Penyatuan ummah atasi perbezaan politik

- Advertisement -

PERJANJIAN Hudaibiyah merupakan antara peristiwa besar dalam sirah Rasulullah SAW yang sarat dengan pengajaran buat umat Islam.

Ketika Rasulullah SAW bersama para Sahabat keluar menuju ke Makkah untuk menunaikan umrah, rombongan Baginda telah dihalang oleh pihak Quraisy yang menyangka kedatangan umat Islam sebagai suatu ancaman.

Rentetan itu, berlangsunglah rundingan yang menghasilkan Perjanjian Hudaibiyah. Secara zahirnya, beberapa syarat dalam perjanjian tersebut dilihat lebih memihak kepada Quraisy, bahkan Rasulullah SAW dan para Sahabat juga tidak dibenarkan menunaikan umrah pada tahun tersebut.

- Advertisement -

Keputusan itu terasa berat di hati sebahagian para Sahabat, namun mereka tetap akur dan patuh terhadap keputusan kepimpinan Rasulullah SAW. Kepatuhan tersebut akhirnya membuahkan natijah yang amat besar kepada Islam.

Perjanjian Hudaibiyah membuka ruang dakwah yang lebih luas, memperkukuhkan kedudukan umat Islam, dan akhirnya menjadi antara jalan yang membawa kepada pembukaan Kota Makkah serta kemenangan Islam.

Berdasarkan peristiwa tersebut, Dewan Ulamak PAS Negeri Kelantan (DUPNK) berpesan kepada semua ahli, agar setiap arahan dan kenyataan yang akan dikeluarkan oleh saf kepimpinan dipatuhi, dihayati dan dilaksanakan. Terutama dalam tempoh waktu pilihan raya ini.Pengarahan ini adalah penting untuk merealisasi agenda penyatuan ummah.

Penyatuan umat Islam hendaklah sentiasa diutamakan dalam setiap tindakan, khususnya apabila melibatkan kepentingan agama, bangsa dan negara.

Agenda Penyatuan Ummah merupakan suatu matlamat yang jauh lebih besar daripada kepentingan parti atau kelompok tertentu. Ia adalah usaha menyatukan kekuatan umat Islam demi menghadapi pelbagai cabaran yang sedang dan akan dihadapi oleh negara.

Mutakhir ini, pelbagai insiden dan isu yang menyentuh kepentingan serta sensitiviti umat Islam berlaku di negara ini. Keadaan tersebut sewajarnya menyedarkan seluruh umat Islam tentang pentingnya berada dalam satu saf dan satu wadah Penyatuan Ummah yang mampu menghimpunkan kekuatan serta mempertahankan kepentingan agama.

Sehubungan dengan itu, DUPNK menyeru seluruh ahli, jentera PAS serta seluruh umat Islam agar terus meletakkan agenda Penyatuan Ummah sebagai keutamaan dalam setiap tindakan.

Sesungguhnya, pengalaman sejarah telah membuktikan bahawa ketaatan kepada kepimpinan dalam kebaikan serta kesediaan mengutamakan maslahat yang lebih besar akan membawa kemenangan dan kebaikan kepada umat.

Sekian.

USTAZ ABDUL FATTAH ABU MURSIE
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Negeri Kelantan – HARAKAHDAILY 2/7/2026

- Advertisement -