Lee Kuan Yew lihat layanan kepada kaum Cina Kelantan

- Advertisement -

REMBAU: Masyarakat bukan-Melayu di negara ini disaran mencontohi bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew yang datang sendiri ke Kelantan untuk melihat layanan sebenar negeri itu terhadap kaum Cina.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah berkata, Lee Kuan Yew berada di Kelantan selama beberapa hari kerana mahu melihat sendiri keadaan sebenar, bukan sekadar bergantung kepada laporan atau pandangan pihak lain.

“Itu sikap orang cerdik, datang tengok sendiri, tanya sendiri masyarakat Cina di Kelantan sebelum bertemu pimpinan Kerajaan Kelantan,” ujarnya ketika berucap pada majlis Ceramah Mega Grand Finale DUN Paroi, malam tadi.

Turut berucap pada majlis itu, Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato’  Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob dan Timbalan EXCO Kerajaan Kelantan, Nik Bahrum Abdullah.

Menurut Amar yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Kuan Yew mengakui beliau datang untuk melihat sendiri perkembangan itu hasil laporan negatif di media.

Cerita beliau, ketika bertemu Allahyarham Tan Sri Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Lee Kuan Yew bertanya bagaimana layanan PAS terhadap masyarakat Cina sekiranya parti itu memerintah Malaysia.

“Tok Guru menjawab, layanan PAS terhadap orang Cina di Malaysia dan Singapura adalah sama seperti layanan yang diberikan kepada masyarakat Cina di Kelantan.

“Selepas mendengar jawapan itu, Lee Kuan Yew berkata beliau berpuas hati,” kata Amar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor mengimbau sejarah itu.

Beliau juga berkata, selepas meninjau sendiri keadaan di Kelantan, Lee Kuan Yew mengakui apa dilihatnya tidak sama dengan gambaran buruk yang sering diperkatakan mengenai negeri itu.

Menurut Mohd Amar, pengalaman itu membuktikan dakwaan bahawa pemerintahan Islam akan menindas masyarakat bukan-Islam adalah tidak berasas.

Tambahnya, antara prinsip utama pemerintahan Islam ialah keadilan  yang mewajibkan kerajaan berlaku adil kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

“Kerajaan yang berteraskan Islam wajib memberikan hak kepada setiap individu mengikut haknya tanpa mengira kaum dan agama.

“Keadilan dalam Islam bukan bermaksud menyamaratakan semua perkara, sebaliknya meletakkan sesuatu pada tempat yang sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman pemerintahan PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah membuktikan masyarakat bukan-Islam terus menikmati hak mereka tanpa dipinggirkan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai dakwaan negatif terhadap PAS atau Kelantan tanpa membuat penilaian berdasarkan fakta dan pengalaman sebenar. – HARAKAHDAILY 31/7/2026

- Advertisement -