
KUALA LUMPUR: Calon PERIKATAN NASIONAL daripada PAS bagi N.15 Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani memaklumkan mesej Penyatuan Ummah antara perkara sering disuarakan masyarakat sepanjang tempoh kempennya.
Ustaz Mohamad Anuar Hayan berkata, rata-rata pengundi yang ditemuinya menyatakan keinginan terhadap Penyatuan Ummah, khususnya dalam konteks survival Melayu-Islam.
“Bila bicarakan tentang ni saya jumpa satu persatu, orang ramai menyatakan bahawa keinginan supaya Penyatuan Ummah. Bila sebut Penyatuan Ummah, tak tahulah macam mana saya boleh begini (sebak). Ramai menyatakannya.
“Kebetulan di kampung saya tu, keluarga-keluarga saya (ada yang berkata), ‘Ustaz tahniah. Yang penting Penyatuan Ummah ustaz’, itu yang terasa terharu,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian dalam keadaan sebak apabila memberikan jawapan kepada soalan pewawancara podcast Kekal Tenang yang dikendalikan oleh Khairul Nadzir Helmi Azhar yang disiarkan semalam.
Mantan pensyarah kanan pendidikan guru di Kampus Tun Hussein Onn itu menjelaskan, penyatuan Melayu-Islam yang diperjuangkan itu berasaskan pegangan kepada al-Quran dan sunnah.
“Dalam konteks survival Melayu-Islam, supaya sentiasa menjadi pengurus kepada negeri dan negara ini. Itu yang lebih penting.
“Penyatuan Melayu Islam itu ada dasarnya iaitu berpegang kepada al-Quran dan sunnah. Sudah tentu ia akan selamat dan semua orang yang berada di bawahnya akan selamat, insya-Allah,” tegas beliau.
Masyarakat Maharani yang unik
Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Muar itu turut menegaskan bahawa, masyarakat Maharani adalah pengundi yang celik dan sentiasa memerhati perkembangan semasa.
Beliau menegaskan perkara itu susulan terdapat usaha parti lain yang dilihat agresif dalam kempen memenangi DUN Maharani, termasuk kenyataan Menteri Besar Johor yang mahu BN kembali menguasai kawasan itu.
“Saya juga terpandang (kenyataan itu). Namun begitu saya lihat waktu itu ada 300 komen. Daripada jumlah itu saya kira lebih 90 peratus adalah negatif.
“Negatif kerana apa yang dilihat Maharani ialah masyarakat Maharani, penduduk Maharani dia orang yang juga adalah orang yang celik, memerhati, melihat dan membaca.
“Dan dia melihat sensitiviti umat Melayu-Islam ini selalu dicuba diganggu-gugat. Itu di antara sebab-sebab saya lihat masyarakat Maharani ni dia uniklah. Unik insya-Allah,” puji beliau.
Menurutnya, walaupun parti-parti lain dilihat bergerak secara agresif, penerimaan pengundi terhadap kempen PERIKATAN NASIONAL di kawasan itu setakat ini adalah positif.
“Walaupun kita lihat memang agresif parti-parti lain, namun insya-Allah selepas beberapa hari bersama pengundi, setakat ini positif.
“Dua hari lepas saya bersama Datuk Dominic Lau (Hoe Chai), Presiden GERAKAN menyantuni masyarakat Cina. Alhamdulillah, usaha kita positif,” ulas beliau.
Ditanya mengenai peluang mempertahankan DUN Maharani, Anuar menyatakan, perkara itu bergantung kepada izin Allah.
Cikgu Aziz sebagai mentor
Dalam pada itu, Anuar menceritakan bahawa, bekas ADUN Maharani, Abdul Aziz Talib atau lebih dikenali sebagai Cikgu Aziz menjadi mentor yang banyak membimbingnya dalam gerak kerja politik dan khidmat masyarakat.
