Politik ketakutan, intimidasi diguna musim pilihan raya

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dr Haim Hilman Abdullah dihadapkan di Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan disifatkan satu lagi manifestasi tekanan politik yang sengaja digerakkan menjelang musim pilihan raya.

Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, tindakan tersebut bukan sahaja menimbulkan persoalan mengenai kebebasan bersuara, malah memperlihatkan ‘politik ketakutan’ dan intimidasi.

- Advertisement -

Menurut beliau, tindakan sedemikian terus digunakan terhadap tokoh pembangkang yang lantang mengkritik dasar serta ketelusan pentadbiran kerajaan.

Menurut beliau, pendekatan itu mengingatkan kepada tindakan yang pernah dikenakan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.

“Sebagaimana yang pernah berlaku kepada Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum PRN yang lalu, corak dan pendekatan ‘politik ketakutan’ serta intimidasi ini nampaknya terus digunakan.

“Pihak lawan mahu membungkam suara-suara kritikal yang berani mempersoalkan dasar serta ketelusan sistem pengurusan semasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Dr Haim Hilman merupakan seorang bekas ahli akademik dihormati, kini adalah wakil rakyat yang membangkitkan isu berkaitan kepentingan pendidikan negara.

Katanya, kenyataan beliau mengenai isu kemasukan pelajar ke universiti awam (UA) sewajarnya dilihat sebagai satu teguran membina dan wacana intelektual demi memastikan sistem pendidikan tinggi negara terus diperkasakan.

“Sebaliknya, tindakan menterjemahkan kenyataan tersebut sebagai ancaman kepada ketenteraman awam adalah berlebihan dan boleh menjejaskan kebebasan bersuara.

“Tindakan mempolitikkan teguran intelektual sebegini bukan sahaja mengekang kebebasan bersuara, malah memberikan gambaran buruk bahawa institusi penguatkuasaan seolah-olah ditarik ke kancah politik.

“Semua ini demi memuaskan agenda pihak-pihak tertentu yang sedang berada dalam keresahan,” ujar Nuridah yang juga bekas Ahli Dewan Negara.

Dalam perkembangan sama, beliau menyifatkan keputusan Mahkamah Majistret Seremban menetapkan jaminan sebanyak RM5,000, iaitu separuh daripada jumlah dipohon pihak pendakwaan, serta tidak mengenakan syarat penyerahan pasport kepada Dr Haim sebagai perkembangan yang melegakan.

Menurut beliau, keputusan tersebut memberi petanda awal bahawa hujah dikemukakan pihak pembelaan mempunyai asas yang kukuh.

Katanya, pasukan pembelaan yang diketuai peguam Mohd Faizi Che Abu dan Yahaya Othman berjaya menepis cubaan mengenakan tekanan fizikal dan mental berlebihan terhadap Dr Haim Hilman.

Beliau turut menyeru seluruh masyarakat serta penyokong supaya terus bertenang, merapatkan saf dan memberikan sokongan moral yang tidak berbelah bahagi kepada Dr Haim Hilman menjelang sebutan semula kes pada 30 Julai 2026.

Pada masa sama, Nuridah berpandangan sejarah telah membuktikan bahawa setiap kali taktik penindasan digunakan bagi menakut-nakutkan rakyat, ia akhirnya mencetuskan gelombang kebangkitan yang lebih besar.

“Insya-Allah, kebenaran pasti akan mengatasi kebatilan, dan kemenangan moral ini bakal menjelma tidak lama lagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/6/2026

- Advertisement -