TDM catat prestasi kewangan tertinggi RM768 juta

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Anak syarikat kerajaan negeri, TDM Berhad mencatatkan prestasi kewangan memberangsangkan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 dengan merekodkan hasil tertinggi dalam sejarah kumpulan sebanyak RM768 juta, meningkat berbanding RM645 juta pada tahun 2024.

Pengerusi TDM Berhad, Dato’ Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, peningkatan itu disokong oleh prestasi dua teras utama perniagaan syarikat iaitu sektor perladangan dan penjagaan kesihatan.

- Advertisement -

“Alhamdulillah, ini merupakan pencapaian rekod bagi kumpulan. Hasil tertinggi ini mencerminkan kekuatan operasi teras kita,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-61 syarikat itu, di sini, hari ini.

Menurut beliau, keuntungan sebelum cukai turut melonjak kepada RM42.4 juta berbanding RM10.3 juta pada tahun sebelumnya, sekali gus menunjukkan peningkatan ketara dalam prestasi keseluruhan kumpulan.

Dalam sektor perladangan, TDM mencatatkan pendapatan hampir RM400 juta disumbangkan oleh pengeluaran hasil buah tandan segar (FFB) yang stabil serta harga minyak sawit mentah (CPO) yang kekal kukuh sekitar RM4,300 satu tan.

Beliau berkata, walaupun terdapat cabaran ketidaktentuan global termasuk konflik geopolitik dan kenaikan kos operasi, syarikat masih mampu mengekalkan prestasi melalui pengurusan kos yang lebih efisien serta pengoptimuman operasi.

“Terdapat sedikit impak daripada ketidaktentuan global, namun ia masih terkawal,” katanya.

Sementara itu, sektor penjagaan kesihatan di bawah KMI Healthcare mencatatkan hasil hampir RM370 juta, meningkat sekitar 4 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan jumlah pesakit meningkat kepada 215,935 orang.

Katanya, TDM kini memperkukuh kedudukan dalam sektor kesihatan swasta melalui penggunaan teknologi perubatan, pendigitalan serta penjenamaan hospital patuh syariah yang menawarkan perkhidmatan lebih mesra pesakit dan berpatutan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kumpulan itu sedang merancang pengembangan fasiliti kesihatan termasuk di KMI Kuantan, pembinaan pusat onkologi di Pantai Timur serta cadangan pembangunan di beberapa lokasi lain seperti Cukai dan Kuala Terengganu.

TDM turut memperoleh pensijilan SIRIM ISO 9001:2015 serta MS 1900:2014 bagi pengurusan kualiti berasaskan syariah yang memperkukuh kredibiliti perkhidmatan kesihatan kumpulan.

Mengulas strategi masa hadapan, beliau berkata TDM akan memberi tumpuan kepada pelan ‘Fokus 30’ bagi memperkukuh daya tahan syarikat menjelang tahun 2030 melalui pelaburan berdisiplin, pembangunan bakat dan pertumbuhan mampan.

Sementara itu, menjawab soalan media mengenai penggunaan tanah, beliau berkata, syarikat sedang menilai beberapa kawasan ladang yang kurang produktif, namun sebarang perubahan penggunaan tanah perlu mematuhi peraturan termasuk Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO).

Katanya, TDM juga meneroka tanaman kontan seperti cili, salad dan tembikai sebagai usaha mempelbagaikan sumber pendapatan dalam segmen agrobisnes. – HARAKAHDAILY 22/6/2026

- Advertisement -