
MUAR: Penyertaan PAS dalam Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 (PRN16 Johor) bukan semata-mata untuk mengejar kemenangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sebaliknya adalah sebahagian daripada perjuangan dakwah, tarbiah dan usaha membawa penyelesaian Islam terhadap pelbagai permasalahan negara.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, PAS sebagai sebuah parti politik Islam mempunyai matlamat yang jauh lebih besar daripada sekadar menang atau kalah dalam pilihan raya.
Menurut beliau, politik tidak boleh dipisahkan daripada Islam kerana ia merupakan sebahagian daripada perjuangan agama dan cara hidup yang syumul.
“Penyertaan kita dalam pilihan raya harus difahami bukan hanya sebagai penyertaan politik yang dihitung kepada kemenangan kerusi semata-mata.
“Dalam lagu PAS sendiri disebut bahawa kalah menang bukanlah alasannya. Sama ada menang atau kalah, kita mempunyai matlamat yang lebih besar daripada sudut dakwah kerana politik ini adalah sebahagian daripada perjuangan agama itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon Perikatan Nasional (PN) bagi PRN Johor di Laman Muafakat, di sini, hari ini.
Mengimbau sejarah perjuangan PAS, beliau berkata parti itu pernah menunggu selama 40 tahun untuk memperoleh kemenangan kerusi pertama di Sabah walaupun gerakan dakwah telah digerakkan sejak tahun 1986.
“Empat puluh tahun kita tidak mencipta kemenangan kerusi, tetapi dalam masa yang sama kita terus menggerakkan dakwah. Akhirnya pada tahun 2026 barulah lahir kemenangan siasah pertama di Sabah,” katanya.
Menurut beliau, PAS juga pernah bermula dengan hanya satu kerusi pada pilihan raya awal negara, namun terus istiqamah dalam perjuangan sehingga kini muncul sebagai parti terbesar dalam Parlimen.
Beliau berkata, peningkatan undi popular PAS membuktikan sokongan rakyat terhadap perjuangan parti itu semakin berkembang.
Katanya, PAS memperoleh kira-kira satu juta undi popular pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 sebelum meningkat kepada lebih dua juta undi pada PRU ke-14.
“Pada PRU ke-15, PAS mengatasi semua parti Melayu Islam yang lain apabila memperoleh 3.75 juta undi popular dan buat pertama kali mengatasi undi popular Umno serta Barisan Nasional,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, trend tersebut berbeza dengan Barisan Nasional (BN) yang mencatatkan penurunan undi popular daripada lebih lima juta pada PRU ke-13 kepada empat juta pada PRU ke-14 dan sekitar 3.5 juta pada PRU ke-15 (PRU15).
Bagaimanapun, beliau menegaskan PAS tidak bergembira dengan kemerosotan tersebut kerana bimbang terhadap masa depan perjuangan politik orang Melayu dan umat Islam.
“Barangkali kubu terakhir Umno adalah di Johor. Kita berdoa agar sokongan kepada PAS dan Perikatan Nasional terus meningkat sehingga mampu mencapai enam juta undi popular pada pilihan raya akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Annuar berkata pelbagai masalah yang terus berulang dalam politik negara seperti isu integriti, ekonomi, kos sara hidup, hubungan kaum dan keadilan sosial memerlukan penyelesaian yang lebih menyeluruh.
Menurutnya, PAS yakin Islam merupakan jawapan kepada pelbagai cabaran tersebut berdasarkan pengalaman sejarah tamadun Islam.
“Barisan Nasional sudah memerintah bertahun-tahun, Pakatan Harapan juga sudah diberi peluang. Yang belum dicuba di Putrajaya ialah PAS dan Perikatan Nasional.
“Kita yakin Islam adalah jalan penyelesaian kepada masalah negara dan masyarakat,” katanya.
Beliau turut mengimbau kejayaan Rasulullah SAW membangunkan Negara Madinah serta kegemilangan pemerintahan Khulafa’ ar-Rasyidin, Umaiyah, Abbasiyah dan Uthmaniyah sebagai bukti kemampuan Islam membina tamadun serta menyelesaikan pelbagai masalah manusia.
Pada masa sama, beliau menyeru seluruh jentera PAS dan PN supaya melaksanakan kempen secara berhemah serta mengutamakan ukhuwah dan silaturahim.
Katanya, kempen pilihan raya tidak seharusnya dicemari politik negatif, sebaliknya digunakan untuk mendekati rakyat dengan penuh kasih sayang dan kebijaksanaan.
“Kita tidak menentang sesiapa. Kita tidak mahu menggunakan politik yang jengkel dan politik yang tidak Islamik.
“Semakin kita berkempen, permusuhan mesti semakin menipis dan kasih sayang semakin menebal,” ujarnya.
Beliau turut menggesa ahli dan penyokong menggunakan pelbagai medium termasuk media sosial seperti TikTok dan Facebook bagi menyampaikan mesej perjuangan PN kepada rakyat.
Dalam perkembangan sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Dato’ Seri Ir l Dr Ahmad Samsuri Mokhtar atas kepimpinan beliau mengurus pelbagai cabaran yang dihadapi PN kebelakangan ini.
Menurutnya, mesyuarat kepimpinan PN yang berlangsung sebelum ini berjaya diselesaikan dengan baik walaupun terdapat beberapa pandangan berbeza dalam kalangan parti komponen.
“Dalam mesyuarat ada tiga pandangan yang berbeza tetapi semuanya dapat diuruskan dengan baik oleh pengerusi.
“Akhirnya kita dapat bertanding menggunakan satu logo yang sama dan semua pihak dapat menerima keputusan yang dibuat,” katanya.
Beliau menyifatkan situasi tersebut sebagai bukti kebijaksanaan kepimpinan PN yang berjaya menenangkan pelbagai spekulasi serta memastikan gabungan itu terus bergerak sebagai satu pasukan menjelang PRN Johor.
Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh jentera dan penyokong PAS serta PN memperkukuhkan gerak kerja pilihan raya dengan penuh istiqamah dan tawakal kepada Allah SWT.
“Mudah-mudahan dengan keikhlasan, pengorbanan dan kepimpinan yang bijaksana, kekuatan kita bertambah, undi kita bertambah dan kita mencipta kemenangan yang lebih besar,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/6/2026











