PAS akan pastikan Johor ditadbir Melayu Islam

- Advertisement -

MARANG: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan, hasrat PAS dalam pilihan raya kali ini adalah memastikan Johor ditadbir oleh orang Melayu Islam.

“Apa yang penting saya nak supaya Johor diperintah oleh orang Melayu Islam. Saya tak mahu (Negeri Johor) dikuasai oleh puak-puak liberal, puak-puak bukan Islam tak mahu. Biar orang Islam yang memerintah Johor,” tegas beliau.

- Advertisement -

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian ketika ditemui media selepas Kuliah Dhuha Jumaat di Masjid Rusila, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai keyakinan untuk menang, beliau menyatakan bahawa beliau yakin dan berharap kawasan yang dipilih akan memberikan kejayaan.

Mengulas jumlah kerusi yang ditandingi, beliau menegaskan PAS hanya meletakkan calon di 11 kerusi.

“Kita tanda sebelas, sebelaslah (sasaran PAS),” tegas Ahli Parlimen Marang itu.

Berkenaan sebab hanya 11 kerusi dipilih PAS untuk bertanding pada PRN Johor kali ini, beliau menjelaskan ia berdasarkan pilihan PAS Negeri Johor.

“Kita pilih yang negeri-negeri pilih,” jelas mantan Naib Ketua Kesatuan Ulamak Islam Sedunia itu.

Selain itu, PAS menurut Tuan Guru menyasarkan untuk menjadi pembangkang di Johor selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan bertanding di 11 kerusi, katanya.

Tuan Guru berkata, sasaran itu termasuk peranan sebagai pembangkang yang juga boleh bertindak sebagai penasihat kepada kerajaan negeri, sekiranya parti itu mendapat mandat.

“Kita bertanding sebelas kerusi. Sasaran kita untuk jadi pembangkanglah di Johor ni. Dan kalau jadi pembangkanglah penasihat kepada kerajaan insya-Allah,” ujarnya.

Mengulas mengenai calon yang dianggap berpotensi menang, beliau memaklumkan terdapat seorang bekas Exco yang menyertai PAS.

“(Ada) salah seorang bekas exco (Kerajaan Negeri Johor) yang masuk kita, bekas Exco,” dedah beliau.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan bahawa beliau akan turun berkempen serta menghadiri proses penamaan calon di Muar, di kawasan Maharani.

Mengulas hubungan dengan BERSATU, Tuan Guru menyatakan, perkara itu akan dibincangkan kemudian.

“Itu kita akan bincang kemudian, kita beri simbol BERSATU dia tanding tempat dia, tak bertindih dia bertanding,” jelasnya.

Ditanya mengenai kerjasama dengan BERSATU, Tuan Guru mengesahkan ia telah dibatalkan.

Menjawab berkenaan perbezaan kempen antara jentera PAS dan BERSATU walau dalam satu gabungan, Tuan Guru menegaskan, BERSATU mendesak untuk menggunakan logo PERIKATAN NASIONAL dan mereka tidak dipecat lagi.

Mengulas dakwaan wujud strategi politik antara PAS dan BERSATU, beliau menafikan perkara tersebut.

“Kita tetap dengan simbol. Yang parti BERSATU kita tak tahu strategi tak strategi, mungkin dia strategi nak ambil.

“Tapi insya-Allah orang PAS bekerja untuk (kawasan) kita (11 DUN PAS bertanding) sepenuhnya.

“Jentera PAS tidak akan berkempen untuk BERSATU,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/6/2026

- Advertisement -