
KOTA BHARU: Kerjasama masyarakat amat penting dalam membantu Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) membendung kegiatan kecurian air yang menjejaskan bekalan kepada pengguna serta meningkatkan kadar Air Tidak Berhasil (NRW).
AKSB dalam satu kenyataan mengalu-alukan orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti kecurian air bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil dengan lebih berkesan.
“Kerjasama masyarakat amat dihargai bagi memastikan bekalan air dapat dimanfaatkan pengguna yang mempunyai akaun sah dengan AKSB,” katanya.
Menurut AKSB, pihaknya terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dan pemantauan bagi mengesan kegiatan kecurian air di seluruh negeri.
“Unit Penguatkuasaan AKSB baru-baru ini menjalankan operasi pemeriksaan dan pemantauan di sekitar Pasir Mas bagi mengesan sebarang aktiviti sambungan bekalan air secara tidak sah,” ujarnya.
Tambahnya, hasil operasi tersebut mendapati sebuah premis telah menyambung semula bekalan air tanpa kebenaran selepas bekalan terdahulu dipotong berikutan tunggakan bil yang tinggi.
“Hasil operasi tersebut mendapati sebuah premis telah menyambung semula bekalan air tanpa kebenaran selepas bekalan terdahulu dipotong berikutan tunggakan bil yang tinggi,” katanya lagi.
Sambungnya lagi, tindakan segera telah diambil terhadap premis terbabit bagi menghalang kerugian berterusan dan menguatkuasakan peraturan yang ditetapkan.
“Tindakan diambil dengan menutup sambungan berkenaan menggunakan plug pada stand meter,” ujarnya.
AKSB berkata, operasi pemantauan dan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membendung kegiatan kecurian air yang menjejaskan sistem bekalan serta usaha mengurangkan kadar NRW di Kelantan. – HARAKAHDAILY 25/6/2026











