
REMBAU: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN), Kamarol Ridzuan Mohd Zain sedia mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.25 Paroi dan bakal berdepan saingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN N.25 Paroi, Mohd Zamri Mohd Esa mengesahkan pencalonan itu tersebut yang diumumkan beliau selepas tempoh proses penamaan calon yang berlangsung di Dewan Seri Rembau, di sini hari ini.
Kamarol Ridzuan daripada PAS yang mewakili PERIKATAN NASIONAL akan dicabar calon Pakatan Harapan (PH), Ahmad Shahir Mohd Shah serta calon BERSATU, Mohd Nazree Mohd Yunus dalam persaingan merebut kerusi berkenaan.
Pencalonan beliau yang merupakan penyandang kerusi tersebut dari PRN15 lalu itu telah dicadangkan oleh Muhammad Irsyaduddin Mohd Fadzil dan disokong Abu Bakar Ujang dengan diiringi ribuan penyokong ke Pusat Penamaan Calon.
Pimpinan yang turut hadir mengiringi antaranya Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man serta Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud sebagai suntikan sokongan kepada calon.
Juga Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan, Dato’ Ustaz Ahmad Yakob serta para pimpinan PAS Kelantan selaku negeri bantu untuk kerusi DUN Paroi.
Kehadiran pimpinan parti bersama penyokong yang mengenakan pakaian rasmi parti serta mengibarkan bendera PN turut mencetuskan suasana meriah di luar pusat penamaan calon.
Dalam pada itu, Kamarol Ridzuan menzahirkan penghargaan kepada pimpinan parti, jentera pilihan raya dan penyokong yang memberikan sokongan sepanjang proses pencalonan.
Beliau turut menyeru semua pihak supaya memastikan perjalanan kempen berlangsung dalam suasana matang, berhemah serta menghormati prinsip demokrasi.
Menurutnya, pertandingan dalam PRN merupakan ruang untuk rakyat membuat pilihan berdasarkan tawaran, rekod perkhidmatan dan kemampuan calon yang bertanding. – *HARAKAHDAILY 18/7/2026*











