
KOTA BHARU: Bidang rawatan Islam berupaya melahirkan lebih ramai perawat profesional yang bukan sahaja mahir dalam aspek rawatan, malah berfungsi sebagai duta dakwah Islam kepada masyarakat, kata Hilmi Abdullah.
Menurut beliau, peranan perawat Islam tidak seharusnya terhad kepada merawat penyakit semata-mata, sebaliknya perlu membimbing masyarakat kembali kepada ajaran Islam dalam usaha membina kesejahteraan ummah secara menyeluruh.
“Rawatan Islam yang patuh syariah mampu membantu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penjagaan kesihatan berasaskan Islam selain menjadi pelengkap kepada sistem kesihatan moden melalui pendekatan spiritual dan psikososial yang dibenarkan syarak.
“Negeri Kelantan yang berteraskan Dasar Membangun Bersama Islam sentiasa memberi perhatian terhadap pembangunan insan secara menyeluruh termasuk dalam aspek kesihatan yang berlandaskan syariat Islam,” katanya ketika merasmikan Kursus Asas Rawatan Patuh Syariah (i-Syifa’) di sini.
Menurutnya, perawat Islam memikul tanggungjawab besar dalam mendidik serta membimbing pesakit agar kembali mendekatkan diri kepada Allah SWT di samping membantu menangani pelbagai masalah kehidupan yang dihadapi masyarakat.
Tambahnya, ramai pesakit yang mendapatkan rawatan bukan sahaja berdepan masalah kesihatan, malah turut menghadapi isu pengabaian solat, konflik rumah tangga, tekanan emosi, gangguan jiwa serta terjebak dalam pelbagai bentuk maksiat dan dosa.
“Justeru, tugas perawat bukan hanya membaca ruqyah atau memberi air penawar tetapi mengajak pesakit kembali kepada Allah SWT, membimbing mereka menjaga solat, menghidupkan amalan zikir dan al-Quran serta menanam keyakinan bahawa penyembuh sebenar hanyalah Allah SWT.

“Seorang perawat Islam pada hari ini tidak lagi boleh beroperasi hanya berbekalkan pengalaman semata-mata, sebaliknya perlu memiliki ilmu, latihan, akhlak serta pematuhan terhadap undang-undang yang ditetapkan,” ujarnya lagi.
Beliau menambqh, rawatqn Islam yang berlandaskan syariat juga mampu menjadi benteng masyarakat daripada terpengaruh dengan bomoh palsu, amalan sihir dan pelbagai bentuk penyelewengan akidah yang boleh merosakkan pegangan umat Islam.
Sambungnya lagi, Kerajaan Persekutuan telah menggubal Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 (Akta 775) sebagai mekanisme kawal selia terhadap bidang perubatan tradisional dan komplementari termasuk Amalan Pengubatan Islam yang diiktiraf secara rasmi.
Menurutnya, akta berkenaan mewajibkan para perawat berdaftar dengan Majlis Perubatan Tradisional dan Komplementari bagi memastikan aspek kompetensi, etika serta keselamatan pesakit sentiasa terpelihara.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri itu berharap Kelantan dapat muncul sebagai model negeri yang melahirkan pengamal rawatan Islam yang berdaftar, profesional, berintegriti dan dihormati masyarakat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) atas penganjuran kursus berkenaan yang disifatkan sebagai satu usaha penting dalam melahirkan perawat Islam.
Iaitu katanya, mereka bukan sahaja berkemahiran dalam bidang rawatan, malah memahami tanggungjawab syarie, mematuhi undang-undang serta melaksanakan amanah dakwah yang dipikul. – HARAKAHDAILY 25/6/2026











