
MUAR: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan orang Melayu sebagai kelompok yang paling tidak fanatik terhadap kaum serta tidak ekstrem dalam hubungan antara masyarakat berbilang bangsa.
Beliau berkata, perkara itu dapat dilihat apabila masyarakat Cina boleh hidup aman di negeri yang majoritinya Melayu seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu.
“Orang Melayu ini paling tak fanatik kaum. Orang Melayu paling tak fanatik kaum. Kita kena sedar di mana keluarga satu keluarga Cina boleh hidup aman di Kedah, boleh hidup aman di Kelantan, boleh hidup aman di Terengganu.
“Keluarga Cina yang kecil duduk tengah-tengah orang Melayu tak apa,” ujar Tuan Guru dalam Grand Finale PERIKATAN NASIONAL Pilihan Raya Umum Negeri Johor ke-16 di Laman Muafakat di sini, malam tadi.
Menurut Tuan Guru, masyarakat Melayu tidak menghalang kewujudan sekolah aliran Cina dan Tamil, namun menegaskan bahasa Melayu kekal sebagai bahasa kebangsaan.
“Nak buka sekolah Cina, (orang Melayu) tak larang. Nak buka sekolah Tamil kita (orang Melayu) tak larang. Tapi bahasa Melayu (perlulah) bahasa kebangsaan. Kita tak hapus bahasa dia (bangsa lain), tak,” maklum Tuan Guru.
Ahli Parlimen Marang itu turut mengaitkan keadaan hubungan kaum dengan peristiwa 13 Mei 1969, sambil menyatakan Kelantan dan Terengganu tidak berlaku kejadian berkenaan ketika PAS kuat di kedua-dua negeri itu.
“13 Mei Kelantan, Terengganu, kawasan kuat PAS tak ada 13 Mei. Tak ada 13 Mei. Kerana (bekas Yang Dipertua PAS) Dato’ (Mohd) Asri (Muda) mengarahkan orang PAS jaga orang Cina di Kelantan, Terengganu,” imbas Tuan Guru.
Mantan Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia itu berkata, hubungan antara kaum perlu dilihat sebagai hubungan sesama manusia yang berasal daripada satu keluarga.
“Ini hubungan kaum kerana Tuhan jadikan manusia ini satu keluarga daripada Adam. Walaupun jadi macam-macam bangsa, dah ribu-ribu tahun lama sangat macam-macam bangsa tetapi mereka anggap mereka sebagai satu keluarga,” katanya.
Sehubungan itu, mantan Menteri Besar Terengganu itu meminta supaya tidak timbul kebimbangan sekiranya orang Melayu menguasai Johor dan Malaysia.
“Jangan takutlah kalau Melayu ini menguasai Johor, menguasai Malaysia. Orang Melayu paling tidak fanatik, paling tidak ekstrem dalam dunia. Kena sebut begitu.
“Mana ada negara dalam dunia ini boleh terima orang asing. Berperang. Kita berperang sekejap boleh baik pula ini,” tegas Tuan Guru.
Menurut Tuan Guru, hubungan baik antara kaum perlu dipelihara dengan memilih Islam sebagai asas.
“Kalau nak peliharakan hubungan yang baik ini, (semua bangsa) kena pilih Islam. Orang Melayu menguasai Islam, Melayulah (yang perlu memimpin). Kalau orang Cina dia majoriti dia masuk Islam, Cinalah (yang perlu memimpin). Itu dia.
“(Kalau) Orang Melayu tinggal Islam, Cina masuk Islam ramai-ramai. Cina (Muslim perlu) menguasai (memimpin). Tapi mesti bangsa yang mendominasi Islam (yang perlu memimpin). Ini syarat dia (untuk pelihara hubungan baik sesama kaum),” katanya.
Tuan Guru menjelaskan, pendekatan berkenaan menjadi asas kepada kerjasama PAS di Johor bagi memastikan kuasa politik Melayu kekal.
“Inilah pendekatan yang kita ambil. Mengapa kita (PAS dan Umno) kerjasama di Johor? Memastikan supaya Melayu berkuasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/7/2026











