
MUAR: PERIKATAN NASIONAL menegaskan, fokus gabungan itu kini adalah untuk bergerak ke hadapan bagi menghadapi cabaran politik semasa yang disifatkan lebih besar berbanding apa yang telah dilalui sebelum ini.
Pengerusi PERIKATAN NASIONAL, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelbagai perbincangan politik telah berlaku sebelum ini dengan pelbagai pihak termasuk Umno, namun beliau enggan mengulas lanjut mengenainya.
“Saya rasa apa yang penting sekarang ini ialah kita harus harungi ‘moving forward’ Itu yang lebih penting kerana cabaran yang berada di hadapan ini lebih berat lebih besar berbanding dengan apa yang telah kita lalui,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pengumuman Calon PAS PERIKATAN NASIONAL Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Laman Muafakat di sini hari ini.
Menteri Besar Terengganu itu turut menegaskan bahawa, dalam politik, tidak wujud istilah gagal kerana setiap keadaan boleh membawa kepada kebaikan pada masa akan datang.
“Tidak ada istilah gagal dalam politik. Yang setengah pihak melihat kegagalan gagal mungkin sebenarnya ada kebaikan di sebaliknya.
“Dan mungkin akan mencipta suatu perkara yang lebih baik di masa hadapan. Jadi tidak ada istilah (gagal) dalam politik,” tegas beliau.
Dalam masa sama, beliau yang juga Naib Presiden PAS menjelaskan, PAS sentiasa mengalu-alukan mana-mana individu yang ingin bersama parti itu, namun keputusan menyertai adalah terpulang kepada individu berkenaan.
“Pintu PAS senantiasa terbuka kepada mana-mana individu,” jelas Ahli Parlimen Kemaman itu.
Mengulas mengenai calon, beliau menegaskan bahawa mana-mana penyandang kerusi perlu memahami bahawa kerusi bukan milik peribadi sesiapa.
“Mana-mana penyandang faham bahawa kerusi itu bukan milik peribadi sesiapa. Hatta kerusi saya pun, saya bertanding, saya menang di DUN dan saya menang di Parlimen bukan hak milik saya,” tegasnya lagi.
Beliau menjelaskan bahawa perubahan calon dibuat atas pelbagai pertimbangan untuk memastikan kekuatan parti terus bergerak ke hadapan, dengan kebanyakan calon yang ditampilkan adalah muka baharu.
“Yang penting ialah kita menampilkan calon yang baharu untuk bergerak ke hadapan,” ulas ADUN Rhu Rendang itu
Menurut beliau lagi, keputusan penentuan calon dibuat berdasarkan pertimbangan semasa berbanding keadaan politik lima tahun atau empat tahun lalu.
Ahmad Samsuri turut menegaskan bahawa, tidak wujud pertindihan kerusi dalam kalangan parti komponen PERIKATAN NASIONAL.
“Kita tak berlawan dengan BERSATU di kerusi PERIKATAN NASIONAL. Tak ada ‘clash’” katanya. – HARAKAHDAILY 25/6/2026