Beliau berkata, Cikgu Aziz seorang yang prihatin serta mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat setempat berdasarkan latar belakangnya sebagai pendidik di kawasan berkenaan.
“Cikgu Aziz ini adalah mentor saya sebenarnya. Mentor, sifu semua ada pada dia. Setiap kali pergerakan saya akan bersama dengan dia menyantuni masyarakat Maharani.
“Kita melihat memang betul Cikgu Aziz seorang yang _‘caring’_ dan beliau seorang pendidik yang mengajar di kawasan ini juga. Jadi di situ ada kesinambungan dengan insya-Allah diri saya.
“Saya juga berada dalam lingkungan masyarakat Maharani ini memberikan apa saja yang boleh, kita ada guru sebagai murabbi. Dan masyarakat Maharani mengenalilah (diri saya).
“Ini bukan kita kata sombong sebab bermula daripada saya balik dari Mesir sampai tahun 1999 sampai ke sekarang ni saya memang adalah pengkursus ibadah haji kebangsaan yang sentiasa berlegar (aktif),” imbas beliau.
Anuar menyatakan komitmen bahawa, beliau akan meneruskan usaha yang dilakukan Cikgu Aziz dengan memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan masyarakat Maharani.
“Dalam modal insan itu kita akan terbit inisiatif-inisiatif yang kita akan rancang supaya masyarakat Maharani lebih terbuka melihat sesuatu, mana yang betul itu betul dan yang salah itu salah,” jelasnya.
Isu utama DUN Maharani
Mengulas mengenai isu utama yang dihadapi pengundi Maharani, Anuar menjelaskan, aspek keadilan dalam pemerintahan perlu diberikan perhatian.
Beliau turut menegaskan, wakil rakyat yang dipilih perlu menjalankan tanggungjawab secara adil tanpa mengira latar belakang politik.
“Dia, masalah mudah saja. Kita ni kalau nak katakan manusia makhluk Allah, adillah. Bila memerintah hendaklah adil. Saksamalah. Saksama.
“Mana yang menang ADUN yang terlantik itulah, tak kiralah bila dah terlantik kamu bendera kuning ke bendera merah, ADUN sepatutnya bersamalah. Samalah,” desaknya.
Beliau turut mendesak, program-program yang sepatutnya dilaksanakan oleh wakil rakyat setempat juga perlu diberikan ruang untuk dilaksanakan.
“Program-program yang sepatutnya dilaksanakan oleh ADUN setempat (tiba-tiba) dilaksanakan oleh Penyelaras ADUN (yang dilantik kerajaan negeri). Jadi ini satu.
“Namun begitu kita tak patah semangat kita akan teruskan kerana apa dilihat PAS adalah ada tiga, satu siasah, tarbiah dan dakwah. Itu yang penting. Kita tak akan putus asa, walaupun apa pun tak putus asa,” tekadnya.
Anuar juga menyeru pengundi DUN Maharani supaya keluar mengundi pada 11 Julai 2026 dan memilih beliau sebagai wakil rakyat.
“Pastikan 11 Julai 2026 keluar awal dan pastikan N.15 nombor satu atas nama Anuar Hayan. Sila pilih saya. Insya-Allah kita akan sama-sama membangun Maharani. Kasi jadi.
“Yakinlah insya-Allah kerana jentera kita adalah jentera yang penuh ikhlas dan tidak mempunyai kepentingan peribadi,” jelasnya.
Beliau berkata, pertukaran calon antara dirinya dengan Cikgu Aziz adalah satu proses meneruskan amanah perjuangan.
“Dia ‘passed baton’ saja, itu biasa. Sebelum itu dia nak ‘passed baton’ kepada saya, saya kata saya belum bersara lagi. Bila bersara dia terus ‘passed baton’ kepada saya.
“Saya tidak boleh beri alasan. Bila dapat baton itu kita jalankan amanah, bersungguh-sungguh bukan demi apa, demi Allah dan demi keredaan Allah SWT,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/7/2026











