
KUALA LUMPUR: Agensi penguat kuasa digesa untuk menjalankan siasatan menyeluruh serta mendakwa pihak yang bertanggungjawab atas kerugian dan kelemahan tadbir urus Lembaga Tabung Haji (TH).
Ahli Parlimen Parit, YB Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib menyuarakan gesaan itu terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM).
Menurutnya penemuan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH adalah amat membimbangkan serta wajar mengejutkan setiap umat Islam yang mengamanahkan simpanan haji mereka kepada institusi itu.
Laporan itu antaranya mendedahkan pembayaran hibah bagi tempoh 2014 hingga 2017 dibuat berasaskan kaedah pengiraan nilai aset boleh direalisasikan (RAV) yang tidak mematuhi standard perakaunan.
Sedangkan ketetapan sebagaimana termaktub pada Seksyen 22 Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) melarang pembayaran hibah jika nilai aset kurang daripada jumlah liabiliti.
Laporan tersebut mendedahkan, hibah didapati dibayar ketika TH berada dalam kedudukan defisit, iaitu keadaan yang disembunyikan daripada pengetahuan awam dan ahli Parlimen ketika itu.
Lebih membimbangkan, laporan turut mendedahkan kerugian TH meningkat sehingga mencecah RM10 bilion akibat inisiatif pelaburan berisiko tinggi dalam ekuiti.
Serta kegagalan pelaburan luar negara termasuk PT TH Indo Plantations di Indonesia dan portfolio hartanah hotel di Makkah dan Madinah.
Pada masa sama, wujud amalan pemberian bonus yang tidak selaras dengan prestasi kewangan sebenar kumpulan, sekali gus Muhammad Ismi menyuarakan tuntutan tegas berhubung isu berkenaan.
“Pertama, saya memohon semua pihak bertanggungjawab dan terbabit dalam pengurusan TH sepanjang tempoh 2014 hingga 2020 disiasat secara menyeluruh mengikut lunas undang-undang yang sedia terpakai.
“Kedua, saya menuntut agar individu-individu yang terbabit didakwa di Mahkamah tanpa mengira kedudukan, pangkat, atau latar belakang politik mereka.
“Prinsip kesamarataan di sisi undang-undang mesti dipertahankan; tiada sesiapa yang boleh terlepas daripada pertanggungjawaban semata-mata kerana kedudukan yang pernah disandang,” katanya.
Beliau menegaskan tindakan itu jika siasatan mendapati wujudnya unsur jenayah, sama ada salah guna kuasa, penyelewengan amanah, penipuan akaun, atau mana-mana kesalahan di bawah undang-undang berkaitan.
Bagi tuntutan ketiga dan keempat, beliau menyeru agar usaha tuntutan semula (recovery) bonus dan ganjaran yang terbukti diberi secara tidak patuh peraturan dilaksanakan segera untuk dikembalikan kepada dana pendeposit.
Beliau juga menyokong cadangan meminda Akta 535 bagi mengehadkan kuasa Menteri dalam tadbir urus harian serta melarang pelantikan ahli politik aktif sebagai Pengerusi atau Ahli Lembaga Pengarah.
“Amanah pendeposit Tabung Haji bukanlah sekadar wang simpanan biasa, tetapi merupakan hak umat Islam yang diamanahkan demi menunaikan salah satu Rukun Islam.
“Sebarang penyelewengan terhadap amanah sebegini adalah satu bentuk khianat yang tidak boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan hak dan masa depan bakal jemaah haji negara.
“Saya berharap kerajaan, khususnya pihak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan pengurusan terkini Tabung Haji, akan memastikan proses siasatan dan tindakan susulan ini dijalankan.
“(Pastikan) secara telus, adil, dan tanpa berat sebelah, demi mengembalikan keyakinan penuh umat Islam terhadap institusi ini,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 31/7/2026










