‘Skytrain Kuantan hanya janji politik bermusim’

- Advertisement -

KUANTAN: Projek Kuantan Skytrain yang pernah diuar-uarkan sebagai pemangkin pembangunan bandar Kuantan, disifatkan sebagai sekadar janji politik bermusim dan bukannya perancangan pembangunan yang benar-benar serius.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, sehingga kini rakyat masih belum melihat sebarang kemajuan fizikal projek berkenaan; walaupun ia pernah dipromosikan secara meluas oleh kerajaan negeri sebagai projek berimpak tinggi.

- Advertisement -

Menurutnya, ketiadaan perkembangan jelas di tapak projek serta maklumat terkini mengenai pelaksanaannya menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan rakyat.

“Apa yang lebih mengecewakan, projek ini muncul dengan naratif gah ketika hampir musim pilihan raya, lengkap dengan pelancaran, persembahan grafik dan kenyataan penuh retorik tetapi lenyap daripada radar sebaik sahaja mandat rakyat diperoleh.

“Keadaan ini menimbulkan persoalan besar sama ada Skytrain Kuantan hanyalah janji politik bermusim dan bukan perancangan pembangunan yang benar-benar serius,” katanya dalam satu kenyataan, di sini,hari ini.

Beliau berkata, rakyat tidak boleh terus dikelirukan dengan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) semata-mata tanpa sebarang tindakan yang dapat dilihat di lapangan.

Katanya, projek yang melibatkan nilai pelaburan besar seharusnya disertakan dengan laporan kemajuan berkala bagi memastikan ketelusan dan keyakinan rakyat terhadap pelaksanaannya.

“Rakyat berhak mengetahui sama ada projek ini masih diteruskan, ditangguhkan atau telah digugurkan tanpa pengetahuan umum,” katanya.

Sehubungan itu, Pemuda PAS Pahang menggesa Menteri Besar Pahang dan kerajaan negeri tampil memberikan penjelasan rasmi mengenai status terkini Projek Kuantan Skytrain.

Azlan berkata, pihaknya meminta kerajaan negeri mendedahkan garis masa pelaksanaan, kos sebenar projek serta sumber pembiayaan yang terlibat.

Menurutnya, projek mega tidak seharusnya dijadikan alat kosmetik politik setiap kali menjelang pilihan raya tanpa komitmen yang jelas untuk merealisasikannya.

“Pahang tidak memerlukan janji kosong.
Rakyat tidak boleh terus disogok dengan pelan dan poster semata-mata.

“Jika benar ikhlas membangun Pahang, buktikan dengan tindakan, bukan setakat pengumuman bermusim dan bukan hanya pandai menyekat Pembangkang yang dipilih oleh rakyat melalui saluran yang sah,” katanya.

Empat tahun lepas pada tarikh 10 November, media melaporkan kerajaan Pahang telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama empat buah syarikat bagi Projek Pembangunan Kuantan Skytrain melibatkan kos pembangunan keseluruhan RM18.28 bilion.

Menurut portal Pahang Media, projek yang melibatkan dua fasa pembinaan itu meliputi jarak sejauh 54.5 kilometer keseluruhan dengan tiga jajaran di mana setiap fasa dijangka siap dalam tempoh empat tahun. – HARAKAHDAILY 24/6/2026

- Advertisement -