
KUALA LUMPUR: Setiausaha Politik Presiden PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman membidas ‘analisis’ satu hantaran media sosial seorang ahli akademik yang mengemukakan fakta tidak tepat dalam isu kepimpinan Kerajaan Negeri Perlis.
Beliau turut menempelak hantaran itu kerana cuba mengaitkan hubungan kekeluargaan dalam keputusan mengekalkan kedudukan mantan Menteri Besar Perlis, sebaliknya menegaskan ia keputusan kolektif parti.
Jelasnya, ia bukan arahan individu Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden PAS itu telah mengambil langkah profesional dengan mengisytiharkan konflik kepentingan serta berpendirian berkecuali sepanjang proses perbincangan tersebut bagi memastikan ketelusan.
Kenyataan itu dipercayai dikeluarkan bagi menjawab coretan penganalisis politik, Dr Marzuki Mohamad yang sebelum ini mendakwa Presiden PAS bertindak menghalang keputusan pertukaran jawatan tersebut demi mempertahankan besan beliau.
“Saya menerima kiriman suatu hantaran FB seorang ahli akademik, mengulas isu Perlis. Dalam tulisan tersebut, beliau mengemukakan analisis dan dapatan kajian berdasarkan pemerhatian, temu bual serta maklumat yang diperolehinya.
“Antara petikan yang dikemukakan, “Bila dititah takkan Tan Sri Muhyiddin nak beritahu Raja, “Ampun Tuanku, patik tak boleh junjung titah Tuanku. Nanti Haji Hadi murka”. “Kenapa dia nak murka? – Sebab yang nak ditukar itu besan dia.”
“Tiada niat saya untuk mencabar hasil ‘kajian’ beliau. Namun izinkan saya meluruskan beberapa fakta,” kemuka Syahir yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS dalam ulasannya dari Parlimen, di sini hari ini.
Syahir menegaskan setiap ketetapan yang diambil oleh Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat adalah bersandarkan penelitian hukum, fakta, serta maklumat yang sahih dan jelas.
‘Adapun dakwaan yang pernah dikaitkan dengan anak mantan Menteri Besar Perlis yang juga ‘menantu’ Presiden PAS, individu berkenaan telah dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan, mengikut proses perbicaraan di mahkamah,” ujarnya
Syahir turut mengingatkan bahawa sepanjang muafakat politik terjalin, PAS sentiasa berdisiplin dalam memelihara maruah rakan sekutu dan menolak amalan politik yang menyerang peribadi mana-mana pemimpin, termasuk membabitkan pimpinan BERSATU.
Sebagai bukti komitmen tersebut, beliau mengimbas kembali sokongan padu Ahli-Ahli Parlimen PAS yang konsisten mempertahankan Tan Sri Muhyiddin Yassin setiap kali isu kekeluargaan dibangkitkan oleh pihak lawan di Dewan Rakyat.
“Adalah dipertegaskan bahawa PAS tidak pernah menjadikan urusan peribadi atau hubungan kekeluargaan pemimpin parti-parti sahabat sebagai bahan serangan politik.
“Malah PAS sentiasa mempertahankan prinsip keadilan dan menolak serangan bersifat peribadi, termasuk terhadap Presiden dan Setiausaha Agung BERSATU.
“Untuk rekod, Ahli-Ahli Parlimen PAS turut mempertahankan Presiden BERSATU setiap kali isu ‘Menantu Pagoh’ dibangkitkan di Dewan Rakyat,” katanya.
Beliau menasihatkan agar golongan akademik mengekalkan integriti ilmiah dengan berpaksikan sumber primer dan sekunder yang sahih sebelum menerbitkan sebarang ulasan geopolitik.
Syahir sempat melontarkan sindiran sinis sekiranya penulisan ahli akademik terbabit sekadar bermotifkan agenda propaganda.
“Berbalik kepada penulisan ahli akademik tersebut, adalah lebih wajar sekiranya sesuatu analisis atau kajian dibuat berasaskan fakta yang dapat disahkan, serta disokong oleh sumber primer dan sekunder yang boleh dipertanggungjawabkan.
“Dalam dunia akademik, ketepatan fakta dan disiplin ilmiah wajar menjadi pegangan. Melainkan beliau sedang mempertimbangkan kerjaya baharu di J-KOM, maka saya ucapkan selamat maju jaya,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 23/6/2026















