
KUALA LUMPUR: Penyertaan Parti WAWASAN NEGARA dalam Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai nilai tambah kepada kekuatan sedia ada gabungan itu, khususnya dalam memperjuangkan agenda perubahan yang berteraskan kompetensi, integriti dan kestabilan.
Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata, WAWASAN NEGARA adalah parti berwajah Malaysia yang membawa aspirasi rakyat daripada pelbagai latar belakang.
“Sebagai parti berwajah Malaysia, WAWASAN NEGARA membawa aspirasi rakyat daripada pelbagai latar belakang dan percaya masa depan negara hanya dapat dibina melalui kerjasama, kesederhanaan serta komitmen terhadap kepentingan nasional.
“Kami hadir sebagai jambatan yang menghubungkan lebih ramai rakyat, memperluaskan sokongan serta mengukuhkan lagi kedudukan Perikatan Nasional sebagai sebuah gabungan yang inklusif, stabil dan sedia mentadbir,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian susulan keputusan Perikatan Nasional menerima PCM yang kini dinamakan Parti WAWASAN NEGARA sebagai salah sebuah parti komponen dalam gabungan berkenaan selain PEJUANG dalam mesyuarat PN di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini.
Ahli Parlimen Larut itu memaklumkan, Mesyuarat Khas Perwakilan Parti Cinta Malaysia (PCM) yang diadakan pada Sabtu, 20 Jun lalu, telah sempurna dilaksanakan.
Menurut beliau, mesyuarat itu sebulat suara bersetuju dengan penjenamaan semula parti berkenaan, dengan WAWASAN NEGARA dipilih sebagai nama baharu parti.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Majlis Tertinggi PN atas kepercayaan menerima Parti WAWASAN NEGARA sebagai parti anggota dalam gabungan berkenaan.
“Keputusan ini membuka lembaran baharu bukan sahaja kepada WAWASAN NEGARA, malah kepada usaha memperkukuhkan Perikatan Nasional selaku gabungan yang semakin diyakini rakyat untuk memimpin Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/6/2026











