Saya jumpa orang baik dan hensem di Muo

- Advertisement -

SEMALAM saya singgah solat zohor di sebuah masjid yang saya lupa nama apa. Kebetulan bos saya Sazali Mohd Noor jamak qasar dan dia tak kalut nak masuk solat. Saya jalan dulu, sempat tengok dia sedang menggunakan telefon bimbitnya di beranda masjid.

Selepas solat saya keluar dan tunggu dia dalam kereta. Baru saja kami nak bergerak, sebuah kereta berhenti betul-betul di hadapan kereta saya. Seorang budak muda menjenguk keluar tingkap dan memanggil saya sambil bertanya…

Abang ‘henpon’ dah dapat ke?

Eh, saya ‘check’, telefon saya ada dengan saya. Takutlah dia salah tegur. Dia tuding jari ke arah bos saya, dan dia kata…

- Advertisement -

‘Henpon’ abang tertinggal rasanya. Tadi abang duk situ kan? Sambil dia tunjuk ke arah kawasan beranda masjid.

Bos saya segera memeriksa poketnya. Memang betul hilang. Rupanya dia tertinggal di beranda, kawasan terakhir dia memegang telefon. Dia letak di situ untuk mengambil wuduk.

Terus budak muda itu bagi tahu yang dia sudahpun menyerahkan telefon itu kepada pegawai masjid. Alhamdulillah, masih ada telefon bimbit bos saya. Kitapun berkenalanlah sedikit sebanyak.

Nama dia Akmal. Rupanya dia pengusaha kerepek pisang. Katanya dia dah buat kerja-kerja perniagaan sejak umur 10 tahun. Tinggi betul minat dia. Kita boleh nampak dari segi penampilan dia, sangat ‘attractive’, cara cakap, cara senyum, semua, memang sedap memandang, sopan dan santun. Bagus PR budak ni, dalam hati saya.

Selesai semuanya, kami beredar, menuju ke destinasi masing-masing.

Pagi tadi saya bersama bos saya, bersarapan pagi di Parit Kerome. Tengah sedap makan, meja kami didatangi oleh penjual makanan ringan. Saya mengangkat tangan tanda menolak sopan pelawaan peniaga itu untuk merasa jualannya.

Dia terus berkata, kita dah jumpa semalam bang. Dahi saya berkerut, yang mana satu dalam hati saya.

Semalamkan abang tertinggal ‘phone’ kat masjid, dia mengingatkan kami. Ooo agak berlainan wajahnya. Terus kami ambil tiga bekas. Sedap kerepek pisangnya. Memang adat alam begitu, baik kita kepada orang, baik jugalah balasannya.

Dia kata satu pagi dia boleh jual antara 70 hingga 80 bekas, harga RM20 satu. Wow…! Sebulan katanya lagi, boleh capai sehingga 1,000kg jualan hanya dengan cara pergi meja ke meja di kedai-kedai makan sahaja. Ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan bagi sesetengah orang.

Namun dengan kesungguhan Akmal, dia berjaya menjalankan perniagaannya bersama isteri yang turut serta membantu dan menjadi rakan kongsi. Sangat indah dapat bersama yang tersayang mencari rezeki.

Semoga perniagaan Kuih Budak Kampung (Facebook dia tak aktif, hanya TikTok yang aktif) sentiasa maju dan diberkati Allah.

Soalan akhir saya sebelum dia beredar sebab dia cakap dia tinggal di Sungai Abong yang mana dalam DUN Simpang Jeram, Akmal kenal tak Awang calon PERIKATAN NASIONAL di Simpang Jeram, dia jawab kenal.

Ok lah, kita tak perlu memaksa-maksa, cukuplah dia kenal. Dan insya-Allah orang yang baik dan beramanah akan undi Awang dan Akmal, saya yakin seorang yang baik dan amanah.

MOHD NASIR ABDULLAH
7 Julai 2026 – HARAKAHDAILY 7/7/2026

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -