
MUDA Kelantan memandang serius ucapan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, di Dewan Rakyat pada 29 Jun 2026 yang memilih untuk menjadikan isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak sebagai modal politik bagi menyerang Kerajaan Negeri Kelantan dan meraih sokongan untuk Pakatan Harapan menjelang Pilihan Raya Negeri Johor.
Dalam ucapannya, beliau berulang kali menonjolkan Kelantan sebagai contoh kegagalan, sebelum menutup hujahnya dengan seruan, ‘Johor ke depan, kita undi Harapan… kalau tak mahu perkara ini berlaku di Johor.’
Bagi MUDA Kelantan, tindakan menghubungkan penderitaan mangsa jenayah seksual dengan kempen pilihan raya adalah tidak bertanggungjawab dan mencemarkan kemuliaan institusi Parlimen. Kanak-kanak yang menjadi mangsa eksploitasi seksual bukanlah bahan kempen, bukan angka untuk dipetik secara terpilih, dan bukan alat untuk membina naratif politik demi meraih undi.
MUDA Kelantan ingin menegaskan bahawa kami tidak pernah menafikan kewujudan jenayah seksual terhadap kanak-kanak di Kelantan. Setiap satu kes merupakan tragedi yang wajib dicegah dan ditangani dengan tegas. Mana-mana kerajaan negeri atau Persekutuan yang gagal melindungi kanak-kanak sewajarnya dipertanggungjawabkan.
Namun begitu, adalah tidak jujur untuk memilih satu negeri semata-mata bagi membina persepsi seolah-olah masalah ini unik kepada Kelantan, sedangkan statistik rasmi negara menunjukkan hakikat yang jauh lebih kompleks.
Menurut Statistik Kanak-kanak Malaysia 2025 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak bagi tempoh 2022 hingga 2024 adalah seperti berikut:
Selangor: 1,101 kes
Johor: 554 kes
Sabah: 388 kes
Perak: 370 kes
Pulau Pinang: 309 kes
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur: 295 kes
Kedah: 293 kes
Melaka: 267 kes
Pahang: 248 kes
Sarawak: 248 kes
Kelantan: 223 kes
Negeri Sembilan: 223 kes
Terengganu: 178 kes
Perlis: 68 kes
Statistik rasmi ini tidak menggambarkan Kelantan sebagai negeri yang mencatat jumlah kes tertinggi seperti persepsi yang cuba dibina dalam ucapan tersebut. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa jenayah seksual terhadap kanak-kanak merupakan cabaran nasional yang melibatkan hampir seluruh negara.
Lebih ironik, Ahli Parlimen Jelutong mengajak rakyat Johor mengundi Pakatan Harapan ‘kalau tak mahu perkara ini berlaku di Johor’, sedangkan statistik DOSM bagi tempoh yang sama merekodkan 554 kes di Johor, iaitu jumlah kedua tertinggi di Malaysia.
Jika logik yang digunakan oleh beliau diterima bulat-bulat, maka adakah negeri-negeri lain yang mencatat angka lebih tinggi juga wajar dilabel sebagai negeri yang gagal? Adakah rakyat Selangor, Johor, Pulau Pinang atau Melaka juga harus menerima stigma yang sama? Sudah tentu tidak.
Inilah bahaya apabila sesuatu statistik dipetik secara terpilih tanpa memberikan gambaran keseluruhan. Statistik sepatutnya membantu kerajaan membentuk dasar yang lebih baik, bukannya dijadikan senjata politik untuk menyerang lawan.
MUDA Kelantan juga ingin mengingatkan bahawa membanteras jenayah seksual terhadap kanak-kanak memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, institusi pendidikan, badan agama, organisasi masyarakat sivil serta ibu bapa. Tiada satu negeri, tiada satu parti politik dan tiada satu kerajaan yang boleh mendakwa mereka kebal daripada cabaran ini.
Kami menyeru semua ahli politik supaya menghentikan budaya mengeksploitasi penderitaan mangsa demi keuntungan politik jangka pendek. Mangsa memerlukan perlindungan, keadilan dan sokongan, bukannya dijadikan peluru dalam ceramah pilihan raya.
MUDA Kelantan komited untuk menyokong segala usaha memperkukuh perlindungan kanak-kanak termasuk memperkasakan pendidikan keselamatan kanak-kanak, mempercepatkan proses siasatan dan pendakwaan, memperkukuh sistem perlindungan mangsa, meningkatkan kesedaran masyarakat serta memperluaskan kerjasama antara agensi bagi mencegah jenayah seksual daripada terus berlaku.
Kanak-kanak Malaysia tidak mengenal sempadan parti politik. Air mata mereka tidak berwarna hijau, biru atau merah. Mereka hanya memerlukan orang dewasa yang benar-benar bersedia melindungi mereka.
WEE KHAI NERN
Ketua Penerangan
MUDA Kelantan – HARAKAHDAILY 2/7/2026
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











