‘Anwar terus menjerit dan melalak seperti seorang pembangkang’

_Kegagalan transisi Anwar antara punca PH semakin mundur_

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kegagalan Dato’ Seri Anwar Ibrahim melakukan transisi daripada Ketua Pembangkang kepada Ketua Kerajaan menjadi antara sebab Pakatan Harapan (PH) semakin mundur.

- Advertisement -

Tokoh Wartawan Negara, Datuk Abdul Kadir Jasin berkata, perubahan peranan itu penting kerana Anwar perlu meninggalkan pendekatan pembangkang selepas menerajui kerajaan.

“Daripada ‘naga bernyawa api’ kepada ‘penyejuk hati’. Beliau terus menjerit dan melalak seperti seorang pembangkang. Hatta kalau beliau berjaya mentransformasi watak beliau sekali pun, kedudukan politik beliau tidak kuat.

“PH hanya disokong oleh 37.99 peratus pengundi dalam PRU 2022,” ujarnya dalam media sosial miliknya.

*Sokongan sekutu kerajaan dipersoalkan*

Abdul Kadir mengulas, kedudukan PH turut dipengaruhi tahap komitmen sekutu dalam Kerajaan ‘Perpaduan’ Madani, khususnya Barisan Nasional.

Beliau menyatakan, Umno mula tawar hati dan berasa takut apabila dituduh bersekongkol dengan DAP dalam Kerajaan Madani.

“Hendak salahkan Umno pun tidak boleh juga. Bukan mereka yang pilih menyertai Kerajaan Madani tetapi Presiden mereka, (Dato’ Seri Dr) Ahmad Zahid Hamidi. Sebab tersirat beliau sertai Kerajaan Madani semua orang sudah tahu,” ulasnya.

*PH hilang pengaruh di Negeri Sembilan*

Abdul Kadir memaklumkan, seperti diramalkan banyak pihak, PH hilang kuasa terhadap Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.

Beliau menghuraikan, daripada 17 kerusi dimenangi dalam PRN 2023, PH hanya mampu mempertahankan 11 kerusi.

Menurutnya, sembilan kerusi dikuasai DAP manakala dua lagi disumbangkan PKR dalam PRN Negeri Sembilan.

Abdul Kadir menyatakan, BN pula menambah kerusi daripada 16 kepada 18, membabitkan Umno sebanyak 16 dan MCA dua.

Beliau menjelaskan, jumlah itu hanya kurang satu kerusi daripada majoriti mudah kerana DUN Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi.

Bagaimanapun, beliau menegaskan gabungan BN-PN memiliki 25 kerusi, jumlah mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri.

Abdul Kadir memaklumkan, PN memperluaskan pengaruhnya di negeri itu dengan memenangi tujuh kerusi.

Beliau memperincikan, kemenangan PN membabitkan PAS empat kerusi dan Parti WAWASAN tiga kerusi.

Abdul Kadir turut menyatakan, dalam PRN 2023, BN menang 14 kerusi manakala PN sebelum ini memperoleh lima kerusi.

*Trend penolakan terhadap PH berterusan*

Abdul Kadir menegaskan, kejatuhan PH semakin jelas apabila parti pimpinan Anwar ditolak di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan.

Beliau menjangkakan, PH akan menerima nasib sama di Melaka berdasarkan trend penolakan yang semakin buruk.

Menurutnya, trend penolakan terhadap PH dan kepimpinan Anwar bermula dalam PRU 2022 serta semakin ketara.

Abdul Kadir mengingatkan, Anwar gagal mempertahankan majoriti yang dicipta Tun Dr Mahathir Mohamad dalam PRU 2018.

Beliau membandingkan, PH di bawah pimpinan Anwar hanya memenangi 82 daripada 222 kerusi Parlimen pada PRU 2022.

Jumlah itu menurutnya, berbeza berbanding 113 kerusi dimenangi PH di bawah pimpinan Dr Mahathir dalam PRU 2018.

Abdul Kadir menambah, PH turut kehilangan banyak kerusi dalam PRN enam negeri pada 2023 berbanding kemenangan 2018.

Abdul Kadir mempersoalkan sejauh mana Anwar mampu kekal sebagai Perdana Menteri selepas kekalahan PH di Johor dan Negeri Sembilan.

“Beliau kata, PH kalah beliau tetapi Perdana Menteri. Sekali pun beliau kekal Perdana Menteri, namun prestij beliau tetap jatuh,” katanya. – *HARAKAHDAILY 3/8/2026*

- Advertisement -