
MUAR: Pengurus Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri N. 15 Maharani, Zainal Eran mengumumkan Ustaz Mohamad Anuar Hayan sebagai calon satu bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri ke-16 Johor (PRN16 Johor) kali ini.
Pengumuman itu dibuat di pusat penamaan calon bagi N.15 DUN Maharani iaitu di Bangunan Istana Tanjung, Pejabat Daerah Muar di sini hari ini.
Pencadang bagi Mohamad Anuar ialah Abdul Aziz Talib, manakala penyokong beliau, Jalal Manan.
Sementara itu, calon DUN Maharani bagi BN ialah Datuk Ashari Md Sarip, manakala PH diwakili Muhammad Taqiuddin Cheman dan MUDA pula oleh Mohd Amir Fikri Mustafa.
Dengan pengumuman tersebut, Anuar Hayan secara rasmi adalah sebagai calon N.15 DUN Maharani yang sebelum ini disandang oleh Abdul Aziz Talib sebagai mantan Ahli DUN (ADUN) tersebut.
Pimpinan PAS Negeri Johor yang mengiringi Anuar Hayan semasa perarakan bermula awal pagi di hadapan pintu masuk Pejabat Kadi sehingga ke perkarangan Istana Persinggahan Muar ialah Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Tuan Guru Dato’ Dr Mahfodz Mohamed.
Sementara, pimpinan PAS Pusat yang mengiringi Anuar Hayan ialah Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, yang turut hadir bersama Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai juga Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi turut mengiringi calon selain Setiausaha Politik Presiden PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman
Selain itu, pusat penjumlahan rasmi undi bagi N.15 DUN Maharani pula akan dibuat di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahkota, Muar dijangka di sini pada 11 Julai nanti.
Hari pengundian PRN16 Johor ditetapkan pada 11 Julai, manakala pengundian awal berlangsung pada 7 Julai susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 1 Jun lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memaklumkan sebanyak 593 borang pencalonan telah terjual setakat pagi semalam, manakala 133 bakal calon telah menjelaskan bayaran deposit sebagai syarat mengesahkan penyertaan mereka dalam PRN kali ini.
PRN Johor ke-16 melibatkan seramai 2,727,926 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 2,703,175 pengundi biasa, 12,041 anggota tentera dan pasangan serta 12,710 anggota polis dan pasangan.
PH bertanding di semua kerusi dengan PKR meletakkan 20 calon, PAN 19 calon dan DAP 17 calon.
BN turut bertanding di kesemua 56 kerusi menerusi 36 calon Umno, 16 calon MCA dan empat calon MIC.
PERIKATAN NASIONAL pula mengumumkan penyertaan menerusi PAS di 11 kerusi, BERSATU di 16 kerusi, MIPP di lima kerusi dan PEJUANG di satu kerusi.
Turut bertanding ialah MUDA di empat kerusi, PSM di satu kerusi serta BERSAMA yang dijangka meletakkan calon di 15 kerusi.
Sebelum DUN Johor dibubarkan pada 1 Jun lalu, BN menguasai 40 kerusi DUN, diikuti PH dengan 12 kerusi, PERIKATAN NASIONAL tiga kerusi dan Muda satu kerusi.
Berdasarkan statistik SPR, PRN kali ini membabitkan seramai 2,727,926 pemilih layak untuk mengundi merangkumi 2,703,175 pengundi biasa, 12,041 anggota tentera dan pasangan, serta 12,710 anggota polis dan pasangan. – HARAKAHDAILY 27/6/2026















