
PARIT SULONG: PAS secara rasmi melancarkan inisiatif Unit Pemberdayaan Upaya (UPAYA) peringkat negeri Johor sebagai langkah strategik memperluas gerakan pemerkasaan dan sokongan terhadap golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di wilayah selatan tanah air.
Pelancaran bersejarah itu disempurnakan bersempena dengan penganjuran Konvensyen UPAYA 2026 yang berlangsung dengan lancar di Noor Event Hall, Batu Pahat, di sini semalam.
Program ini berjaya menghimpunkan kehadiran peserta daripada pelbagai latar belakang, sekali gus membuktikan komitmen bersama dalam memperkukuh agenda kebajikan, inklusiviti, serta keprihatinan sosial demi kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.
UPAYA merupakan satu inisiatif khusus di bawah Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Pusat yang ditubuhkan untuk membela kebajikan, hak, serta menyediakan sistem sokongan bersepadu bagi komuniti OKU di Malaysia.

Sebelum ini, model kerja UPAYA telahpun digerakkan dengan aktif di beberapa buah negeri seperti Kelantan dan Selangor melalui penubuhan skuad sukarelawan khas.
Pelancaran UPAYA Johor ini menandakan peluasan agenda berkenaan bagi memastikan jaringan perlindungan sosial, kesedaran awam dan pembentukan dasar mesra OKU dapat disebarluaskan secara inklusif tanpa mengetepikan mana-mana kumpulan sasar.
Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Pusat, Dr Rosni Adam menjelaskan, UPAYA amat penting sebagai medium penyatuan, perkongsian ilmu, serta wadah utama bagi membudayakan nilai keprihatinan terhadap keupayaan komuniti OKU.
“Program pada hari ini memberi manfaat, membuka ruang jaringan kerjasama serta mencetuskan idea dan inisiatif baharu demi kesejahteraan masyarakat,” ujarnya.

Kemuncak konvensyen disempurnakan oleh Bendahari PAS Pusat, Dato’ Iskandar Abdul Samad yang hadir bagi merasmikan acara sekali gus meluncurkan penubuhan UPAYA Johor.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan bahawa ketiadaan upaya fizikal atau mental bukanlah penghalang untuk seseorang individu berbakti sekiranya ekosistem sekeliling memberikan sokongan yang adil.
Beliau juga mengingatkan bahawa setiap insan mempunyai potensi dan kekuatan tersendiri untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat apabila diberikan peluang, sokongan dan ruang yang sewajarnya.

Perasmian dan pelancaran ini menjadi simbol komitmen bersama untuk terus memperjuangkan agenda kebajikan, inklusiviti dan pemerkasaan golongan OKU agar mereka dapat memainkan peranan yang lebih signifikan dalam pembangunan ummah dan negara.
Bagi menyuburkan perkongsian ilmu, konvensyen tersebut turut menampilkan sesi pembentangan intensif yang dijayakan oleh empat tokoh panel berpengalaman mengupas topik pemerkasaan OKU daripada sudut acuan masyarakat, institusi kekeluargaan, serta gerak kerja lapangan.
Panel pertama membentang tajuk, “Peranan Masyarakat ke arah Pembentukan OKU yang Beramal” disampaikan Dr Hajarul Bahti Zakaria, manakala panel kedua dengan tajuk, “Keluarga Bahagia, OKU Berjaya” oleh Datin Siti Muhibbah Nor.
Panel ketiga pula menyampaikan, “Skuad UPAYA Kelantan: Perkongsian Pengalaman” okeh Osman Omar dan panel keempat mengupas tajuk “Skuad UPAYA Selangor: Perkongsian Pengalaman” oleh Nazmi Mohd Salleh.
Pihak urus setia berharap agar intipati daripada pembentangan ini dapat memberikan anjakan paradigma dan mencetuskan formula intervensi baharu dalam masyarakat. – HARAKAHDAILY 22/6/2026











