Akta Persaingan mesti lindungi PKS, bendung kartel

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Islam tidak menghalang seseorang menjadi kaya, sebuah syarikat menjadi besar ataupun sebuah perusahaan menguasai bahagian pasaran yang lebih besar hasil daripada kecekapan dan inovasi.

“Tetapi apabila kekuatan ekonomi itu digunakan untuk menyekat orang lain, memanipulasi harga, mengatur pasaran, membentuk kartel ataupun menyalahgunakan kedudukan dominan, maka di situlah berlakunya ketidakadilan,” tegaskan Senator Musoddak Ahmad.

Beliau berkata, Islam tidak pernah menolak perdagangan, keuntungan dan persaingan, malah menggalakkan umatnya berniaga, berusaha serta berlumba-lumba menghasilkan barangan dan perkhidmatan terbaik.

Beliau merujuk riwayat masyhur bahawa sembilan persepuluh pintu rezeki berada dalam perniagaan, bagaimanapun menegaskan persaingan mesti dilaksanakan secara adil, telus dan tidak menzalimi pihak lain, terutama golongan yang lebih lemah.

Beliau turut membacakan hadis Rasulullah SAW yang menyentuh perkara ihtikar ataupun monopoli yang membawa kepada dosa besar.

Menurut beliau, Akta Persaingan bukan semata-mata undang-undang berkaitan syarikat dan perniagaan, sebaliknya menyentuh soal keadilan dalam pasaran.

“Kita mahu syarikat besar terus berkembang dan pelaburan terus masuk, tetapi dalam masa yang sama, kita mahu juga PKS, peniaga kecil dan pemain baharu diberikan ruang yang adil untuk bersaing,” katanya ketika berucap dalam perbahasan Rang Undang-Undang Persaingan (Pindaan) 2026 di Dewan Negara, semalam.

Skop aktiviti ekonomi dan pengecualian

Musoddak menyambut baik pindaan Seksyen 3 yang memperluaskan pemakaian akta daripada hanya aktiviti komersial kepada apa-apa aktiviti komersial atau ekonomi.

Katanya, pindaan itu penting kerana struktur ekonomi hari ini semakin kompleks, termasuk kewujudan organisasi atau entiti yang mungkin tidak mendefinisikan kegiatan mereka sebagai komersial secara tradisional, namun mempunyai kesan ekonomi serta pengaruh besar terhadap pasaran.

Beliau mengingatkan supaya tafsiran teknikal terhadap istilah komersial tidak menyebabkan entiti yang mempunyai kuasa pasaran besar terlepas daripada pengawasan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

Namun, beliau membangkitkan kebimbangan berhubung pengecualian aktiviti yang dilaksanakan berdasarkan prinsip perpaduan atau ‘principle of solidarity’ di bawah Seksyen 3(4)(b).

“Jangan sampai istilah ini terlalu luas sehingga boleh dijadikan satu lompang undang-undang,” katanya, sambil meminta Menteri menjelaskan kriteria dan parameter bagi menentukan aktiviti yang benar-benar berasaskan prinsip tersebut.

Beliau turut mempersoalkan asas serta konsistensi kerajaan dalam menentukan pengecualian kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), khususnya GLC yang melaksanakan mandat atau kepentingan strategik kerajaan tetapi pada masa sama menjalankan aktiviti ekonomi dan bersaing dalam pasaran.

Menurutnya, persoalan itu bukan bermaksud semua agensi perlu dikecualikan, sebaliknya bagi memastikan tidak wujud padang permainan tidak seimbang antara GLC yang memperoleh pengecualian dengan entiti lain yang membawa mandat kerajaan.

Lindungi PKS daripada tindakan balas

Dalam isu pindaan Seksyen 34 berkaitan tindakan balas ekonomi, beliau menyifatkannya sebagai perlindungan penting kepada PKS, pembekal kecil dan individu yang membantu MyCC.

Katanya, tindakan balas dalam dunia perniagaan tidak semestinya berupa ugutan terbuka, sebaliknya boleh berlaku secara halus seperti pembayaran dilambatkan atau ditahan, pesanan dibatalkan, kontrak tidak disambung atau keengganan meneruskan urusan perniagaan.

“Bagi syarikat besar, kehilangan kontrak mungkin tidak memberi kesan besar, tetapi bagi PKS yang bergantung kepada satu atau dua pelanggan utama, keadaan itu boleh menjejaskan kelangsungan perniagaan mereka,” jelasnya.

Musoddak mengambil contoh ‘Ayam Bismi’, sebuah syarikat tempatan di sebelah utara, bagi menunjukkan pentingnya ruang persaingan adil dalam industri yang mempunyai rantaian bekalan besar serta pemain bermodal dan berpenguasaan pasaran lebih kuat.

“Kita mahu lebih banyak syarikat tempatan seperti Ayam Bismi ini berkembang, membina kapasiti dan akhirnya menjadi pemain yang lebih besar,” katanya.

Beliau mahu Menteri memperjelaskan beban pembuktian dalam kes tindakan balas, khususnya apabila PKS dapat menunjukkan pembayaran ditahan, pesanan dibatalkan atau kontrak ditamatkan tidak lama selepas memberi kerjasama kepada MyCC.

Beliau bertanya sama ada pihak yang mengambil tindakan berkenaan perlu membuktikan keputusan mereka dibuat atas alasan komersial yang sah, bukannya sebagai tindakan balas.

Jamin keselamatan pemberi maklumat

Musoddak juga menekankan kepentingan Seksyen 64A dan 64B yang melibatkan perlindungan identiti serta ganjaran kepada pemberi maklumat.

Katanya, kartel lazimnya bergerak secara tertutup dan bukti paling penting sering berada dalam pengetahuan individu di dalam organisasi sendiri.

Namun, beliau bimbang terhadap Seksyen 64A(3) yang membolehkan identiti pemberi maklumat didedahkan apabila perlu bagi memastikan keadilan dicapai.

Beliau meminta kerajaan menjelaskan mekanisme perlindungan susulan kepada individu terbabit, termasuk penilaian risiko, protokol keselamatan serta kerjasama MyCC dengan Polis Diraja Malaysia dan agensi berkaitan.

“Kejayaan pindaan itu perlu diukur melalui keupayaannya menyukarkan kartel beroperasi, menghalang penyalahgunaan kedudukan dominan, meningkatkan keberanian PKS membantu MyCC serta memberi manfaat kepada rakyat melalui harga lebih adil, lebih banyak pilihan dan pasaran yang kompetitif,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/7/2026

- Advertisement -
- Advertisement -