
KUALA LUMPUR: PAS menzahirkan kegusaran mendalam berhubung tindakan Kerajaan Negeri Selangor memperkenalkan garis panduan baharu yang mewajibkan pemaju perumahan menyerahkan tanah bagi tujuan pembinaan rumah ibadat agama selain Islam.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menegaskan, bahawa pelaksanaan dasar automatik tersebut menimbulkan tanda tanya besar dari sudut tadbir urus, perancangan bandar, serta penilaian impak ekonomi membabitkan aset bernilai jutaan ringgit.
Katanya, walaupun hak kebebasan beragama dijamin Perlembagaan Persekutuan, sebarang pengenalan dasar awam membabitkan pembahagian lot tanah semakin terhad haruslah dipandu data dan keperluan, bukannya bersandarkan sentimen atau ideologi politik.
“Saya membaca laporan berita menyatakan Kerajaan Selangor memperkenalkan garis panduan baharu mewajibkan pemaju menyerahkan sekurang-kurangnya 1.5 ekar tanah.
“(Ia) bagi pembinaan rumah ibadat agama-agama selain Islam dalam setiap pembangunan baharu yang mempunyai sekurang-kurangnya 5,000 penduduk.
“Pemaju juga diwajibkan menyediakan kemudahan sokongan seperti jalan masuk, bekalan air dan elektrik, di samping beberapa syarat berkaitan pembangunan rumah ibadat agama-agama selain Islam turut dilonggarkan.
“Terus terang, saya agak terganggu apabila membaca berita ini. Kita tentunya menghormati hak setiap rakyat Malaysia untuk mengamalkan agama masing-masing sebagaimana dijamin Perlembagaan Persekutuan.
“Namun, perkara yang menimbulkan kegusaran saya ialah keputusan Kerajaan Negeri Selangor ini menyentuh isu yang jauh lebih besar daripada sekadar pembinaan rumah ibadat. Isu ini menyentuh soal dasar tanah dan soal perancangan bandar.
“Ini soal penggunaan aset yang nilainya mencecah jutaan ringgit dalam sebuah negeri yang tanahnya semakin mahal dan semakin terhad,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.
Pernyataan pemimpin PAS itu merujuk kepada laporan eksklusif bertajuk “New large townships in S’gor must have land set aside for religious purposes” yang diterbitkan oleh akhbar The Star.
Laporan berkenaan memperincikan langkah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor mengemas kini Garis Panduan dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor (PlanMalaysia Selangor) bagi rumah ibadat bukan Islam (RIBI).
Menerusi ketetapan baharu itu, pemaju kawasan perumahan skala besar dengan anggaran minimum 5,000 penduduk (sekitar 1,250 unit kediaman) diwajibkan menyerahkan sekurang-kurangnya 1.5 ekar (0.6 hektar) tanah khusus untuk kegunaan RIBI.
Selain itu, peraturan baharu itu turut melonggarkan beberapa sekatan terdahulu termasuk membatalkan had ketinggian maksimum bangunan RIBI di mana sebelum ini dihadkan 72 kaki demi penyelarasan visual bersama masjid berhampiran.
Juga membenarkan lot komersial, industri, dan institusi ditukar status sebagai tempat ibadat rasmi di mana langkah ini mendapat sambutan baik daripada badan seperti Majlis Gereja-Gereja Malaysia (CCM) yang menyifatkannya sebagai lebih inklusif dan adil.
Ahmad Fadhli mempersoalkan kaedah penentuan kuota automatik berkenaan memandangkan pihak berkuasa negeri dilihat tidak mempunyai mekanisme awal untuk mengukur demografi atau komposisi agama sebenar bagi pembeli di sesebuah taman perumahan baharu.
Beliau turut membandingkan keutamaan dasar tersebut dengan keperluan pemerkasaan institusi Islam yang sepatutnya diberikan penekanan selari dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan memayungi kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan.
“Saya tertanya-tanya, apakah kajian yang digunakan sehingga angka 5,000 penduduk dipilih sebagai syarat automatik? Adakah kerajaan negeri mengetahui terlebih dahulu komposisi agama penduduk yang bakal mendiami kawasan tersebut?
“Atau tanah diperuntukkan terlebih dahulu tanpa mengambil kira keperluan sebenar yang wujud? Dalam mana-mana dasar awam yang baik, keperluan mendahului ideologi. Data mendahului sentimen.
“Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan. Kedudukan ini bukan sekadar hiasan dalam buku undang-undang. Ia merupakan sebahagian daripada struktur asas negara yang dipersetujui sejak kemerdekaan.
“Sebab itu rakyat berhak bertanya, mengapa dalam dasar baharu ini, yang begitu menonjol ialah kewajipan menyediakan tanah bagi rumah ibadat agama-agama selain Islam, sedangkan keperluan institusi Islam tidak diberikan penekanan yang setara?” soal beliau lagi.
Mengulas lanjut, beliau mendesak pentadbiran Selangor yang dipimpin oleh Pakatan Harapan (PH) agar membentangkan kajian impak secara terbuka, memandangkan negeri berkenaan masih bergelut dengan krisis kebajikan asas masyarakat jauh lebih mendesak.
“Saya percaya rakyat Malaysia cukup matang untuk menghormati kepelbagaian agama. Pada masa yang sama, rakyat juga cukup matang untuk bertanya soalan yang sukar kepada kerajaan.
“Mengapa dasar ini diwujudkan sekarang? Apakah keperluan mendesak yang mendorongnya? Apakah kajian impaknya? Dan mengapa keutamaan sebegini diberikan ketika isu rumah mampu milik, kesesakan jalan raya, kekurangan sekolah.
“Pelbagai masalah asas rakyat masih menunggu penyelesaian. Dalam sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, rakyat berhak meminta penjelasan yang lebih mendalam sebelum dasar seperti ini dilaksanakan.
“Kerana akhirnya, persoalan sebenar terletak pada hala tuju negeri dan keutamaan kerajaan dalam mengurus amanah tanah yang dimiliki oleh rakyat,” katanya.
Beliau menzahirkan kegusaran sekiranya model pengurusan tanah bercorakkan fahaman gabungan politik tersebut akan dieksport dan diaplikasikan ke peringkat nasional melalui kementerian di bawah Kerajaan Persekutuan.
Ahmad Fadhli mengaitkan kebimbangan ini dengan perkembangan semasa perundangan parlimen melibatkan pembentangan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU URA) yang dijangka akan melalui proses bacaan kali kedua tidak lama lagi.
“Saya bukan rakyat negeri Selangor. Tetapi jika dasar ini dibawa oleh Kerajaan Negeri Selangor yang diterajui oleh Pakatan Harapan, tidak mustahil semangatnya akan turut dibawa ke Persekutuan yang ditadbir oleh rejim parti yang sama.
“Perlu diingat, RUU URA juga sedang di dalam perjalanan untuk dibentang untuk bacaan kali kedua di Parlimen,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 24/6/2026











