
KENYATAAN veteran DAP, Teng Chang Khim bahawa “nama Tanah Melayu telah berakhir” dengan memetik sumber “Perkara 1(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Persekutuan hendaklah dikenali sebagai Malaysia”.
Dengan mendongak menafikan nama Tanah Melayu telah berakhir apabila berkuatkuasanya Perlembagaan Persekutuan ditandai simbol bacaan bahasa universal, iaitu titik atau noktah yang bermaksud berhenti atau cukuplah dilihat bersifat provokatif dan jahat malah daif memahami sejarah pembentukan negara serta semangat yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.
Tanah Melayu merupakan satu-satunya tanah air bagi orang Melayu, sedangkan keadaan tersebut tidak semestinya terpakai kepada kaum-kaum lain yang mendiami Semenanjung ini atau kepada mereka yang tinggal di sini, sama ada untuk tempoh yang singkat mahupun lama. Petikan ucapan Lord Ogmore di House of Lord ketika House of Lords membahaskan bacaan kali kedua Federation of Malaya Independence Bill pada Julai 1957, sebulan sebelum kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.
Teks asal beliau menyatakan “One has to remember that Malaya is the Malays’ only home, and that that does not necessarily apply to any of the other races who occupy the peninsula, or to people who live in it for a shorter or a longer time”.
Intipati ucapan yang sama pernah dinyatakan secara rasmi sekurang-kurangnya tiga tokoh British dalam perbahasan Parlimen United Kingdom, iaitu Mr Oliver Stanley pada 1946, Lord Killearn (1949) dan Lord Ogmore (1957).
Lebih menarik ucapan Oliver Stanley bahawa Tanah Melayu merupakan tanah air asal (tradisional) orang Melayu dari rekod rasmi British. Beliau menyatakan waktu membahaskan rancangan Malayan Union melalui bacaan kali kedua Straits Settlements (Repeal) Bill [Lords], Mr Oliver Stanley, Ahli Parlimen bagi Bristol West, pada 8 Mac 1946, ketika House of Commons.
Selanjutnya dalam terjemahan beliau mengujarkan bahawa “masyarakat Cina dan India yang datang ke sana (Malaya) dalam jumlah yang lebih besar, sekurang-kurangnya pada zaman kebelakangan itu, dan sebahagian besarnya atas undangan kita”. Ini pengesahan dokumen sejarah yang bermaksud Tanah Melayu pada asalnya ialah sebuah wilayah Melayu dan merupakan tanah air tradisional orang Melayu. Kepelbagaian masyarakat apabila pertambahan besar masyarakat Cina dan India pada zaman penjajahan tidak boleh dipisahkan daripada dasar ekonomi dan pentadbiran British yang membawa masuk tenaga buruh serta menggalakkan penghijrahan.
Malaysia dibentuk pada 1963 berakar negeri Melayu diikat nama Persekutuan Tanah Melayu bukan menggantikan atau memadam sejarah kewujudan Tanah Melayu. Persekutuan disertai negeri Tanah Melayu, Malaya dan Singapura yang mengekalkan nama Tanah Melayu malah melalui Suatu Akta (Pindaan) 2021 Perlembagaan Malaysia yang mula berkuat kuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong melalui pemberitahuan dalam Warta.
Rinci Pindaan Perkara 1 dengan menggantikan Fasal (2), bahawa Negeri-Negeri Persekutuan terdiri daripada Negeri-Negeri Tanah Melayu, iaitu, Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu; dan Negeri-Negeri Borneo, iaitu, Sabah dan Sarawak.
Nama Tanah Melayu telah termaktub dalam sejarah dan perlembagaan negara bukan gema dan retorik pemimpin politik atas ruang kebebasan bersuara sebaliknya mereka dituntut lebih bertanggungjawab dalam membuat kenyataan awam yang mengelirukan masyarakat dan ketegangan kaum.
Sementara Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu ditandatangani pada 21 Januari 1948 di King House, Kuala Lumpur oleh Raja-Raja Melayu dan Pesuruhjaya Tinggi British Sir Edward Gent. Melalui perjanjian ini, sembilan Negeri-negeri Melayu dan dua Negeri-negeri Selat (Melaka dan Pulau Pinang) bergabung di bawah satu persekutuan. Singapura tidak dimasukkan dan kekal sebagai koloni mahkota British yang berasingan.
Dokumen Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu merupakan jalur memakzulkan Malayan Union dan mengembalikan kedudukan Raja-Raja Melayu. Ia menetapkan syarat kewarganegaraan, pembahagian kuasa antara kerajaan pusat dan negeri serta penubuhan Majlis Raja-Raja.
Manakala Kerajaan Persekutuan di bawah perjanjian itu diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi British (1948–1957), sebelum digantikan dengan Yang di-Pertuan Agong selepas kemerdekaan. Badan perundangan pula dikenali sebagai Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu. Manakala hak kewarganegaraan diperketatkan berbanding Malayan Union.
Antaranya kerakyataan dikategorikan rakyat sultan mana-mana negeri Melayu dan rakyat British bagi mereka yang lahir di Melaka atau Pulau Pinang dan prasyarat menetap 15 tahun. Manakala individu yang lahir di Persekutuan dan bertutur bahasa Melayu serta mengikut adat Melayu layak mendapat kewarganegaraan di samping elemen “naturalisasi” melalui syarat tinggal lama dan kelakuan baik. Inilah keteguhan dan konkrit nama Tanah Melayu seutuh tembok besar yang menjadi warisan dunia.
Oleh itu, nilai kesetiaan dan kesopanan serta kesantunan yang tertera dalam rukun negara untuk kemenjadian warga yang mempunyai atribut jati diri dan patriotisme yang tinggi.

DR ZULKEFLEE YAACOB
Psikososio @ Pakar Penasihat Wanita Kelantan – HARAKAHDAILY 30/7/2026











