RUU MOT tak pinda kesalahan terhadap pemandu mabuk

- Advertisement -

SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Selangor mendesak kerajaan memasukkan klausa baharu yang mengenakan hukuman lebih berat terhadap pemandu mabuk dalam Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Ustaz Dr Aubidullah Fahim Ibrahim berkata, pihaknya mempersoalkan ketiadaan sebarang pindaan baharu terhadap kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol yang sering mengakibatkan kehilangan nyawa.

- Advertisement -

Menurut beliau, pembentangan RUU oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dilihat tidak memberi tumpuan sewajarnya kepada isu keselamatan jalan raya yang melibatkan pemandu mabuk.

“Berdasarkan perbandingan dengan RUU Pengangkutan Jalan 2020, hukuman terhadap pemandu mabuk ketika itu telah diperketatkan secara drastik melibatkan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun, denda sehingga RM100,000 serta penggantungan lesen selama 10 tahun.

“Namun dalam RUU 2026 yang dibawa oleh Anthony Loke, tiada sebarang pindaan atau penambahbaikan hukuman ke atas pemandu mabuk. Kesalahan yang meragut nyawa ini dibiarkan begitu sahaja di bawah takuk lama,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebaliknya, beliau berkata kerajaan dilihat lebih memberi perhatian kepada peningkatan kadar kompaun minimum daripada RM300 kepada RM500 bagi pelbagai kesalahan jalan raya.

Katanya, antara kesalahan yang terlibat ialah tidak memaparkan nombor pendaftaran, tidak memiliki lesen memandu, memandu melebihi had laju dan mengabaikan isyarat lalu lintas, manakala denda bagi kesalahan membuat kenyataan palsu dicadangkan meningkat sehingga RM200,000.

Beliau turut mempersoalkan keutamaan yang diberikan oleh kementerian menerusi pindaan tersebut.

“Adakah Kementerian Pengangkutan kini sudah berubah menjadi agensi mengutip cukai dan kompaun semata-mata berbanding sebuah kementerian yang menggubal polisi serius untuk menyelamatkan nyawa rakyat?” soalnya.

Menurut beliau, Pemuda PAS Selangor tidak menyokong sebarang pelanggaran undang-undang jalan raya, namun peningkatan denda yang membebankan rakyat tidak wajar dilaksanakan tanpa tindakan lebih tegas terhadap pemandu mabuk.

“Mengapa kesalahan teknikal dan trafik biasa diperah sehabis mungkin wang denda mereka, tetapi pesalah yang meminum alkohol dan memandu secara mabuk hingga membunuh bapa, ibu dan anak yang tidak berdosa tidak diusik langsung dalam RUU ini?

“Adakah nyawa mangsa kemalangan pemandu mabuk lebih murah berbanding hasil kutipan kompaun yang mahu diisi ke dalam kantung kerajaan?” katanya.

Beliau berkata, Islam amat menitikberatkan konsep Hifz al-Nafs iaitu penjagaan dan pemeliharaan nyawa sebagai antara matlamat utama Maqasid Syariah.

“Mana-mana kerajaan yang adil wajib meletakkan keselamatan nyawa sebagai keutamaan tertinggi dan bukannya memberi keutamaan kepada peningkatan hasil negara melalui kompaun.

“Arak adalah ‘Ummul Khabaith’ atau ibu segala kejahatan, dan memandu di bawah pengaruhnya adalah satu percubaan membahayakan nyawa yang memerlukan dasar pencegahan yang jauh lebih tegas,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mendesak Kementerian Pengangkutan memasukkan klausa pindaan yang lebih berat terhadap pemandu mabuk setara dengan jenayah berat yang meragut nyawa.

Beliau turut menggesa Kerajaan Madani membuktikan bahawa keselamatan rakyat menjadi keutamaan dan bukannya sekadar meningkatkan kadar denda bagi menambah hasil negara.

“Jika Anthony Loke gagal melihat keutamaan antara menyelamatkan nyawa manusia dan mengutip duit kompaun, maka beliau terbukti gagal sebagai Menteri Pengangkutan yang berjiwa rakyat.

“Cukuplah bermain dengan retorik. Nyawa rakyat di jalan raya bukan bahan eksperimen kementerian,” tegasnya.

Terdahulu, Anthony Loke ketika membentangkan RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 pada bacaan kali kedua di Dewan Rakyat berkata, kerajaan bercadang menaikkan kadar maksimum tawaran kompaun daripada RM300 kepada RM500 bagi kesalahan jalan raya mulai 1 Januari 2029.

Menurut beliau, langkah itu selaras dengan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi meningkatkan tahap pematuhan pengguna jalan raya dan bukannya untuk membebankan rakyat atau menambah pendapatan kerajaan.

“Peningkatan daripada RM300 kepada RM500 tidak bermaksud semua pesalah akan dikenakan kompaun RM500 secara automatik.

“Sementara kadar sebenar masih tertakluk kepada jenis kesalahan, tahap keseriusan kesalahan, tempoh penyelesaian kompaun serta tatacara yang ditetapkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/6/2026

- Advertisement -