masyarakat tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama.
Menurut beliau, program seumpama itu membuktikan nilai kemanusiaan dan keprihatinan terhadap masyarakat perlu terus diperkasakan melalui tindakan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
“Program seperti ini membuktikan bahawa nilai kemanusiaan sentiasa menjadi keutamaan. Kami mahu mendekati masyarakat melalui kebajikan kerana pendekatan ini mampu menyatukan rakyat serta mengeratkan hubungan sesama insan,” ujarnya.
Beliau berkata, pihaknya akan meneruskan pelbagai inisiatif kemasyarakatan bagi membantu golongan yang memerlukan di samping menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
“Bantuan yang disampaikan mungkin sederhana, namun mesej yang dibawa besar iaitu kasih sayang, kebersamaan dan keprihatinan perlu terus dipupuk dalam masyarakat,” ujarnya.
Sementara itu, Ts Dr Subash berkata, sambutan masyarakat terhadap program tersebut menunjukkan penerimaan komuniti bukan-Islam terhadap peranan DHPP sebagai platform penyertaan masyarakat pelbagai kaum bersama PAS.
Menurutnya, program berkenaan turut menyaksikan seramai 35 penduduk menyerahkan borang keahlian baharu DHPP sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperjuangkan nilai kebajikan, perpaduan dan khidmat masyarakat.
“Ini menunjukkan semakin ramai masyarakat bukan Islam yakin untuk bersama-sama menyumbang kepada usaha membina hubungan harmoni serta membantu masyarakat,” katanya.
Beliau turut menghargai kerjasama sukarelawan, penyumbang, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pimpinan PAS Kawasan Segambut serta warga DHPP yang menjayakan program berkenaan.
Anuar pula berkata, PAS Kawasan Segambut akan terus memperluaskan program kebajikan bagi memastikan lebih ramai golongan memerlukan mendapat perhatian.
“Kami mahu masyarakat melihat bahawa PAS sentiasa bersama rakyat. Selagi ada kemampuan, program seperti ini akan diteruskan supaya lebih ramai keluarga mendapat manfaat,” katanya.
Menurut beliau, kerjasama antara PAS, DHPP dan masyarakat setempat membuktikan usaha memperkukuh hubungan antara kaum perlu diterjemahkan melalui tindakan yang memberi manfaat secara langsung.
Katanya, pendekatan kebajikan bukan sahaja membantu meringankan beban kehidupan masyarakat, malah membuka ruang kepada rakyat pelbagai kaum untuk saling mengenali serta membina hubungan lebih erat. – HARAKAHDAILY 3/8/2026










