Kekalahan PH Johor isyarat rakyat tidak bersama mereka

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) mengalami kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 memberi isyarat jelas bahawa rakyat termasuk dalam kalangan bukan-Islam kini tidak lagi bersama gabungan itu.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dato’ Ahmad Yahaya berkata, prinsip PAS dalam pilihan raya berkenaan adalah memastikan PH terus lemah dan Johor menjadi tapak untuk merealisasikan matlamat tersebut.

- Advertisement -

Menurutnya, pihak beliau turut mengingatkan bahawa, masih terdapat baki Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DUN) Negeri Sembilan dan Melaka yang akan dihadapi dalam tempoh terdekat.

“Kami mengingatkan semua bahawa kita masih mempunyai baki Pilihan Raya Umum Dewan Negeri, Negeri Sembilan dan Melaka yang akan dihadapi dalam masa terdekat. Setidak-tidaknya beberapa bulan dari sekarang untuk Pilihan Raya Umum Dewan Negeri Melaka,” ujarnya.

Beliau menyeru supaya jentera PAS diperkemas, kekuatan diperkukuh serta munajat dipanjatkan bagi menghadapi cabaran pilihan raya seterusnya.

“Dewan Ulamak menyeru seluruh jentera agar mempersiapkan langkah bagi memastikan sasaran dalam kedua-dua Pilihan Raya Umum Dewan Negeri berjaya direalisasi,” seru Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Dalam pada itu, Ahmad menzahirkan penghargaan kepada seluruh jentera PAS dari seluruh negara termasuk tuan rumah atas usaha yang jitu dan konsisten sepanjang menghadapi PRN Johor Ke-16 yang telah berakhir.

Beliau menegaskan, kemenangan hakiki bagi sebuah gerakan Islam adalah apabila memperoleh pahala dan reda daripada Allah SWT.

“Kita akan terus berjuang dan tidak sesekali harus berundur dengan cabaran dan dugaan yang dihadapi insya-Allah. Bahkan kemenangan sebenar bagi PAS adalah mempertahankan prinsip perjuangannya,” katanya.

Ahmad turut mendoakan agar Allah SWT membalas segala pengorbanan yang dicurahkan serta seluruh anggota parti terus istiqamah sehingga mencapai kemenangan. – HARAKAHDAILY 14/7/2026

- Advertisement -