
KUALA LUMPUR: Cadangan Kementerian Pengangkutan untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mewajibkan pesalah membayar pampasan kepada mangsa atau keluarga mangsa kemalangan jalan raya disifatkan sebagai satu langkah yang amat dialu-alukan.
Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam, Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar berkata, selama ini hukuman terhadap pemandu mabuk, pemandu di bawah pengaruh dadah atau pemandu cuai lebih tertumpu kepada aspek pemenjaraan dan denda.
Sedangkan menurut beliau, keluarga mangsa yang kehilangan orang tersayang serta sumber pendapatan sering tidak mendapat pembelaan sewajarnya.
“Keadilan yang sebenar bukan sahaja menghukum pelaku, tetapi juga memberikan pemulihan kepada mangsa dan waris mereka. Mereka hanya akan mendapat pampasan jika membuat tuntutan sivil,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Beliau berkata demikian susulan laporan kenyataan Kementerian Pengangkutan yang akan membentangkan pindaan kepada Akta Pengangkutan Jalan (Akta 333) pada hujung tahun ini bagi memperkenalkan mekanisme pampasan kepada mangsa atau keluarga mangsa kemalangan yang disebabkan oleh pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata, cadangan itu bertujuan memastikan keadilan kepada mangsa dan keluarga mereka, selain hukuman penjara dan denda terhadap pesalah.
Walau bagaimanapun, Zainul Rijal berkata, prinsip itu sebenarnya selari dengan konsep diyat dalam syariah Islam yang mewajibkan pembayaran pampasan kepada keluarga mangsa bagi kesalahan yang menyebabkan kematian atau kecederaan.
Menurut beliau, diyat tidak menggantikan hukuman jenayah, sebaliknya melengkapkannya dengan memastikan hak keluarga mangsa turut terbela.
“Kewajipan membayar pampasan kepada keluarga mangsa kemalangan akibat pemanduan mabuk, pengaruh dadah atau kecuaian melampau boleh dianggap sebagai satu bentuk penghayatan nilai diyat dalam konteks perundangan moden.
“Islam sejak lebih 1,400 tahun lalu telah menekankan bahawa kehilangan nyawa bukan sekadar menuntut hukuman terhadap pesalah, tetapi juga tanggungjawab kewangan terhadap waris mangsa,” ulas beliau.
Sehubungan itu, Zainul Rijal menegaskan bahawa cadangan tersebut wajar disegerakan dan jumlah pampasan hendaklah ditetapkan secara munasabah dengan mengambil kira tahap kecuaian, kehilangan pendapatan serta kebajikan tanggungan yang ditinggalkan.
Beliau juga menegaskan, pampasan tersebut hendaklah menjadi tambahan kepada hukuman jenayah, bukannya menggantikannya.
“Dengan pelaksanaannya, mesej yang jelas dapat disampaikan bahawa sesiapa yang memandu secara melulu atau di bawah pengaruh alkohol dan dadah bukan sahaja akan dihukum oleh undang-undang.
“Malah bertanggungjawab membela nasib keluarga mangsa yang terkesan akibat perbuatannya. Ini bertepatan dengan semangat keadilan yang menjadi asas kepada konsep diyat dalam Islam,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/6/2026











