
MUAR: Tan Sri Annuar Musa menyeru pengundi bukan Melayu khususnya masyarakat Tionghoa di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.15 Maharani agar menzahirkan kekecewaan mereka terhadap kerajaan melalui saluran demokrasi iaitu peti undi.
“Saya ingin menyebutkan kawan-kawan kita yang bukan Islam, yang bukan Melayu, pengundi-pengundi daripada kaum Tionghoa. Saya tahu mereka juga berada dalam situasi sama dengan kita sebenarnya.
“Sepertimana kawan-kawan kita di Sabah telah menolak DAP secara total. Apa yang dialami oleh pengundi-pengundi bukan Melayu di Sabah khususnya pengundi Cina yang telah menolak PH dan DAP walaupun sogokan Perdana Menteri turun janji projek berbilion-bilion.
“Dan bermacam-macam lagi jentera kerajaan digunakan sekehendak hatinya, tetapi pengundi-pengundi Sabah secara istiqamah menolak DAP dan menolak PH,” ujar beliau dalam satu video siaran langsung di media sosial miliknya, hari ini.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat itu dilihat bersama-sama dengan calon dan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri Maharani, Ustaz Mohamad Anuar Hayyan dan Cikgu Abdul Aziz Talib dalam video tersebut.
Mengulas situasi di Maharani, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu menyatakan bahawa, wujud kekecewaan dalam kalangan pengundi bukan Melayu terhadap PH dan DAP, termasuk isu janji yang tidak ditunaikan serta kos sara hidup tidak diurus dengan baik.
“Kekecewaan tuan-tuan adalah juga kekecewaan kita. Kita kecewa Kerajaan PH tidak menunaikan janji. Kita kecewa mereka diberikan amanah, gagal menguruskan kos sara hidup.
“Kita kecewa kerana masyarakat, komuniti, perniagaan, business mengalami pelbagai masalah dengan tindakan-tindakan yang dibuat oleh Kerajaan PH-DAP yang telah menjejaskan masyarakat Cina daripada komuniti perniagaan,”ulasnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi di Maharani supaya bersatu hati dan membuat pilihan secara demokrasi bagi memberikan sokongan kepada calon PERIKATAN NASIONAL daripada PAS bagi DUN Maharani, Ustaz Anuar Hayan.
“Jadi kekecewaan kita semua termasuk sahabat-sahabat kita kaum Tionghoa di Maharani ini, marilah kita bersatu hati menunjukkan isyarat secara demokrasi, secara baik.
“Secara harmonis melalui peti-peti undi untuk menunjukkan kuasa rakyat dengan memberikan sokongan kepada Ustaz Anuar Hayan calon yang mewakili PERIKATAN NASIONAL.
“Saya yakin Ustaz Anuar Hayan akan menyambung khidmat baik Cikgu Aziz dan sebagai orang yang muda, bertenaga, berilmu, anak tempatan dan juga mempunyai persaudaraan dengan rentas parti dalam di Maharani ini.
“Beliau akan menjadi seorang wakil rakyat yang baik dan akan turut memainkan peranan di Dewan Undangan Negeri Johor. Berkat sokongan tuan-tuan sekalian,” rayunya. – HARAKAHDAILY 1/7/2026











