
TAUFAN itu tanpa belas, tidak berempati, melanda dan membadai seluruh pelosok tanah air dari Perlis ke Sabah negeri di bawah bayu.
Keputusan PRN Johor jelas tidak bersuluh sebagai signal rakyat negara ini menolak DAP dan apa sahaja yang berkaitan atau yang bersekutu dengan parti yang dikaitkan dengan pelbagai labelan buruk sejak dekad 1970-an.
PRN Negeri Sembilan yang bakal berlangsung akan menjadi medan penyatuan umat Melayu mendobrak hegemoni DAP di Negeri Sembilan dengan pencitraan ‘beraja di mata, bersultan di hati’.
Apakah sejarah parti yang begitu dipuja oleh PAN dan pimpinannya itu, besarkah jasanya kepada Islam dan Melayu, juga Raja-raja Melayu di tanah leluhur ini?
Dalam denai sejarahnya, pada tanggal 18 Mac 1966, Parti Tindakan Demokratik (Democratic Action Party, DAP) secara rasmi diluluskan pendaftarannya oleh ROS sebagai sebuah parti politik yang bebas berpartipasi di Malaysia. Torehan sejarah tertubuhnya DAP ialah berlaku selepas pembubaran cawangan Malaysia bagi People’s Action Party (PAP) Singapura. Singapura berpisah daripada Malaysia pada tahun 1965, seterusnya DAP mula menyertai arena politik Malaysia sebagai parti pembangkang dengan imej kecinaan yang memperjuangkan demokrasi berparlimen, keadilan sosial, dan membumikan konsep _‘Malaysian Malaysia’.
Komuniti Cina tertumpu di kawasan bandar kerana dasar pecah perintah di zaman kolonial maka di sinilah akhirnya menjadi pusat DAP termasuk penguasaan kerajaan Pulau Pinang pasca PRU 2008.
Sejak awal penubuhannya dalam gelora etnik atau persaingan komunal yang ekstrem, DAP telah memilih simbol roket sebagai lambang rasmi parti. Bendera inilah yang dirakamkan dalam perarakan kemenangan di Kuala Lumpur sebelum tercetusnya pergaduhan berdarah 13 Mei 1969 yang merubah landskap politik dan ekonomi dalam era 1970-an. Bagi leluhur DAP, logo dan simbol ini diluncurkan bagi mencitrakan wadah parti itu berjuang untuk Malaysia dipacu kemajuan, aspirasi rakyat dan obsesi perubahan rakyat.
Pada dekad-dekad awalnya, parti ini cenderung kepada ideologi sosialisme yang juga ideologi yang pernah menjadi fenomenal dunia. Bendera serta simbol roket DAP menjadi identiti yang mudah dikenali oleh para pengundi dalam pilihan raya. DAP adalah penerusan legasi PAP (People Action Party) yang secara sistematik berjaya mengikis pengaruh parti-parti pesaing mereka melalui akta draconian ISA.
PAP di tanah Temasek merakamkan sejarah gelap manusiawi dengan menghumban tokoh-tokoh kiri dalam penjara tanpa bicara selama belasan tahun seperti Lim Chin Siong dan Zaid Zahari dalam dekad 1960-an.
Ironinya, lambang roket DAP masih terus berkibaran megah walaupun mengundang stigma sosial kepada pengundi kawasan jantung hati orang Melayu terutamanya di Pantai Timur. Lebih enam dekad bergulat di medan persaingan demokrasi negara ini, lambang roket terus digunakan sehingga hari ini dalam ‘janji-janji’ manis pilihan raya sehingga ditolak pengundi Sabah dan kemudiannya, Johor dan bakal ditolak oleh pengundi negeri beradat pepatih! Bahkan usah terkejut jika Setiausaha Agung parti itu juga akan tersungkur ‘dibaham tanah’ ditolak pengundi dengan pelbagai isu domestik terkait DAP.
Secara optik, parti itu dominan di kawasan pengundi majoriti Cina seperti Lembah Klang, 18 DUN di negeri Perak, lapan DUN di Johor serta belasan DUN di Negeri Sembilan. Jawapannya, pembaca fikirkanlah sendiri mengenai citra dan cita-cita parti tersebut yang pernah diungkapkan dalam Deklarasi Setapak 1966.
Obsesi parti itu terhadap konsep ‘Malaysian Malaysia’ yang pernah menampilkan pimpinan seperti Lim Kit Siang, Karpal Singh dan Chen Man Hin sebagai pemain utama politik negara. Dalam sejarahnya juga, DAP pernah mempunyai beberapa orang pemimpin Melayu namun sekadar untuk menampil imej sebagai parti berbilang kaum negara ini. Menarik juga akhirnya ramai pimpinan Melayu keluar dan terkeluar dari DAP dengan pelbagai cerita yang sangat sadis. Paling sensasi cerita sisi gelap DAP ialah daripada Razali, pembantu kanan tokoh DAP di Pulau Pinang yang mampu meremangkan bulu roma sesiapa yang cintakan tanah pertiwi ini!
