Gandingan Dr Sam-Hamzah mampu cetus gelombang politik baharu

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: PAS menyifatkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai dua figura baharu yang berpotensi memimpin negara serta mengukuhkan blok pembangkang pada masa depan.

Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Malaysia, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi berkata, parti itu mempunyai pertimbangan dan penilaian tersendiri berdasarkan realiti politik semasa serta kajian di lapangan.

- Advertisement -

Menurutnya, PAS melihat kedua-dua tokoh berkenaan memiliki kekuatan tersendiri, termasuk pengalaman, prinsip dan kemampuan mentadbir yang diperlukan dalam landskap politik baharu negara.

“Dr Samsuri merupakan figura teknokrat yang mempunyai prinsip serta ideologi tersendiri dan berjaya mentadbir Terengganu dengan baik.

“Hamzah pula adalah tokoh nasionalis Melayu yang mempunyai peranan besar dalam politik negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan politik semasa dan hala tuju pembangkang dalam temubual bersama Awani di segmen Dialog Tiga Penjuru dengan tajuk Bekuasakah Blok Pembangkang?.

Mengulas keputusan PAS memutuskan hubungan dengan BERSATU di beberapa peringkat, beliau berkata, langkah itu dibuat berdasarkan pertimbangan strategik yang telah diperhalusi oleh kepimpinan parti.

Katanya, keputusan berkenaan diambil demi memastikan sebarang masalah yang boleh menjejaskan kekuatan parti dan gabungan dapat ditangani lebih awal.

Menggunakan analogi perubatan, beliau berkata tindakan itu ibarat memotong anggota yang sudah dijangkiti penyakit serius bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.

“Kita sudah buat satu keputusan untuk kita putuskan hubungan dengan BERSATU atas perkiraan strategi-strategi yang kita ada,” katanya.

Beliau turut berpandangan bahawa politik negara kini memasuki era baharu yang memerlukan kemunculan pemimpin generasi lebih segar berbanding bergantung kepada tokoh lama.

Menurutnya, PAS percaya gabungan kepimpinan Ahli Parlimen Kemaman dan Larut mampu membawa gelombang politik baharu serta memperkukuhkan kedudukan pembangkang menjelang pilihan raya akan datang.

“Ini adalah pandangan dan penelitian politik PAS berdasarkan kajian serta realiti yang berlaku di lapangan,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/6/2026

- Advertisement -