
KUALA TERENGGANU: Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai antara Tredwell dan Weatherford Company dijangka membuka lebih banyak peluang kepada anak Terengganu untuk terlibat dalam sektor petroleum huluan (upstream).
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, khususnya dalam bidang yang memerlukan teknologi tinggi dan kepakaran khusus.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putra, kerjasama strategik itu berpotensi meningkatkan penglibatan syarikat tempatan dalam industri petroleum yang semakin berkembang.
Menurutnya, Tredwell memiliki kepakaran dalam kerja-kerja penyelenggaraan telaga minyak, manakala Weatherford Company merupakan syarikat antarabangsa yang terkenal dalam penghasilan peralatan dan teknologi bagi kegunaan industri petroleum.
“Kerajaan Negeri Terengganu menyambut baik usaha ini dan berharap persefahaman yang dimeterai dapat dilaksanakan dengan jayanya.
“Saya berharap agar persefahaman ini juga dapat membuka ruang dan peluang kepada syarikat anak Terengganu untuk terlibat secara lebih aktif dalam sektor upstream petroleum,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis pemeteraian MoU antara kedua-dua syarikat terbabit.
Mohd Nurkhuzaini turut berharap kerjasama itu dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan tempatan serta memperluaskan akses kepada teknologi dan kepakaran bertaraf antarabangsa dalam sektor petroleum.
“Kerajaan negeri menaruh harapan agar MoU tersebut dapat direalisasikan demi meningkatkan keupayaan anak Terengganu dalam industri berkenaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/8/2026










