Yuhanita sah galas amanah PN DUN Pasir Raja

Nuridah (tiga dari kanan) mengiringi Yuhanita (empat, kanan) pada hari penamaan calon DUN Pasir Raja.
- Advertisement -

KOTA TINGGI: PERIKATAN NASIONAL (PN) mempertaruhkan Yuhanita Yunan sebagai calon bagi kerusi N.35 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Raja pada Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 (PRN16 Johor) selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Arena Segi Tiga, di sini, hari ini.

- Advertisement -

Yuhanita menerima simbol dan nombor 2 pada kertas undi. Pencalonannya diumumkan oleh Nurul Aishah Mohamadon, dicadangkan oleh Mohamad Ekhwan Nazari Mohd Nazari serta disokong oleh Md Edros Md Ali.

Beliau berkata, pencalonan itu merupakan satu amanah besar yang akan digalas dengan penuh tanggungjawab demi memastikan setiap isu dihadapi penduduk Pasir Raja diberi perhatian sewajarnya.

“Saya memohon doa dan sokongan seluruh rakyat Pasir Raja agar diberikan kekuatan untuk memikul amanah ini serta membawa perubahan yang lebih baik demi kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan PERIKATAN NASIONAL atas kepercayaan yang diberikan untuk mewakili gabungan itu di kerusi berkenaan.

Menurutnya, sepanjang tempoh berkempen beliau akan memberi tumpuan kepada usaha mendekati pengundi di seluruh Pasir Raja bagi menjelaskan tawaran PN, di samping mendengar sendiri pandangan dan keperluan mereka.

“Saya mahu turun padang bertemu rakyat dari rumah ke rumah dan kampung ke kampung kerana saya percaya pengundi berhak memilih wakil yang benar-benar bersedia berkhidmat untuk mereka.

“Saya tidak mahu menjanjikan sesuatu yang sukar ditunaikan. Apa yang boleh saya janjikan ialah saya akan mendengar, bekerja bersungguh-sungguh dan berusaha sebaik mungkin demi Pasir Raja,” ujarnya.

Beliau turut menyeru seluruh jentera dan penyokong PERIKATAN NASIONAL menjalankan kempen secara matang, berhemah serta mematuhi segala peraturan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).

“Saya berharap proses demokrasi sepanjang PRN16 Johor berlangsung dalam suasana aman dan harmoni supaya rakyat dapat menunaikan tanggungjawab mereka dengan sebaiknya,” katanya.

Kerusi DUN Pasir Raja menyaksikan pertandingan tiga penjuru pada PRN Johor kali ini membabitkan PERIKATAN NASIONAL, BN dan PH.

BN mempertaruhkan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, manakala PH menamakan Mohd Fakharuddin Moslim sebagai calon.

Dr Adham tiba di pusat penamaan calon pada jam 8.35 pagi, diikuti Yuhanita pada jam 8.45 pagi dan Mohd Fakharuddin pada jam 8.57 pagi.

Turut mengiringi Yuhanita pada hari penamaan calon ialah Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh; Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Johor, Zakiah Tukiran dan Ketua Wawasan Bahagian Tenggara, Jawahir Hussein. – HARAKAHDAILY 27/6/2026

- Advertisement -