
ESOK rakyat Negeri Sembilan akan melaksanakan tanggungjawab memilih pemimpin. Beberapa kali saya turun ke lapangan bagi menilai situasi di lapangan. Berikut adalah pemerhatian dan jangkaan saya.
Kerusi majoriti bukan Melayu
Dalam PRN Negeri Sembilan terdapat kira-kira 13 DUN yang mempunyai pengundi Cina melebihi 40 peratus iaitu Chennah, Bahau, Nilai, Lobak, Temiang, Bukit Kepayang, Rahang, Mambau, Seremban Jaya, Chuah Lukut, Sri Tanjung dan Repah.
Dalam PRN 2023, ke semua kerusi ini dimenangi oleh PH.
Berdasarkan kajian lapangan, kerusi-kerusi ini dijangka masih kekal bersama PH. Kecuali kerusi Chennah yang ditandingi oleh Anthony Loke. Kerusi Chennah ini adalah ‘straight fight’ antara Calon BN (MCA) dan Anthony Loke (DAP).
Daripada pemerhatian saya, momentum ketika ini memberi isyarat bahawa John Siow mempunyai peluang yang realistik untuk mencipta kejutan. Walau bagaimanapun, kemenangan bergantung kepada dua faktor utama.
Pertama, peratusan keluar mengundi dalam kalangan pengundi Melayu mesti berada pada tahap yang tinggi. Kedua, perlu berlaku tambahan ayunan sekitar 2 hingga 3 peratus daripada pengundi Cina untuk memberikan kelebihan yang mencukupi kepada calon BN.
Sekiranya kedua-dua faktor ini berlaku serentak, Chennah berpotensi menjadi antara kejutan terbesar dalam PRN Negeri Sembilan kali ini.
Kerusi Tok Min
Tok Min pada PRN 2023 bertanding dan menang kerusi Sikamat dengan majoriti 2,666. Tapi dalam PRN 2026, Tok Min tinggalkan kerusi Sikamat kepada Setiausaha Politik dia dan dia pergi ke kerusi Linggi.
Apa percaturan PKR saya pun tak faham. Kerusi Linggi dimenangi oleh BN dengan majoriti 1,461. Bila BN + PN, maka logiknya majoriti itu akan meningkat. Maknanya Tok Min dihantar untuk ‘disembelih’ kat Linggi.
Jangkaan saya calon BN Dato’ Mohd Faizal Ramli akan menang dengan selesa melebihi 2,000 majoriti.
Kerusi PH lain
Selain Chennah dan Linggi, kerusi PH yang lain seperti Klawang, Sikamat, Ampangan, Pilah juga akan tumbang.
Ampangan sebagai contoh, calon PN Dato Rafie mempunyai ‘base’ yang sangat kuat di sana. Bayangkan ketika PRN 2023, dia bertanding calon bebas. Undi yang dia perolehi adalah 50 peratus daripada undi calon PH yang menang. Maka campur kekuatan ‘base’ dia dengan kekuatan PN, dijangka calon PN Ampangan akan menang selesa lebih 1,000-2,000 majoriti.
Kerusi Sikamat pula, calon PN adalah Datuk Razali Abu Samah bekas Timbalan Ketua Polis Melaka. Walaupun kerusi itu dimenangi oleh Tok Min dalam PRN 2023, dengan persepakatan politik PN-BN ini kerusi ini dijangka dimenangi oleh calon PN 500-1,000 majoriti.
Jangkaan jumlah kerusi
Dalam membuat analisa ini saya tetapkan beberapa ‘prediction’ model. ‘Base Case’, ‘High Case’ dan ‘Low Case’. Bagi mudah pembaca faham, saya akan terangkan ‘Base Case’ sahaja.
PN+BN = 22-24
PH = 14-12
BERSATU = 0
Bebas = 0
PN + BN dijangka akan menang di antara 22-24 kerusi. Sekiranya PN + BN berjaya cecah 24 kerusi, maka dapatlah 2/3. PN dijangka menang 7-8 kerusi dan BN dijangka menang 15-16 kerusi.
PH pula, parti PAN akan kehilangan semua kerusi yang ditandingi. PKR dijangka menang hanya 2 kerusi iaitu Chuah dan Sri Tanjung. Adapun DAP akan memenangi 10 kerusi.
Keputusan ini akan melemahkan PH kerana Pengerusi PH negeri dan Setiausaha Agung DAP, kedua-duanya dijangka tewas.
Faktor BERSATU
Faktor BERSATU ini dijangka tidak menggugat. BERSATU hanya akan kacau daun dan menyebabkan majoriti PN+BN berkurangan. Ini sebenarnya menguntungkan PH.
Calon-calon BERSATU akan tewas sepenuhnya malah ramai dijangka akan hilang deposit.
Pengundi Negeri Sembilan yang mahu menolak PH dan DAP, perlu turut menolak BERSATU kerana mengundi BERSATU memberikan kekuatan kepada PH dan DAP.
Kesan kepada PRU16
Keputusan PRN Negeri Sembilan akan menjadi permulaan kepada jajaran politik baharu menjelang PRU16. Gabungan dua parti Melayu Islam (PAS dan Umno) mendapat sambutan sangat hebat daripada pengundi Melayu Islam.
Kemenangan PN+BN juga akan mengesahkan formula kerjasama kedua-dua gabungan sebagai model yang mampu mencabar PH di peringkat negeri dan nasional, manakala kekalahan PH di negeri yang selama ini dianggap antara kubu kuatnya akan menjadi tamparan besar.
Dalam masa yang sama, kegagalan BERSATU memenangi kerusi akan menguatkan persepsi bahawa dalam pertandingan tiga penjuru hanya memecahkan undi dan menguntungkan PH. BERSATU akan semakin tidak relevan dan akhirnya menjadi parti kecil yang tiada pengaruh.
Semua ini tidak akan berlaku sekiranya pengundi PN+BN tidak keluar beramai-ramai. Malah ada potensi keputusan memihak kepada PH dan DAP di beberapa kerusi.
Oleh yang demikian, kepada pengundi Negeri Sembilan, keluarlah beramai-ramai untuk melaksanakan tanggungjawab anda. Undilah PERIKATAN NASIONAL dan Barisan Nasional.
Salam hormat,
IR TS DR NURUL ISLAM MOHAMED YUSOFF
Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi
Lajnah Penerangan PAS Pusat – HARAKAHDAILY 31/7/2026










