MyCC diperluas: Dr Martina bangkit hak negeri, PKS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Persaingan yang adil dan sihat dalam pasaran bukan sekadar suatu doktrin ekonomi liberal semata-mata, tetapi ia selari dengan tuntutan keadilan muamalah dalam Islam,” ujar Ahli Dewan Negara, Dr Wan Martina Wan Yusoff.

Menurut beliau, prinsip itu merangkumi larangan terhadap ihtikar atau penimbunan yang menzalimi pengguna, gharar dan penipuan dalam urus niaga, selain tuntutan agar peniaga tidak menzalimi peniaga lain melalui penyalahgunaan kedudukan dominan.

Sehubungan itu, beliau menyokong usaha memperkasakan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dalam melaksanakan fungsi penyeliaannya, namun mengemukakan beberapa persoalan penting berhubung skop, penguatkuasaan dan perlindungan prosedur dalam pindaan tersebut.

Skop aktiviti ekonomi dan prinsip perpaduan

Menurut beliau, Fasal 3 RUU berkenaan menggantikan Seksyen 3 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) dengan meluaskan pemakaian akta daripada aktiviti komersial kepada ‘apa-apa aktiviti komersial atau ekonomi’.

“Huraian RUU menjelaskan pindaan itu bertujuan meliputi rangkuman aktiviti lebih luas yang berpotensi memberi kesan kepada persaingan pasaran,” ujar beliau ketika menyertai perbahasan Rang Undang-Undang Persaingan (Pindaan) 2026 di Dewan Negara, semalam.

Namun, beliau mempersoalkan takat sebenar peluasan itu, khususnya apabila Subseksyen 3(4) baharu memberi pengecualian kepada aktiviti dalam perjalanan kuasa kerajaan dan aktiviti berasaskan prinsip perpaduan, sedangkan kedua-dua istilah itu tidak ditakrifkan secara jelas.

Beliau meminta kementerian menjelaskan sama ada aktiviti koperasi, badan kebajikan, tabung wakaf dan institusi berasaskan agama yang menjalankan aktiviti ekonomi terhad, termasuk kedai koperasi sekolah atau baitulmal, akan turut tertakluk di bawah akta itu.

Wan Martina turut membangkitkan sama ada prinsip perpaduan akan diperincikan melalui garis panduan berasingan bagi mengelakkan litigasi serta ketidakpastian undang-undang kepada usahawan kecil dan koperasi luar bandar.

Kuasa MyCC terhadap entiti kerajaan

Menurut Martina, Fasal 2(a) pula memperkenalkan takrif baharu ‘entiti kerajaan’ yang meliputi Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun, kementerian dan jabatan.

“Fasal 7 melalui Seksyen 11A baharu dan Fasal 9 menerusi penggantian Seksyen 18 memberikan kuasa kepada MyCC mengarahkan entiti kerajaan menyerahkan maklumat, butir-butir atau dokumen bagi tujuan kajian semula pasaran dan penyiasatan.

“Perkembangan itu besar kerana buat pertama kali kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan turut tertakluk kepada kuasa penyiasatan suruhanjaya Persekutuan,” ujarnya.

Beliau menuntut penjelasan tentang pelaksanaan peruntukan itu dalam konteks hubungan Persekutuan-negeri di bawah Perlembagaan Persekutuan, terutama membabitkan pentadbiran tanah dan sumber asli yang berada di bawah Senarai Negeri.

Beliau juga menegaskan Subseksyen 11A(7) dan 18(8) hanya menyatakan entiti kerajaan hendaklah mematuhi permintaan Suruhanjaya tanpa memperuntukkan kesalahan atau penalti jika enggan berbuat demikian, berbeza dengan orang persendirian di bawah subseksyen (4) dan (5).

Perjanjian, penyelesaian dan kelonggaran penalti

Dr Wan Martina turut menyentuh Fasal 4 yang memotong takrif perjanjian mendatar dan menegak daripada Seksyen 2, selain meminda Seksyen 4 supaya larangan terpakai kepada apa-apa perjanjian tanpa mengira kategorinya.

“Perjanjian mendatar lazimnya membawa risiko anti-persaingan lebih tinggi, manakala perjanjian menegak sering mempunyai kecekapan ekonomi,” jelas beliau.

Justeru, beliau mahu mengetahui sama ada MyCC akan menggunakan analisis kesan persaingan seragam serta kesannya kepada syarikat yang mengamalkan pengedaran eksklusif atau harga jualan semula disyorkan.

Menyentuh Fasal 20, beliau menyokong Seksyen 38A baharu di mana membolehkan MyCC menawarkan penyelesaian kepada perusahaan disiasat yang mengaku liabiliti, dengan pengurangan penalti kewangan sehingga 40 peratus.

Namun, beliau mahu kriteria kelayakan penyelesaian itu dan garis panduannya didedahkan secara telus bagi mengelakkan persepsi diskriminasi atau layanan istimewa.

Beliau juga mempersoalkan sama ada potongan penyelesaian boleh digabungkan dengan rejim kelonggaran di bawah Seksyen 41 serta had maksimum pengurangan penalti.

Dr Martina sempat menyentuh Fasal 23 dan menyokong pengukuhan rejim kelonggaran sehingga 100 peratus, termasuk pertimbangan sama ada sesebuah perusahaan memaksa pihak lain menyertai perjanjian anti-persaingan.

Namun, beliau meminta MyCC memperjelas takrif dan kaedah pembuktian ‘paksaan’ bagi mengelakkan tuduhan taktikal antara perusahaan.

Hak rayuan dan keadilan kepada PKS

Wan Martina turut mengalu-alukan pemotongan Subseksyen 58(3), yang sebelum ini menjadikan keputusan Tribunal Rayuan Persaingan muktamad, serta pemasukan Seksyen 58A melalui Fasal 29.

Pindaan itu katanya, membolehkan rayuan lanjut ke Mahkamah Tinggi bagi persoalan undang-undang dan amaun penalti kewangan, yang boleh mencecah sehingga 10 peratus pusing ganti global sesebuah syarikat.

Bagaimanapun, beliau meminta kerajaan menganggarkan tempoh maksimum penyelesaian kes dari MyCC ke Tribunal Rayuan Persaingan dan Mahkamah Tinggi.

“Litigasi berlapis boleh dimanipulasi syarikat besar untuk melengahkan pembayaran penalti, sedangkan PKS yang menjadi mangsa amalan anti-persaingan tidak mempunyai sumber kewangan sama untuk menunggu,” katanya.

Beliau juga mahu kementerian, badan kehakiman dan Peguam Negara menjelaskan sama ada perbincangan telah dibuat mengenai kapasiti Mahkamah Tinggi menampung beban kerja tambahan. – HARAKAHDAILY 28/7/2026

- Advertisement -
- Advertisement -