
PMX dalam satu laporan kelmarin menyatakan bahawa beliau tidak keberatan untuk mendedahkan laporan oleh Suruhanjaya Siasatan DiRaja mengenai isu di Lembaga Tabung Haji setelah ia dibawa kepada kabinet.
Bagi PMX, tiada sebarang halangan untuk ia didedahkan kepada umum, akan tetapi mestilah mengikut prosedur yang telah ditetapkan iaitu persetujuan daripada Jemaah Menteri.
Ini antara respon beliau terhadap cabaran oleh Ketua Pemuda Umno Malaysia, Dr Akmal Salleh supaya Kerajaan Pusat mendedahkan laporan RCI itu kepada umum. Sambil PMX mendakwa sekarang masa yang sesuai untuk pendedahan selepas beberapa ketika ia ditangguhkan kerana tidak mahu kehilangan keyakinan pelabur terhadap TH.
Namun di bawah pentadbiran beliau, beliau mengatakan yang TH kini sudah dipulihkan dan mendapat pengiktirafan dunia.
Begitulah antara lain apa yang boleh kita katakan sebagai tindak balas PMX terhadap cabaran rakan sepentadbiran mereka di Pusat. Atau jika dilihat dari konteks politik semasa, ini adalah kempen secara ugutan selepas melihat BN berpaling dari bekerjasama dengan PH dan memilih PN di Negeri Sembilan.
Jika terdedah, pasti pada munasabah akalnya, BN yang akan disabitkan. Ia dilihat sebagai logik kerana siapa lagi yang mentadbir negara sebelum ini. Dan jika pendedahan ini dilaksanakan, ia dikira sebagai peluru akhir bagi menjatuhkan BN kerana mesyuarat kabinet akan berlangsung pada Rabu, sementara hari mengundi pada Sabtu.
Apapun yang mahu dilakukan oleh PMX, sama ada menyerang atau menerang ataupun menekan, ia tiada kena mengena dengan PAS. Paling kuat yang mereka boleh kaitkan ialah PAS menyokong penyakau, sama seperti yang mereka laungkan dahulu dalam kes 1MDB.
Akan tetapi mahu mengheret PAS sama masuk ke kandang tertuduh, mereka akan hampa. Tiada bukti kerana sememangnya tiada penyelewengan yang berlaku sewaktu PAS memegang jawatan Menteri Agama.
Kendatipun begitu, kita sebagai rakyat Malaysia menyokong penuh bagi laporan itu didedahkan kerana ia melibatkan wang rakyat. Namun ia tetap menjadi tanda soal kenapa sekarang? Ia saling tak tumpah bagaikan meluluskan projek-projek segera di tempat berlakunya pilihan raya.
Cara sebegini pernah dilakukan oleh kerajaan terdahulu. Semua hal penting sengaja dilakukan waktu berkempen kerana waktu itu perhatian rakyat akan tertumpu kepada ahli politik. Kemudiannya perkara itu dibantah dan dikutuk oleh PMX yang ketika itu masih belum menjadi PM. Dan sekarang, segala ludah dan kahak dijilat dengan begitu rakus sekali oleh beliau.
Dalam pesanan supaya berkempen dengan profesional, berakhlak, PMX lupa sebentar apa yang beliau lakukan itu tidak menepati kehendak atau tanda aras yang beliau sendiri letakkan. Terlalu mudah untuk dikesan dan rakyat bukan tidak berfikiran waras.
Mereka mendapat akses yang mudah bagi semua maklumat terkini. Hanya rajin atau tidak sahaja. Politik mengugut ini sudah tidak diperlukan lagi dalam kempen-kempen. Ia melambangkan satu ketakutan, bukan identiti bagi pemerintah yang pemberani.
Begitu juga halnya dalam menyekat peruntukan kepada wakil-wakil yang dipilih secara sah oleh rakyat di sesuatu kawasan. Ia jelas menyekat hak rakyat. Ia bukan amalan demokrasi tetapi diamalkan oleh PMX. Pastinya kita masih ingat bagaimana PAS diugut PMX kononnya telah menerima RM90 juta dari Umno suatu masa dahulu, ingin mengaitkan PAS dengan 1MDB.
Sekarang isu itu tidak lagi dimainkan kerana ia memakan diri musuh PAS. Jika benar PAS mengambil wang, pastinya akan ada pengadilan oleh SPRM. Namun SPRM yang diketuai oleh orang PH sendiri mengakui tiadanya kes sebagaimana yang difitnah itu. Jadi, mana orang nak percaya lagi.
Kempen hanya ada seminggu sahaja lagi, namun sudah jelas yang PH kehilangan rentak kemenangan kerana sudah tiada apa yang mampu mereka umumkan kepada rakyat. Mereka hanya ada ugutan, membangkitkan apa yang mereka dakwa sebagai pembangunan, sehinggakan ada yang mereka tersalah ‘claim’ kerana pembangunan itu rupanya telah dilaksanakan sebelum era mereka lagi.
Jadi, jika mahu dedahkan, sila, dedahkanlah. Bagi PAS, ia tiada kaitan kerana bukan PAS yang membuat salah laku itu. Rakyat Malaysia pastinya ingin tahu. Tetapi jangan pula laporan RCI TH ini seperti Laporan RCI kerugian Bank Negara dalam Forex 1992 dahulu. Tidak tahu siapa yang bersalah. Nasib baik tak dituduhnya PAS yang buat semua itu.
Hanya sahaja jika kempen cara ugutan PH ini tidak berjaya, awas mungkin PH akan terkubur selepas ini kerana apa yang rakyat lihat dalam isu penyelewengan, PH tiada bezanya dengan musuh yang mereka benci itu. PH juga mempunyai tokoh yang korup yang mereka masih bela. Mereka mempunyai ramai kafir yang tidak amanah dalam gabungan mereka.
Berbeza dengan PAS yang mempunyai ramai muslim yang amanah. Pastinya ini yang terbaik. Hah, dedahlah Rabu ni, jangan tunggu lagi…
MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 27/7/2026
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











