
KETIKA ini timbul beberapa kekeliruan berikutan berita yang dikeluarkan oleh beberapa media pro Barat dan pro Zionis Israel yang menyatakan bahawa HAMAS telah dibubarkan di Semenanjung Gaza mahupun Palestin.
Apa yang sebenarnya berlaku adalah pembubaran Kerajaan yang diterajui HAMAS di Semenanjung Gaza dengan kuasa pentadbirannya diserahkan kepada Kerajaan Teknokrat yang diterajui oleh Ali Shaath yang dibentuk oleh Jawatankuasa Pentadbiran Nasional Semenanjung Gaza sebagaimana yang dipersetujui ketika rundingan di Mesir mengikut syor ‘roadmap’ yang disarankan ‘Board of Peace’.
Mohammed Abdel Khaleq al-Farra yang mengetuai Kerajaan tersebut menyatakan bahawa pelan penyerahan tersebut telah dipersembahkan kepada Jawatankuasa Pentadbiran Nasional Semenanjung Gaza yang dianggotai oleh wakil kumpulan pejuang Palestin, wakil parti politik, hierarki tertinggi jawatankuasa puak dan suku kaum Palestin dan organisasi hak asasi manusia dengan dihadiri oleh wakil PBB.
Bagaimanapun Kerajaan Semenanjung Gaza berfungsi seperti biasa sebagaimana ketika ini dengan anggota keselamatan, pekerja kesihatan dan pelbagai lagi fungi kerajaan tidak terjejas walaupun berhadapan dengan pencabulan gencatan senjata berterusan dan serangan bertali arus tentera rejim penjajah Zionis Israel saban hari yang terus meningkatkan angka korban nyawa.
HAMAS tetap dengan pendiriannya, tidak akan dibubar, tidak akan meletakkan senjata dan akan terus berjuang mempertahankan Palestin. Kini, apa yang dikehendaki oleh ‘Board of Peace’ dan negara-negara yang mendesak HAMAS agar menerima ‘pelan damai’ Semenanjung Gaza yang dilakar Presiden Amerika Syarikat Donald Trump telah dituruti.
Kini, ‘mereka’ pula perlu menunaikan janji mereka agar gencatan senjata Semenanjung Gaza tidak terus dicabuli dengan rejim penjajah Zionis Israel, Amerika Syarikat dan sekutu mereka tidak menggunakan ‘Board of Peace’ dan ‘pelan damai’ ini sebagai jalan pintas untuk menawan dan menjajah keseluruhan Semenanjung Gaza mahupun Palestin.
Namun, berdasarkan keadaan semasa keadaan akan menjadi lebih sukar tidak lama lagi berikutan pilihan raya umum negara haram Israel yang dijangka bakal berlangsung pada 27 Oktober ini. Media-media negara haram Israel telah menyatakan bahawa fraksi parti politik ekstremis negara haram Israel yang diterajui Bezalel Smotrich dan Itamar Ben-Gvir telah merancang dan mula berkempen untuk menawan Tebing Barat dan Semenanjung Gaza secara keseluruhan.
Turut dilaporkan juga bahawa akan dilancarkan kempen ketenteraan besar-besaran tidak lama lagi ke atas Tebing Barat dan Semenanjung Gaza untuk merealisasikannya. Apakah pelan damai ini hanyalah helah untuk menawan Palestin secara keseluruhan dan ianya hanya memberi masa untuk rejim penjajah Zioinis Israel merancangnya?
Pastinya HAMAS tidak akan berdiam diri dan membiarkannya berlaku!
“Bebaskan Masjid Al-Aqsa, Merdekakan Palestin”
DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat
ADUN Batu Buruk
21 Muharam 1448H / 7 Julai 2026 – HARAKAHDAILY 7/7/2026











