Kontrak, beras dan runcit: Di bawah penguasaan kartel?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keberkesanan penguatkuasaan undang-undang persaingan, khususnya dalam membanteras kartel yang didakwa menguasai pelbagai sektor ekonomi, perlu diberi perhatian serius supaya pindaan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) tidak sekadar tinggal sebagai peruntukan di atas kertas.

Ahli Dewan Negara, Senator Hussin Ismail menegaskan, asas perjuangan MyCC yang mempunyai tujuh fokus boleh dirumuskan kepada tiga matlamat utama, iaitu menguatkuasakan undang-undang bagi membanteras kartel, menasihati kerajaan untuk membina persaingan sihat serta melindungi kepentingan pengguna.

Beliau menyokong RUU berkenaan, namun menuntut penjelasan mengenai kemampuan pegawai penguat kuasa bertindak secara bebas tanpa sekatan pihak berautoriti.

“Kartel ini apa yang saya nampak dia berada di puncak gunung sampai ke tengah lautan. Atas kapal nak order apa pun dikawal lagi oleh kartel,” katanya sambil mengingatkan kesannya bukan sahaja melibatkan wang, malah boleh mengancam nyawa.

Persoalan keberkesanan MyCC

Hussin meminta Menteri menjelaskan sejauh mana kos sara hidup berjaya dibendung melalui peranan MyCC sejak Akta Persaingan 2010 dikuatkuasakan.

Beliau turut mahu ketahui jumlah kartel besar yang telah ditangkap dan didakwa, selain nilai penjimatan diperoleh pengguna hasil tindakan MyCC sepanjang tempoh itu.

Menurutnya, beliau masih kurang melihat tindakan yang jelas dan berkesan terhadap kartel besar yang didakwa menguasai negara serta mempengaruhi kuasa beli dan harga barangan rakyat.

“Antara isu yang dibangkitkan ialah proses bidaan kontrak besar, apabila seorang kontraktor utama didakwa mendaftarkan sehingga 50 atau 60 syarikat sendiri serta syarikat proksi bagi mengemukakan sebut harga.

“Apabila mana-mana satu syarikat itu dipilih, pihak yang sama tetap memperoleh kontrak berkenaan,”ujarnya ketika membahaskan RUU itu di Dewan Negara, semalam.

Beliau juga mempersoalkan sistem kelayakan kontrak besar yang bergantung kepada rekod prestasi, modal dan pengalaman, kerana syarat itu menyebabkan pemain lama terus menerima kontrak berulang kali, manakala syarikat baharu sukar menembusi pasaran.

Rantaian subkontrak dan isu makanan

Hussin turut menimbulkan amalan kontraktor utama yang memperoleh projek tetapi menyerahkan sebahagian besar pelaksanaan kepada subkontraktor.

Beliau berkata pernah terlibat dalam satu projek lebuh raya sebagai subkontraktor ke-12, sedangkan kontraktor utama didakwa sering datang daripada kelompok yang sama.

Beliau menegaskan perkara itu bukan tuduhan, sebaliknya meminta pengesahan sama ada keadaan tersebut benar-benar berlaku dan disedari pihak berkuasa.

Dalam isu beras, beliau membangkitkan kedudukan Malaysia sebagai pengeluar dengan kadar sara diri (SSR) sekitar 62.7 peratus, manakala kira-kira 37 peratus lagi diimport.

Namun jelasnya, ketika beras tempatan membentuk majoriti stok, harga pasaran dikaitkan dengan harga beras import.

“Mengapa pihak yang memanipulasi isu campuran beras tempatan dan import masih belum ditangkap atau didakwa, termasuk ketika ribuan kampit beras dilaporkan rosak akibat tersimpan dan tidak dilepaskan ketika banjir?” soalnya.

Hussin juga menyentuh isu telur yang menurutnya SSR negara mencapai 107 peratus, tetapi pernah berlaku kekurangan bekalan.

“Sehingga kini tiada tindakan yang jelas diumumkan terhadap kartel yang mungkin mengawal keadaan tersebut,” ujarnya.

Beliau turut mempersoalkan sama ada penguasaan dominan terhadap kontrak berpunca daripada hubungan tertentu, termasuk hubungan dengan pihak berautoriti atau politik, apabila terdapat individu berkait politik yang dikatakan tiba-tiba memiliki ekuiti besar serta memperoleh kontrak bernilai tinggi.

Inovasi dan tekanan terhadap peruncit kecil

Dalam pada itu, Hussin mengakui teknologi boleh memecahkan penguasaan monopoli atau kartel.

Beliau memberi contoh industri pos yang berubah apabila SMS, e-mel dan perkhidmatan kurier mengambil alih fungsi penghantaran surat.

Beliau juga membandingkan harga traktor empat fungsi dari China yang boleh dihantar ke Malaysia sekitar RM15,000 dengan traktor terpakai Komatsu dari Jepun yang berharga RM18,000 tanpa peralatan tambahan.

Namun, beliau mengingatkan bahawa inovasi dan kuasa beli rangkaian peruncitan besar perlu diseimbangkan.

“Rangkaian dengan ribuan outlet, gudang dan pembelian terus tanpa orang tengah mampu menawarkan harga rendah kepada pengguna, tetapi dikatakan menyebabkan lebih 80 peratus peruncit kecil terpaksa menutup perniagaan,” jelas beliau lagi.

Menurutnya, peruncit kecil pula perlu melalui empat atau lima lapis orang tengah, sedangkan syarikat besar memperoleh bekalan terus dari Kuala Lumpur.

Beliau turut menggesa kerajaan meneliti kesan terhadap peniaga tempatan, sambil menekankan kejayaan RUU itu akhirnya bergantung pada penguatkuasaan bebas, tegas dan dukungan penuh pemerintah. – HARAKAHDAILY 28/7/2026

- Advertisement -
- Advertisement -