Kerajaan digesa perkasa perang terhadap dadah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diseru mengambil pendekatan lebih tegas, menyeluruh dan bersepadu bagi membanteras penyalahgunaan serta pengedaran dadah yang terus menjadi ancaman utama kepada negara.

Ahli Dewan Negara, Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata, ancaman dadah bukan sahaja merosakkan individu dan institusi keluarga, malah turut menjejaskan ekonomi serta keselamatan negara.

- Advertisement -

Beliau mengingatkan masyarakat bahawa ancaman dadah masih belum berjaya dihapuskan dan memerlukan komitmen berterusan daripada semua pihak.

Beliau berkata demikian sempena Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan Dadah dan Pengedaran Haram yang disambut pada setiap 26 Jun.

Menurutnya, gejala penyalahgunaan dadah kini semakin membimbangkan apabila bukan sahaja melibatkan golongan dewasa, malah turut menjerat remaja dan belia yang merupakan aset penting negara.

Pada masa sama katanya, sindiket pengedaran dadah semakin licik dengan memanfaatkan teknologi moden serta rangkaian antarabangsa bagi meluaskan kegiatan jenayah mereka.

“Sehubungan itu, saya menyeru kerajaan agar mengambil pendekatan yang lebih tegas dan menyeluruh dalam memerangi ancaman dadah. Usaha pencegahan, pendidikan, rawatan dan pemulihan perlu diperkukuhkan secara berterusan.

“Dalam masa yang sama, tindakan penguatkuasaan terhadap pengedar dan sindiket dadah mesti dipertingkatkan tanpa kompromi,” katanya dalam kenyataan kepada HarakahDaily.

Wan Martina berkata, kerajaan juga wajar memperkasakan undang-undang sedia ada serta menilai semula akta berkaitan supaya hukuman terhadap pengedar benar benar memberi kesan pencegahan.

Menurut beliau, kawalan di pintu masuk negara, kawasan sempadan dan laluan yang dikenal pasti sebagai lokasi penyeludupan perlu diperkukuhkan menerusi penggunaan teknologi moden serta kerjasama strategik antara agensi penguat kuasa.

Beliau turut menegaskan usaha membanteras rasuah dan kebocoran maklumat yang boleh membantu sindiket dadah tidak boleh dipandang ringan.

“Tiada ruang harus diberikan kepada mana mana pihak yang bersekongkol dengan penjenayah sehingga mengancam keselamatan rakyat,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau menggesa program kesedaran awam diperkasakan menerusi penglibatan sekolah, institusi pengajian tinggi, pertubuhan masyarakat, badan agama dan pemimpin komuniti bagi menyemai budaya membenci dadah dalam kalangan rakyat.

“Justeru, semua pihak perlu berganding bahu dalam memerangi penyalahgunaan dan pengedaran dadah demi melahirkan masyarakat yang sihat, sejahtera dan bebas daripada pengaruh najis dadah,” katanya.

Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan sebanyak 192,857 kes penyalahgunaan dadah direkodkan sepanjang tahun 2024.

Laporan itu sekali gus menggambarkan cabaran besar yang memerlukan tindakan menyeluruh melalui penguatkuasaan, pendidikan, pencegahan, rawatan dan pemulihan.

Beliau berkata, kerajaan akan terus memperkukuh penguatkuasaan serta memperluaskan usaha pencegahan dan pemulihan bagi melindungi kesejahteraan rakyat serta memastikan keselamatan negara terus terpelihara. – HARAKAHDAILY 26/6/2026

- Advertisement -