Rakaman sejarah juga menyaksikan beberapa ‘mass crackdown’ yang melibatkan tokoh-tokoh DAP seperti tangkapan besar-besaran ISA pasca tragedi 13 Mei 1969 dan Operasi Lalang 1987. Parti ini tiada struktur kukuh di akar umbi namun berusaha mempengaruhi pandangan awam melalui pelbagai saluran media alternatif.
Pasca kekacauan politik pemecatan Anwar pada tahun 1998, parti itu turut bersama gelombang kebangkitan rakyat terutamanya selepas penubuhan GERAK di Markas Taman Melewar pada April 1999. Pelbagai parti politik, NGO serta NGI telah disatukan kekuatan untuk menyekat sekatan politik, pemansuhan akta drakonian, pemerkasaan fungsi semak dan imbang dalam negara.
Kemenangan Barisan Alternatif dalam PRU November 1999 akibat ledakan isu-isu rakyat, terutamanya isu pemecatan Anwar Ibrahim dan usaha membungkam tokoh-tokoh oposisi telah memberikan laba politik yang berkesan kepada PAS. Parti Islam itu telah berjaya memenangi Terengganu kembali, bertahan di Kelantan dan melebarkan pengaruh di kawasan _‘Malay Belt’_.
Kebalikannya pula, DAP sangat gusar dan tidak mampu bersangka baik dengan usaha Islamisasi oleh kerajaan PAS di Terengganu seperti isu kharaj, pengasingan lelaki dan perempuan, penggubalan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu dan banyak lagi isu melibatkan pematuhan Syariah. DAP juga menentang Dokumen Negara Islam yang diluncurkan oleh PAS di mana Almarhum Dr Haron Din telah menjadi arkitek utama melakarkan Dokumen penting ini.
Tanpa menunggu detik masa yang lama, DAP akhirnya keluar daripada permuafakatan politik BA. PAS terus bergerak mengembangkan langkah dan sayap perjuangannya terutama aspek jihad pendidikan serta pelebaran jaringan sivil sehingga menjadi parti paling berdisiplin, paling berstruktur di negara ini seperti yang pernah diungkapkan oleh figura DAP, mendiang Karpal Singh di Dewan Milinea Kepala Batas pada tahun 2011.
DAP sentiasa sibuk dengan pelbagai isu melibatkan Islam dan Melayu, malah tidak ekstrem jika penulis menyatakan bahawa dengan konsistensi sikap DAP inilah yang menyebabkan dua buah parti Melayu bergabung tenaga untuk menguburkan parti dalam PRN Negeri Sembilan dan juga akan berjangkit dalam PRU-16.
Penonjolan isu-isu seperti UEC, penternakan babi berskala mega di Selangor, isu pemilikan tanah, URA – penukaran nama jalan, isu pendidikan Cina swasta, pewartaan serta tumpukan dana awam kepada kampung-kampung baru Cina yang dibina di zaman darurat 1948-1960. Beban politik DAP termasuk pelbagai isu termasuk pentadbiran di negeri Pulau Pinang, Selangor dan juga di Negeri Sembilan.
DAP memikul bagasi sejarah yang sangat besar bahkan lumayan, arogansi pemimpinnya seperti duri yang menyucuk nurani orang Melayu. Isu korupsi mantan tokoh-tokoh utamanya juga bukan kecil anak yang boleh dikesampingkan begitu saja.
Kebelakangan ini percubaan untuk menampilkan beberapa ‘budak-budak’ Melayu sebagai anggota legislatif mewakili parti itu tidak mampu menghapuskan beban sejarahnya sejak akhir dekad 1960-an.
Parti ini pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum 2018, sebelum kembali menjadi pembangkang dan kemudian menyertai Kerajaan ‘Perpaduan’ yang dibentuk pada tahun 2022 yang dipimpin Anwar Ibrahim.
Permainan politik DAP dan pemimpinnya tidak cantik, beberapa kali ugutan keluar daripada kerajaan Madani, juga termasuk keceluparan pimpinan mereka di atas podium seperti boomerang yang akan membaham tengkuk mereka sendiri. Selepas ini, tidak perlulah mereka mengugut untuk keluar daripada kerajaan kerana rakyat terbanyak akan menghumban mereka ke dalam bakul hanyir sejarah.
Nismilan tanah beradat pastinya akan mengikuti tendensi pengundi Sabah serta Johor. Oh, lupa menoleh sisi cermin tepi bergerak, anak butir DAP yang setia lagi taat. PAN apa khabar?
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 18/7/2026











