
MUAR: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.15 Maharani proaktif memenuhi jadual kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 dengan pendekatan turun padang.
Ustaz Mohamad Anuar Hayan sejak hari penamaan calon lagi telah memberi tumpuan kepada pertemuan bersemuka bersama pengundi di seluruh kawasan DUN tersebut.
Banyak pertemuan dihadiri beliau disertai pasukan kempennya dengan memenuhi beberapa jemputan masyarakat termasuk majlis walimatul urus serta sesi ziarah komuniti di sekitar kawasan Muar dan Maharani.
Mantan pensyarah kanan pendidikan guru di Kampus Tun Hussein Onn itu turut mengambil peluang bertemu semula kenalan lama serta penyokong tempatan yang hadir memberikan sokongan moral.
Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Muar itu juga aktif melakukan _‘walkabout’_ di kawasan tumpuan awam seperti pasar, warung dan gerai makan di sekitar bandar serta beberapa kawasan kampung.
Antara lokasi dilawati termasuk Warong Dalam Taman, Warong Amy Roti Canai di Parit Samsu, serta Warung Wan Kuning di Parit Haji Ali, selain beberapa kawasan penempatan penduduk yang menjadi tumpuan setempat.
Pendekatan kempen beliau turut disokong oleh gerak kerja pasukan yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil bagi memastikan liputan lebih meluas di seluruh kawasan DUN.
Kaedah itu membolehkan mesej kempen disampaikan kepada lebih ramai pengundi dalam tempoh masa yang terhad, walaupun tidak semua pergerakan pasukan dapat dihadiri sendiri oleh beliau selaku calon.
Dalam masa yang sama, kempen beliau turut menumpukan interaksi bersama pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga emas, golongan muda, bekas pelajar serta jemaah surau dan peniaga kecil.
Beliau menzahirkan penghargaan terhadap penerimaan mesra masyarakat yang ditemui serta sokongan moral diberikan sepanjang sesi turun padang.
Ustaz Anuar dalam bicara spontannya banyak menekankan kepentingan menghormati warga emas sebagai kelompok yang sangat berjasa kepada pembangunan masyarakat.
Selain aktiviti politik, beliau turut mengekalkan rutin harian dengan menunaikan solat Subuh berjemaah di surau setempat sebelum meneruskan program sarapan pagi.
Pendekatan itu dilihat sebagai usaha bersua muka dengan masyarakat dalam suasana lebih santai dan tidak formal di samping mengukuhkan hubungan sosial antara calon dan pengundi.
Sepanjang kempen, beliau konsisten membawa slogan ‘Terus Berbakti, Maharani Sejahtera’ sebagai tema utama, dengan penekanan kepada komitmen untuk mendengar suara rakyat.
Kegigihan dan komitmennya itu juga kerana memahami keperluan setempat serta hasrat berkhidmat kepada semua lapisan masyarakat sekiranya diberi mandat pada pilihan raya ini.
Kempen beliau dijangka diteruskan sehingga hari pengundian dengan fokus kepada usaha memperluas pertemuan bersama pengundi di seluruh DUN Maharani melalui pendekatan bersemuka dan program komuniti. – HARAKAHDAILY 1/7/2026

















