Ustaz Ahmad Rosdi rasmi calon PN N.18 Sri Medan

Ahmad Rosdi (belakang, dua dari kanan) pada hari penamaan calon DUN Sri Medan.
- Advertisement -

PARIT SULONG: Calon PERIKATAN NASIONAL daripada PAS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.18 Sri Medan, Ustaz Ahmad Rosdi Bahari telah diumumkan secara rasmi sebagai calon nombor satu bagi DUN tersebut yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16. 

- Advertisement -

Pengumuman itu dibuat di pusat penamaan calon bagi N.18 DUN Sri Medan iaitu di Dewan Orang Ramai, Taman Sri Sulong, di sini, hari ini.  

Pencadang bagi Ahmad Rosdi adalah Kasrin Sairi, manakala Mohamad Daniel Salleh sebagai penyokong beliau. 

Pimpinan PAS Negeri Johor yang mengiringi Ustaz Ahmad Rosdi Bahari adalah Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Johor, Ahmad Al Johari Mohd Yusof. 

Sementara, pimpinan PAS Pusat yang mengiringi Ahmad Rosdi adalah Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Dr Rosni Adam selain Ahli Parlimen Parit Buntar, Ustaz Mohd Misbahul Munir Masduki juga Ahli Parlimen Pasir Salak, Jamaludin Yahya. 

Sementara itu, calon DUN Sri Medan bagi BN ialah Datuk Zulkurnain Kamisan manakala PH diwakili Cikgu Hishamudin @ Misrin Ishak. 

Selain itu, pusat penjumlahan rasmi undi bagi N.16 DUN Sungai Balang akan dibuat di tempat sama penamaan calon iaitu Dewan Orang Ramai, Taman Sri Sulong, di sini pada 11 Julai nanti. 

Hari pengundian PRN16 Johor ditetapkan pada 11 Julai, manakala pengundian awal berlangsung pada 7 Julai susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 1 Jun lalu. 

Terbaharu, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dilaporkan media tempatan mengesahkan, 172 calon daripada pelbagai parti politik layak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 selepas proses penamaan calon selesai di 56 pusat penamaan calon hari ini. 

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata 172 kertas penamaan calon diterima dan disahkan layak bertanding selepas tempoh penyerahan kertas penamaan ditutup pada jam 10 pagi, selain tiada pencalonan ditolak. 

“Bilangan calon yang bertanding mengikut jantina ialah 138 calon lelaki dan 34 calon wanita,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini. 

Pecahan calon mengikut parti menyaksikan BN dan PH masing-masing mempertaruhkan 56 calon, 33 calon PERIKATAN NASIONAL, 15 calon daripada BERSAMA, Parti MUDA (4), Parti ASLI dan Parti PSM masing-masing seorang, manakala Bebas (6). 

Ramlan berkata, 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu, 27 DUN (tiga penjuru), 12 DUN (empat penjuru) dan tiga DUN (lima penjuru) – HARAKAHDAILY 27/6/2026

- Advertisement -